Memaparkan catatan dengan label rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rasuah. Papar semua catatan

Jumaat, 23 September 2011

Bekas eksekutif Proton dipenjara, denda

berita berita terkini
KUALA LUMPUR – Seorang bekas eksekutif pembelian Proton dipenjara enam bulan dan didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan menerima rasuah membabitkan RM3,028.27 daripada seorang pemilik syarikat enam tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu terhadap Fahmy Ameer Mohd Raf, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Bagi setiap pertuduhan, Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau, penjara enam bulan jika gagal membayar denda, dan memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak.

Mengikut semua pertuduhan itu, Fahmy Ameer menerima nilai sama RM432.61 antara 12 Sept 2005 dan 15 Jun 2006 untuk bayaran ansuran keretanya daripada pemilik Syarikat Enrich Ford Sdn. Bhd., Mohd Sharid Md Salleh.

Bayaran itu sebagai balasan supaya tidak menghalang syarikat itu mendapatkan kerja daripada Proton. Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 5, Wisma Nusantara, Jalan Puncak, Off Jalan P.Ramlee di sini.

Terdahulu, peguam Shahrul Nizam Azwir mewakili Fahmy Ameer, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada anak guamnya kerana tertuduh merupakan pesalah pertama dan menyara isteri serta dua anaknya masing-masing berusia enam tahun dan lapan bulan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azuan Adzhar.

[bernama]

Khamis, 28 April 2011

SPRM tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam siasatan kes rasuah

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menyebelahi mana-mana parti politik dalam membanteras gejala rasuah di negara ini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.


Beliau berkata, sekiranya menemui bukti kukuh dalam siasatan terhadap mana-mana individu sama ada dari parti pemerintah atau pembangkang, suruhanjaya itu tidak akan teragak-agak membawa individu terbabit ke muka pengadilan. "Bagi kami, rasuah membabitkan kepentingan rakyat tidak kira apa fahaman politik sekalipun. Jadi dakwaan bahawa SPRM menyebelahi pihak kerajaan dalam siasatan dan dakwaan kes rasuah adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam wacana 'Rasuah Pemusnah Tamadun' di Auditorium Karangkraf di sini petang ini.


Turut menjadi panel dalam wacana anjuran Karangkraf itu ialah pengasas Gerakan Rakyat Anti Korupsi, Senator Ezam Mohd Nor, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta pengasas ESQ Leadership Centre Dr Ary Ginanjar.


Mengambil contoh Selangor, Abu Kassim berkata, sepanjang pemerintahan bekas-bekas Menteri Besar seperti Datuk Harun Idris, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Dr Mohamad Khir Toyo, negeri itu sentiasa dalam siasatan SPRM. Bagaimanapun, beliau berkata, apabila negeri itu kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat, siasatan yang dilakukan oleh SPRM membabitkan beberapa kes rasuah dipersoalkan.


"Kenapa sekarang tidak boleh (disiasat)? Ia hanya siasatan, bukan dituduh," katanya. Abu Kassim berkata, siasatan terhadap beberapa pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dalam operasi 3B baru-baru ini adalah bukti ketelusan SPRM dalam menjalankan tugas.


Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap beberapa pihak yang mendakwa SPRM gagal mengheret ramai golongan ternama terutama di kalangan parti pemerintah ke muka pengadilan berkaitan jenayah rasuah.


Katanya semua pihak harus faham bahawa setiap siasatan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan di mahkamah jika tidak mempunyai bukti dan keterangan mencukupi untuk mensabitkan individu atau kumpulan tertentu dengan rasuah.


"SPRM juga pernah dikecam hebat kerana tidak menjalankan siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud kerana memiliki kekayaan peribadi luar biasa sedangkan kami sudah menyiasat kes itu sebanyak sembilan kali dan berulang kali menjelaskannya di Parlimen," katanya.


Abu Kassim turut menafikan dakwaan Mohammad Nizar bahawa SPRM menutup siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia.


"Kita masih menyiasat, siapa kata sudah ditutup (kes)? SPRM without fear and favour akan tetap jalankan siasatan," katanya. Ketika ditanya perlu atau tidak SPRM mendedahkan siasatannya di media, Abu Kassim berkata, selagi kes masih dalam siasatan pihaknya tidak boleh mendedahkannya, tidak kira siasatan membabitkan individu dari pihak parti pemerintah atau pembangkang.


Ezam pula berkata usaha untuk membanteras rasuah memerlukan pengorbanan yang besar dan beliau turut mencadangkan supaya SPRM menjadi lebih kreatif dalam menghukum pesalah rasuah. "Nak kumpul bukti itu susah dan kita cadangkan dalam kaedah hukum kita perluaskan seperti menggunakan akta-akta lain seperti Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana kita boleh lihat lifestyle seseorang individu itu. Burden of proof is too high jadi tidak mustahil untuk SPRM turut menggunakan akta lain," katanya.


Mohammad Nizar pula mencadangkan supaya setiap ketua organisasi di negara ini seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Parlimen bagi mempastikan ketelusan dan keadilan
dalam tugas masing-masing.


Manakala Dr Ary mencadangkan agar semua parti politik di Malaysia termasuk pembangkang mengetepikan fahaman politik masing-masing dan bersatu dalam melaksanakan usaha membanteras jenayah rasuah. "Apapun yang paling penting ialah kembali kepada ajaran Islam itu sendiri dan sekiranya pegangan agama kukuh, gejala rasuah tidak akan berlaku kerana kita hidup dalam kejujuran dan keimanan," katanya. - BERNAMA



kredit

Sabtu, 26 Mac 2011

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tangani rasuah penjawat awam

KUALA LUMPUR: Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, inisiatif perundangan utama di bawah bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi rasuah, digubal untuk menangani gejala itu terutama di kalangan penjawat awam.


Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin berkata akta itu menggalakkan pendedahan sebarang kelakuan tidak wajar serta melindungi identiti individu yang membuat pendedahan atau pemberi maklumat.

"Akta ini juga memperuntukkan imuniti kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah. Undang-undang ini merangkumi bukan sahaja kepada sektor awam, malahan boleh diaplikasikan oleh sektor swasta," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, ia berbeza dengan Akta Perlindungan Saksi kerana identiti pemberi maklumat dilindungi dan individu itu tidak perlu hadir ke pejabat agensi penguat kuasa untuk melaporkan kelakuan tidak wajar yang diketahuinya.

Katanya, pemberi maklumat boleh menghubungi pegawai agensi penguat kuasa serta boleh berjumpa di mana-mana tempat yang dirasakan selamat dan selesa.


"Laporan juga boleh dibuat melalui surat atau e-mel, dengan syarat pemberi maklumat memberikan nombor telefon serta alamat untuk dihubungi bagi pengesahan identiti pemberi maklumat, serta mengelakkan laporan atau maklumat palsu," katanya.


Hisham berkata, kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada sudah melaksanakan perlindungan terhadap pemberi maklumat dan ia dikenali sebagai "Whistleblower Act".


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penubuhan empat Mahkamah Tinggi Khas Rasuah dan 14 Mahkamah Seksyen Rasuah yang mula beroperasi sejak 16 Februari lalu dijangka melancarkan prosiding mahkamah melalui pengkhususan kes. Katanya, pelaksanaan inisiatif itu juga akan mengurangkan kes tertunggak di mahkamah dan meningkatkan kualiti pendakwaan.


"Ini akan membantu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap integriti badan kehakiman dan perundangan serta kesungguhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam membanteras jenayah rasuah", katanya. - BERNAMA


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger