Selasa, 15 Februari 2011

Aksi 16 terakhir bagai ulangan musim lalu

PARIS: Ia seolah-olah ulangan Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu apabila undian pusingan 16 terakhir kali ini, menemukan enam pasukan dengan lawan yang mereka temui pada kejohanan, musim lalu.

Real Madrid, memburu gelaran ke-10, berpeluang membalas dendam penyingkiran mereka pada peringkat sama musim lalu apabila berdepan Lyon, manakala Arsenal menyambung perseteruan dengan pasukan yang menyingkirkan mereka di suku akhir, Barcelona.
Namun, pertemuan semula paling beremosi menyaksikan Bayern Munich berdepan Inter Milan, yang menewaskan pasukan Bavaria itu 2-0 pada final di Madrid, musim lalu.
Arsenal dilihat memiliki tugas paling sukar apabila menentang Barcelona yang semakin meningkat tahap permainannya ke takuk menakjubkan.

Jurulatih Arsenal, Arsene Wenger mengakui Barcelona lebih kuat berbanding 12 bulan lalu tetapi merasakan pasukannya juga semakin meningkat.

“Prestasi kami lebih berbeza menjelang perlawanan ini dan kami berada pada keadaan fizikal lebih baik,” kata Wenger. Bercakap mengenai perkara itu, saya mengakui Barcelona lebih kuat berbanding tahun lalu. Tetapi saya berpendapat kami boleh memberikan mereka ujian lebih sukar.”

sumber: berita harian
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger