Memaparkan catatan dengan label berita harian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita harian. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Mei 2011

Tragedi tanah runtuh: Lima maut sehingga jam 8 malam

KAJANG: Polis mengesahkan sehingga jam 8 malam ini lima orang maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Takwa FELCRA Semungkis, di Hulu Langat, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata 12 berjaya diselamatkan daripada tempat kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pasukan penyelamat dan polis akan meneruskan operasi menyelamat sehingga menemui semua mangsa kejadian.

"Kita tidak akan berhenti dalam operasi ini, kita akan teruskan sehingga jumpa semua mangsa," katanya.

sumber: berita harian

Rabu, 23 Mac 2011

Keputusan SPM bukti program Tawaran Baru beri kesan positif

PUTRAJAYA: Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini, jelas menunjukkan program Tawaran Baru yang dilaksanakan antara sekolah dan Kementerian Pelajaran memberikan kesan positif dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata ini berdasarkan kepada penurunan bilangan sekolah dengan pencapaian sekolah berpotensi pada tahun lalu melebihi 50 peratus berbanding 2009 iaitu daripada 143 sekolah kepada 66 sekolah.

Justeru itu, beliau berkata satu majlis khas untuk mengumumkan nama sekolah terbaik serta pelajar cemerlang akan diadakan di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jalan Duta Kuala Lumpur, pada 1 April, yang dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Rumusan kementerian juga mendapati sebahagian besar sekolah berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan," katanya pada sidang media untuk mengumumkan analisis keputusan SPM di sini hari ini.

Beliau berkata, pada tahun lalu, 67 sekolah dikategorikan cemerlang berbanding 66 pada 2009, 340 baik berbanding 278 dan 1,683 lagi sekolah di bawah kategori memuaskan berbanding 1,654.

"Semua pihak yang terbabit khususnya pentadbir dan guru-guru sekolah berjaya memainkan peranan masing-masing dengan efektif dan efisyen hingga dapat melahirkan pelajar yang berupaya mencapai kecemerlangan akademik," katanya.

Tawaran baru atau bai'ah itu adalah empat bidang kecil di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan, menawarkan guru besar ganjaran RM7,500, diikuti lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah terbabit menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900, petugas sokongan seperti kerani juga diberi imbuhan setimpal. - BERNAMA

Khamis, 3 Mac 2011

Enjin carian China jual barang tiruan

AMERIKA Syarikat (AS) menyenaraikan enjin carian utama China, Baidu serta laman muat turun 'Torrent' dari Sweden, Pirate Bay, di dalam senarai teratas dunia pasaran untuk barangan tiruan dan cetak rompak.

Pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) berkata, kedua-dua laman web itu serta sekumpulan laman web lain bersama-sama 20 kawasan beli-belah seperti Silk Market di Beijing dan Pantip Plaza di Bangkok menjual secara terbuka atau membenarkan penjualan barangan palsu dan cetak rompak dari produk seperti perisian komputer dan perindustrian hinggalah ke siaran secara langsung televisyen sukan.
Walaupun tiada tindakan amaran dalam ‘Laporan Kajian Pasaran Menjijikkan’ global pertama oleh USTR itu, namun katanya, ia akan menjadi sasaran terhadap usaha penguatkuasaan hak milik dan akan dipaparkan dalam laporan untuk setiap negara.
“AS menggesa pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menggandakan langkah menangani cetak rompak dan pemalsuan di pasaran berkenaan atau yang serupa dengannya,” katanya.

Walaupun pasaran yang dinamakan itu terdapat di seluruh dunia – daerah beli belah di Amerika Selatan dan Asia Tenggara hinggalah laman web di beberapa negara – laman web dan kawasan di China adalah yang paling banyak dalam senarai itu.

Laporan itu berkata, Baidu, berada di kedudukan keenam senarai laman web utama dunia oleh pengkaji selidik web, Alexa Internet membenarkan cetak rompak menerusi fungsi carian secara ‘mendalam’.

Carian seperti itu akan membawa pengguna terus ke pautan muat turun cetak rompak daripada terus ke pautan utama laman web berkenaan.

sumber: Berita Harian

Selasa, 15 Februari 2011

Ronaldo bersara

SAO PAULO: Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo, yang membantu pasukannya menjuarai dua trofi Piala Dunia dan masih bergelar penjaring terbanyak temasya itu mengumumkan persaraannya semalam, menurut media Brazil.

“Saya tidak boleh tahan lagi,” kata pemain 34 tahun itu kepada akhbar Estado de Sao Paulo.
“Saya mahu terus bermain, tetapi saya tidak mampu melakukannya. Saya mahu melakukan sesuatu di atas padang tetapi saya tidak mampu melakukan seperti yang saya mahukan. Tubuh saya dimamah usia.”
“Saya sakit seluruh badan,” katanya kepada stesen televisyen Globo. “Hati saya mahu meneruskannya tetapi tubuh saya tidak dapat bertahan lagi.”

Ronaldo sejak kebelakangan ini sering memperkatakan mengenai persaraan pada akhir tahun.

Tetapi beberapa siri kecederaan dan penyingkiran kelabnya, Corinthians, daripada Copa Libertadores, kejohanan kelab paling berprestij Amerika Selatan, kelihatan menganjakkan tarikh itu.

Dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman, pemain digelar ‘El Fenomeno’ kerana kehebatannya menyimpan hasrat untuk beraksi di Piala Dunia, Afrika Selatan tahun lalu, tetapi impian itu tidak kesampaian. - AFP

sumber: berita harian

Aksi 16 terakhir bagai ulangan musim lalu

PARIS: Ia seolah-olah ulangan Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu apabila undian pusingan 16 terakhir kali ini, menemukan enam pasukan dengan lawan yang mereka temui pada kejohanan, musim lalu.

Real Madrid, memburu gelaran ke-10, berpeluang membalas dendam penyingkiran mereka pada peringkat sama musim lalu apabila berdepan Lyon, manakala Arsenal menyambung perseteruan dengan pasukan yang menyingkirkan mereka di suku akhir, Barcelona.
Namun, pertemuan semula paling beremosi menyaksikan Bayern Munich berdepan Inter Milan, yang menewaskan pasukan Bavaria itu 2-0 pada final di Madrid, musim lalu.
Arsenal dilihat memiliki tugas paling sukar apabila menentang Barcelona yang semakin meningkat tahap permainannya ke takuk menakjubkan.

Jurulatih Arsenal, Arsene Wenger mengakui Barcelona lebih kuat berbanding 12 bulan lalu tetapi merasakan pasukannya juga semakin meningkat.

“Prestasi kami lebih berbeza menjelang perlawanan ini dan kami berada pada keadaan fizikal lebih baik,” kata Wenger. Bercakap mengenai perkara itu, saya mengakui Barcelona lebih kuat berbanding tahun lalu. Tetapi saya berpendapat kami boleh memberikan mereka ujian lebih sukar.”

sumber: berita harian
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger