Memaparkan catatan dengan label bisnes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bisnes. Papar semua catatan

Khamis, 3 Mac 2011

Enjin carian China jual barang tiruan

AMERIKA Syarikat (AS) menyenaraikan enjin carian utama China, Baidu serta laman muat turun 'Torrent' dari Sweden, Pirate Bay, di dalam senarai teratas dunia pasaran untuk barangan tiruan dan cetak rompak.

Pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) berkata, kedua-dua laman web itu serta sekumpulan laman web lain bersama-sama 20 kawasan beli-belah seperti Silk Market di Beijing dan Pantip Plaza di Bangkok menjual secara terbuka atau membenarkan penjualan barangan palsu dan cetak rompak dari produk seperti perisian komputer dan perindustrian hinggalah ke siaran secara langsung televisyen sukan.
Walaupun tiada tindakan amaran dalam ‘Laporan Kajian Pasaran Menjijikkan’ global pertama oleh USTR itu, namun katanya, ia akan menjadi sasaran terhadap usaha penguatkuasaan hak milik dan akan dipaparkan dalam laporan untuk setiap negara.
“AS menggesa pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menggandakan langkah menangani cetak rompak dan pemalsuan di pasaran berkenaan atau yang serupa dengannya,” katanya.

Walaupun pasaran yang dinamakan itu terdapat di seluruh dunia – daerah beli belah di Amerika Selatan dan Asia Tenggara hinggalah laman web di beberapa negara – laman web dan kawasan di China adalah yang paling banyak dalam senarai itu.

Laporan itu berkata, Baidu, berada di kedudukan keenam senarai laman web utama dunia oleh pengkaji selidik web, Alexa Internet membenarkan cetak rompak menerusi fungsi carian secara ‘mendalam’.

Carian seperti itu akan membawa pengguna terus ke pautan muat turun cetak rompak daripada terus ke pautan utama laman web berkenaan.

sumber: Berita Harian

Kerjasama strategik Proton, Nissan

KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd. (Proton) berkeyakinan terhadap kenderaan generasi akan datangnya akan menggabungkan teknologi terpilih dan kepakaran pembuatan daripada Nissan Motor Co. Ltd. (Nissan).

Proton dan Nissan telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk sama-sama mengendalikan kajian kemungkinan menilai peluang-peluang baru dan ia juga bertujuan untuk mengukuhkan lagi daya saing bersama dalam pasaran global.

"Kajian ini akan memberi tumpuan kepada perkongsian teknologi dan ia seiring dengan daya saing global pada masa sekarang.

"Strategi berkongsi teknologi dan platform telah menjadi proses penting dan bakal memberi kecekapan daripada aspek kos untuk semua pengeluar kereta global," kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, melalui kerjasama tersebut, Proton mampu mengurangkan masa yang diperlukan untuk membangunkan produk baru, memberi penjimatan kos yang ketara daripada aspek pembangunan dan menyediakan keanjalan serta mampu memulakan pelbagai kenderaan daripada set komponen yang sama.

Sementara itu, firma penyelidikan, OSK Research berkata, Tan Chong akan mendapat faedah daripada MoU berkenaan untuk kajian kebolehlaksanaan yang akan dijalankan dalam bidang-bidang kerjasama khusus, termasuk potensi menggunakan platform dan rangkaian kuasa Nissan.

sumber: Kosmo

Selasa, 15 Februari 2011

Konsortium Syed Mokhtar pilihan beli ekuiti Pos Malaysia

KONSORTIUM diterajui Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dikatakan sebagai calon yang mempunyai kelebihan dalam bidaan membeli kepentingan 32.21 peratus dalam Pos Malaysia Bhd daripada Khazanah Nasional Bhd.

Ini susulan langkahnya mengetengahkan bank Islam yang dikuasainya, iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd sebagai calon dalam mewujudkan sinergi strategik dengan Pos Malaysia, sekali gus ‘memenuhi’ kriteria pembida yang dikehendaki agensi pelaburan kerajaan itu.

Bank Muamalat, bank Islam ketiga terbesar Malaysia dari segi aset adalah anak syarikat milik penuh DRB-Hicom, konglomerat yang dikuasai Syed Mokhtar.

Ia dikatakan mampu menjadi rakan sinergi terbaik bagi Pos Malaysia terutama dalam usaha kedua-duanya mengembangkan rangkaian produk serta perkhidmatan serta jangkauan capaian pelanggan masing-masing.

Pos Malaysia ketika ini giat mengembangkan perniagaannya melangkaui perkhidmatan tradisionalnya. Ini termasuk menawarkan khidmat perbankan.

Bank Muamalat pula perlu mengembangkan lagi rangkaian cawangan bagi membolehkannya bersaing lebih berkesan dalam sektor perbankan Islam yang sedang berkembang pesat di negara ini.

Justeru, pakatan Bank Muamalat-Pos Malaysia itu bakal menyediakan platform terbaik untuk pengembangan perniagaan kedua-dua entiti itu.

Pos Malaysia kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. Bank Muamalat pula ketika ini hanya mempunyai 56 cawangan.

Syed Mokhtar, individu ke-655 terkaya di dunia dengan aset dianggarkan bernilai AS$1.5 bilion (RM4.58 bilion) memiliki pegangan 55.92 peratus ekuiti dalam DRB-Hicom Bhd yang dikuasainya menerusi Etika Strategy Sdn Bhd.

Mengikut laporan tahunan DRB-Hicom bagi 2010, pemegang saham utama lain konglomerat itu termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menguasai hampir 10 peratus dan Khazanah dengan 5.13 peratus.

Mengulas perkara itu, Ketua Penganalisis OSK Research, Chris Eng berkata, kerjasama sedia ada Pos Malaysia dengan Maybank Bhd dan RHB Bank Bhd dalam menawarkan beberapa perkhidmatan perbankan bukan menjadi penghalang kepada pembabitan aktif Bank Muamalat dalam syarikat pos itu.

“Kami tidak melihat kerjasama Pos Malaysia dengan Maybank dan RHB Bank sebagai penghalang kepada Bank Muamalat dalam membentuk pakatan bermakna dan lebih meluas dengan Pos Malaysia.

“Sebaliknya menerusinya penyedia perkhidmatan pos tunggal negara itu boleh meluaskan lagi perkhidmatan perbankan yang ditawarkannya, malah mampu menyediakan perkhidmatan perbankan lengkap,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, penyertaan Bank Muamalat itu adalah strategi terbaik Syed Mokhtar menonjolkan lagi jenama bank Islam itu.

Difahamkan, selain Syed Mokhtar, dua gergasi logistik antarabangsa, iaitu Deutsche Post dari Jerman dan TNT Post dari Belanda dan beberapa tokoh perniagaan tempatan lain seperti Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group); dan anak pengasas dan bekas Pengerusi Kumpulan Naza, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin adalah antara pembida yang sudah menghantar cadangan bagi pengambilalihan itu.

Berdasarkan harga penutup saham Pos Malaysia semalam, iaitu RM3.35 sesaham, saham Pos Malaysia milik Khazanah itu adalah bernilai kira-kira RM580 juta.

Sabtu, 12 Februari 2011

HP lancar komputer tablet baru

SAN FRANCISCO 10 Feb. - Hewlett-Packard Co. melancarkan komputer tablet keluarannya, TouchPad yang akan mula dijual pada musim panas ini, sekali gus memberikan saingan dalam pasaran yang dikuasai oleh iPad keluaran Apple Inc dan gajet yang mengaplikasikan perisian Google Inc.

Komputer tablet berukuran 9.7 inci yang mengaplikasikan sistem operasi webOS ciptaan Palm itu merupakan taruhan HP, andai masih terdapat ruang bagi mewujudkan platform perisian baru untuk gajet seumpamanya pada masa ini.

Ia disifatkan sebagai satu risiko seperti yang ditekankan oleh berita kerana Nokia mungkin meninggalkan perisiannya sendiri bagi menggunakan perisian ciptaan Microsoft Corp atau Google.

Butiran harga dan maklumat lain mengenai TouchPad seberat 1.5 pound yang mengoperasikan cip Qualcomm Inc dan menyokong panggilan video itu akan diumumkan kemudian.

Syarikat teknologi terbesar dunia berdasarkan pendapatan itu semalam, turut mengumumkan pelancaran telefon pintar barunya, Veer dan Pre3 berasaskan perisian webOS yang diperoleh HP pada musim panas lalu dalam pembelian bernilai AS$1.2 bilion (RM3.7 bilion) daripada perintis telefon mudah alih, Palm.

Eksekutif syarikat menegaskan, perisian webOS adalah satu platform kukuh yang mahu diaplikasikan kepada pelbagai alatan termasuk komputer peribadi seterusnya pada tahun ini.

"Kami berfikir jauh hari ini. Kami mempunyai satu komitmen untuk mengembangkan jejak webOS, malah lebih jauh seperti perkembangan yang mengambil masa selama bertahun-tahun.

"Komitmen kami ialah untuk mengembangkan pengalaman webOS ke seluruh alatan yang ada untuk pengguna kami," kata ketua bahagian komputer peribadi, Todd Bradley kepada wartawan.

WebOS dilihat ramai sebagai platform yang kukuh, tetapi HP berhadapan pertarungan sukar untuk mendapatkan kuasa tarikan dalam pasaran gajet.

Produk mereka lewat memasuki pasaran yang sememangnya sudah dipenuhi dengan persaingan daripada Apple dan alatan yang berasaskan kepada Android oleh Google. - REUTERS

Facebook, Google ambil alih Twitter?

NEW YORK 10 Feb. - Eksekutif syarikat mikroblogging Twitter Inc. dilapor telah mengadakan perbincangan 'peringkat rendah' dengan eksekutif Facebook Inc. dan Google Inc. beberapa bulan lepas berhubung kemungkinan pengambilalihan Twitter, menurut laporan laman web akhbar Wall Street Journal, semalam.

Menurut akhbar tersebut, perbincangan telah dijalankan dan anggaran pengambilalihan syarikat tersebut berkemungkinan menelan belanja sebanyak AS$8 bilion (RM24.3 bilion) hingga AS$10 bilion (RM30.4 bilion).

Disember lalu, Twitter telah menambah pembiayaan syarikat sebanyak AS$200 juta (RM609.2 juta) dalam satu perjanjian yang meletakkan nilai syarikat tersebut kepada AS$3.7 bilion (RM11.2 bilion) ketika itu.

Pembiayaan dari Silicon Valley, firma usahasama Kleiner Perkins Caufield & Byers dan pelabur-pelabur Twitter itu, menekankan harapan tinggi pelabur terhadap syarikat rangkaian sosial tersebut.

Google dan Facebook tidak mengulas lanjut laporan Wall Street Journal itu.

Facebook baru-baru ini menambah pembiayaannya dalam satu perjanjian yang meletakkan nilai laman web sosial itu kepada AS$50 bilion (RM157 bilion), berbanding AS$10 bilion (RM30 bilion) pada pertengahan 2009.

Google dan Facebook sebelum ini pernah membincangkan tawaran pengambilalihan Twitter dengan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg menawarkan sejumlah AS$500 juta (RM1.5 bilion) kepada pengasas Twitter bagi tujuan itu. Bagaimanapun urus janji itu gagal.

Twitter kini mempunyai seramai 175 pengguna berdaftar. - Reuters

AirAsia perkenal sistem komunikasi terbuka

SYARIKAT penerbangan tambang murah terkemuka, AirAsia Bhd (AirAsia) menjangkakan pelanggannya akan menggunakan kemudahan pusat maklumat dan penyelesaian terbaru yang diperkenalkan bagi mengajukan pelbagai pertanyaan melalui airasia.com/ask.

Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Dr Tony Fernandes, dalam satu kenyataan, berkata pusat maklumat berkenaan disediakan secara percuma untuk pelanggan AirAsia dengan menyediakan ruang bagi mengutarakan soalan berkaitan penerbangan yang dilakukan melalui ruang sembang, webmail dan twitter.

“Sebaik saja soalan diterima, airasia.com/ask akan memberikan maklum balas yang tepat melalui teknologi maklum balas automatik,” katanya.

Menurutnya, teknologi berkenaan juga membolehkan pusat maklumat itu menjejak topik dan trend serta memberikan capaian kepada soalan yang sering dikemukakan.

“Mempunyai sistem komunikasi terbuka seumpama ini adalah penting untuk AirAsia kerana pelanggan adalah keutamaan kami.

“Dengan kemudahan airasia.com/ask, kami memberikan pelbagai nombor untuk dihubungi dengan mudah bagi membolehkan pelanggan mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan syarikat, produk dan perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini perkhidmatan berkenaan boleh dicapai melalui Internet namun, akan menyediakan versi sama bagi pengguna telefon bimbit pada masa akan datang.

sumber: hmetro
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger