Khamis, 3 Mac 2011

Enjin carian China jual barang tiruan

AMERIKA Syarikat (AS) menyenaraikan enjin carian utama China, Baidu serta laman muat turun 'Torrent' dari Sweden, Pirate Bay, di dalam senarai teratas dunia pasaran untuk barangan tiruan dan cetak rompak.

Pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) berkata, kedua-dua laman web itu serta sekumpulan laman web lain bersama-sama 20 kawasan beli-belah seperti Silk Market di Beijing dan Pantip Plaza di Bangkok menjual secara terbuka atau membenarkan penjualan barangan palsu dan cetak rompak dari produk seperti perisian komputer dan perindustrian hinggalah ke siaran secara langsung televisyen sukan.
Walaupun tiada tindakan amaran dalam ‘Laporan Kajian Pasaran Menjijikkan’ global pertama oleh USTR itu, namun katanya, ia akan menjadi sasaran terhadap usaha penguatkuasaan hak milik dan akan dipaparkan dalam laporan untuk setiap negara.
“AS menggesa pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menggandakan langkah menangani cetak rompak dan pemalsuan di pasaran berkenaan atau yang serupa dengannya,” katanya.

Walaupun pasaran yang dinamakan itu terdapat di seluruh dunia – daerah beli belah di Amerika Selatan dan Asia Tenggara hinggalah laman web di beberapa negara – laman web dan kawasan di China adalah yang paling banyak dalam senarai itu.

Laporan itu berkata, Baidu, berada di kedudukan keenam senarai laman web utama dunia oleh pengkaji selidik web, Alexa Internet membenarkan cetak rompak menerusi fungsi carian secara ‘mendalam’.

Carian seperti itu akan membawa pengguna terus ke pautan muat turun cetak rompak daripada terus ke pautan utama laman web berkenaan.

sumber: Berita Harian
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger