Jumaat, 23 September 2011

Pengguna tidak berpuas hati dengan Facebook

berita berita terkini
SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Para pengguna Facebook kelmarin memberi reaksi tidak puas hati tentang beberapa pembaharuan yang dilaksanakan di laman rangkaian sosial tersebut.

Di Facebook, orang ramai meluahkan ketidakpuasan hati mereka dengan mewujudkan laman bertajuk 'Petisyen untuk menentang tapak web baru Facebook' manakala laman serupa, #NewFacebook turut diwujudkan di Twitter.

Sebahagian mereka mengadu bahawa perubahan terbaharu Facebook dibuat untuk meniru pesaingnya, Google+ dan perkhidmatan mesej perkongsian berita di Twitter.

"Ramai yang berasa tidak berpuas hati tetapi tiada seorang pun yang akan berpindah (menggunakan laman jaringan sosial lain)," katanya.

Para pengguna Facebook sebelum ini banyak membuat aduan tentang perubahan dalam laman sosial berkenaan tetapi mereka kemudian berusaha untuk menyesuaikan diri dan masih menjadi pengguna setia laman web itu.

Komen negatif itu disuarakan sehari selepas Facebook mula melaksanakan beberapa siri penambahbaikan dalam apa yang dinamakan oleh pengasasnya Mark Zuckerberg sebagai 'musim pelancaran' untuk ciri-ciri terbaru.

Ciri News Feed di Facebook yang memaparkan kemas kini daripada rakan-rakan kini memberi fokus kepada penghantaran penting dengan paparan imej yang lebih besar berbanding sebelumnya manakala kolum sembang Ticker pula ditambah untuk perbualan dalam masa sebenar.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Facebook banyak memberi tumpuan untuk mencipta kaedah-kaedah baharu supaya para pengguna dapat mengawal aspek penerimaan dan perkongsian maklumat dengan lebih baik.

Facebook pada minggu lalu membenarkan pengguna mengikuti perkembangan orang asing yang bukan rakan mereka melalui penambahan butang Subscribe seperti yang terdapat di Twitter.

Selain itu, Facebook juga membenarkan penggunanya membuat pilihan tentang jenis kemas kini daripada rakan-rakan yang dibenarkan dipaparkan di laman Facebook mereka.

Panel sembang Ticker di kolum kanan skrin Facebook pula membolehkan orang ramai bersembang melalui mesej teks jika terdapat paparan imej baharu atau penghantaran lain.

Facebook dijangkakan membuat lebih banyak pengumuman mengenai pembaharuan laman web itu pada persidangan tahunan pembina rangkaian laman sosial di sini hujung minggu ini.

Antara spekulasi yang tersebar termasuk pelancaran platform untuk perkhidmatan muzik dalam talian seperti Rdio dan Spotify selain paparan berita daripada agensi-agensi profesional.

Persidangan itu diadakan beberapa hari selepas enjin carian Internet Google melancarkan Google+ sebagai saingan terbaru Facebook. - AFP

[kosmo online]

Bill Gates paling kaya di AS

berita berita terkini
LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Status ekonomi AS yang tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak menghalang pengasas gergasi perisian komputer Microsoft, Bill Gates mengungguli tempat teratas individu terkaya di AS selama 18 tahun berturut-turut.

Senarai tersebut yang di keluarkan oleh majalah Forbes kelmarin, turut menyenaraikan 400 orang terkaya di negara kuasa besar berkenaan.

Menurut majalah tersebut, nilai kekayaan pengasas bersama Microsft itu pada tahun ini ialah AS$59 bilion (RM185.82 bilion), bertambah sebanyak AS$5 bilion (RM15.74 bilion) sepanjang tahun ini berbanding setahun lalu.

Perkembangan itu meletakkan pelabur, Warren Buffet di tempat kedua dengan nilai kekayaan sebanyak AS$39 bilion (RM122.83 bilion).

Orang ketiga terkaya di AS ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Oracle, Larry Ellison dengan kekayaan berjumlah AS$33 bilion (RM103.93 bilion), bertambah AS$6 bilion (RM18.89 bilion) berbanding tahun lalu.

Spekulator mata wang George Soros pula berada di tempat ketujuh.

Beliau buat kali pertama berada dalam kedudukan 10 orang terkaya di negara tersebut.

Forbes menganggarkan kekayaan Soros bernilai AS$22 bilion (RM69.28 bilion).

Turut tersenarai dalam 10 orang paling kaya AS tahun ini ialah waris kepada pengasas rangkaian pasar raya Wal-Mart Stores Inc., Sam Walton.

Dalam senarai tersebut, Forbes menyatakan sebanyak 262 individu mengalami peningkatan nilai kekayaan, 72 pula menurun manakala 18 individu berada di dalam senarai 400 orang terkaya di AS buat pertama kali.

Terdapat 42 wanita yang turut tersenarai termasuk pengacara terkenal, Oprah Winfrey pada tangga ke-139, dengan anggaran kekayaan bernilai AS$2.7 billion (RM8.50 bilion). - AP

[kosmo online]

Bekas eksekutif Proton dipenjara, denda

berita berita terkini
KUALA LUMPUR – Seorang bekas eksekutif pembelian Proton dipenjara enam bulan dan didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan menerima rasuah membabitkan RM3,028.27 daripada seorang pemilik syarikat enam tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu terhadap Fahmy Ameer Mohd Raf, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Bagi setiap pertuduhan, Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau, penjara enam bulan jika gagal membayar denda, dan memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak.

Mengikut semua pertuduhan itu, Fahmy Ameer menerima nilai sama RM432.61 antara 12 Sept 2005 dan 15 Jun 2006 untuk bayaran ansuran keretanya daripada pemilik Syarikat Enrich Ford Sdn. Bhd., Mohd Sharid Md Salleh.

Bayaran itu sebagai balasan supaya tidak menghalang syarikat itu mendapatkan kerja daripada Proton. Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 5, Wisma Nusantara, Jalan Puncak, Off Jalan P.Ramlee di sini.

Terdahulu, peguam Shahrul Nizam Azwir mewakili Fahmy Ameer, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada anak guamnya kerana tertuduh merupakan pesalah pertama dan menyara isteri serta dua anaknya masing-masing berusia enam tahun dan lapan bulan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azuan Adzhar.

[bernama]

79 Termasuk 22 Wanita Ditahan Kerana Berjudi

berita berita terkini
GEORGETOWN – Polis menahan 79 orang termasuk 22 wanita yang sedang berjudi di sebuah bangsal di Kampung Batak, Relau di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Far Him berkata serbuan dalam “Ops Dadu” itu dilakukan selepas pihak polis menjalankan intipan di kawasan berkenaan sejak minggu lepas.

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Daerah Barat Daya pada kira-kira pukul 1 pagi tadi.

“Kesemua yang ditahan merupakan penduduk tempatan yang berusia lingkungan 40 hingga 70 tahun,” katanya kepada Bernama.

Lai berkata ketika serbuan dijalankan kesemua mereka sedang leka bermain judi yang melibatkan pertaruhan wang tunai.

“Semasa serbuan itu terdapat juga beberapa orang suspek cuba melarikan diri, namun polis berjaya menahan mereka,” katanya. Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas wang pertaruhan berjumlah lebih RM1,538 termasuk pelbagai peralatan perjudian seperti cip, meja, kerusi dan kalkulator.

Lai berkata kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dan didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, katanya polis akan meningkatkan operasi bagi membanteras kegiatan judi haram yang semakin berleluasa di daerah barat daya. - BERNAMA

[bernama]

Aset RM72.7b milik Gaddafi ditemui

berita berita terkini
TRIPOLI, Libya - Pemerintah sementara Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyatakan, pihaknya mendapat durian runtuh apabila menemui aset berjumlah AS$23 bilion (RM72.7 bilion) di bank pusat Libya yang tidak digunakan oleh bekas pemimpin negara berkenaan, Muammar Gaddafi, lapor akhbar Financial Times semalam.

Penemuan tersebut yang dilaporkan Financial Times dapat membantu usaha NTC dalam membangunkan semula negara berkenaan.

Seorang pegawai kewangan NTC, Wafik Shater memberitahu wartawan di Dubai, bank pusat itu menyimpan wang kertas dinar Libya berjumlah beberapa bilion.

Satu bilion dinar Libya bersamaan sekitar AS$820 juta (RM2.58 bilion).

"Wang berkenaan mencukupi untuk membolehkan NTC mentadbir negara ini selama enam bulan," kata Shater.

"Kami berada dalam kedudukan kewangan yang lebih baik daripada jangkaan kami sebelum ini," tambahnya.

NTC sebelum ini merayu masyarakat antarabangsa supaya memansuhkan sekatan ke atas Libya serta membebaskan aset berjumlah sekitar AS$170 bilion (RM536.1 bilion) yang disimpan di luar negara.

Gaddafi kini dalam buruan askar-askar NTC selepas rejimnya tumbang menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu selepas bertempur sejak Februari lalu. - Agensi

[kosmo online]
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger