
Jumaat, 23 September 2011
Aset RM72.7b milik Gaddafi ditemui

Jumaat, 22 April 2011
3 jet Sweden berlepas bantu Nato kawal Libya
STOCKHOLM: Tiga jet pejuang meninggalkan Sweden, semalam untuk menyertai misi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.
Jurucakap tentera udara negara itu, Rickard Wissman, berkata pesawat JAS 39 Gripen meninggalkan pangkalan Blekinge di utara Sweden kira-kira jam 4 petang (waktu Malaysia).
Katanya, jet itu dijangka tiba di pangkalan tentera udara di Sardinia empat jam kemudian.
“Empat lagi jet dijadual berlepas untuk menyertai misi berkenaan esok (hari ini),” katanya.
Wissman berkata, sebaik mendarat, tiga jet pertama itu bersedia menjalankan tugas membantu Nato mengawasi ruang udara Libya.
Kelmarin, ahli parlimen Sweden meluluskan usul menghantar sehingga lapan jet pejuang dan satu pesawat pengangkut menyetai misi diketuai Nato.
Bagaimanapun, jet itu dilarang mengebom tentera darat Libya, kecuali diserang. - AP
Selasa, 29 Mac 2011
Kerajaan Libya isytihar genjatan senjata di Misrata
RABAT 29 Mac - Kementerian Luar Negara Libya mengisytiharkan genjatan senjata di Misrata hari ini, kata agensi berita tempatan merujuk kepada kawasan bandar di barat Libya.
"Kementerian Luar Negara mengisytiharkan unit anti pengganas telah menghentikan serangan terhadap sasaran kumpulan pengganas.
"Bandar Misrata kini dalam keadaan selamat dan tenang di samping perkhidmatan awam sudah mula beroperasi untuk memberikan khidmat mereka kepada penduduk," kata pihak kementerian yang dipetik oleh agensi berita Jana. - Reuters
Isnin, 28 Mac 2011
NATO ambil alih operasi ketenteraan di Libya
BRUSSELS 28 Mac ? Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bersetuju untuk mengambil alih operasi ketenteraan di Libya, kata pegawai NATO dan diplomat hari ini.
?NATO memutuskan untuk melaksanakan semua undang-undang yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam serta kawasannya dari sebarang ancaman rejim Muammar Gaddafi,? kata pegawai NATO selepas mesyuarat bersama 28 ahli negara bersekutu.
Berikutan itu, NATO mempunyai mandat untuk mengawal dan menentukan pergerakan operasi ketenteraan tersebut. ? Reuters
Tentera Ghaddafi serang benteng pemberontak di Misrata
ALGIERS 27 Mac - Pasukan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan terhadap bandar Misrata yang dikuasai pemberontak dari sebelah barat dan timur pada semalam.
Misrata adalah satu-satunya benteng besar pemberontak berhaluan kiri di barat Libya dan kawasan yang terletak jauh dari pusat utama pasukan pemberontak di timur negara itu.
"Pasukan tentera Ghaddafi telah melancarkan serangan dari sebelah barat dan timur Misrata," kata seorang pemberontak yang dikenali sebagai Saadun kepada Reuters. - Reuters
Sabtu, 26 Mac 2011
12 jet UAE bantu Barat pantau Libya
DUBAI: Sekutu rapat Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjanji menyediakan enam jet pejuang F-16 dan enam Mirage bagi membantu menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.
Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah Zayed al-Nahayan, berkata penyertaan negara itu bersama tentera Bersekutu akan dimulakan beberapa hari lagi.
“Bagi menyokong Resolusi 1973 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UAE akan terbabit sepenuhnya dalam operasi kemanusiaan di Libya,” katanya kepada media, semalam.
Janji Abdullah itu dibuat agak lewat selepas awal minggu ini UAE tidak bersependapat dengan Barat dalam isu kekacauan di Bahrain.
Akhbar melaporkan, UAE memberi sokongan kepada kerajaan monarki Bahrain tetapi Barat cenderung bersimpati kepada kebangkitan rakyat di negara berkenaan.
Seorang pegawai kanan tentera Abu Dhabi berpangkat jeneral berkata, Barat menganggap kebangkitan rakyat itu adalah gerakan prodemokrasi.
“Sebenarnya, apa yang berlaku gagal difahami Barat kerana ia membabitkan konspirasi Iran,” katanya.
Jeneral itu berkata, UAE sebelum ini keberatan membantu kerana Barat - terutama AS - enggan mengakui ancaman yang ada di Bahrain. - AFP
Khamis, 24 Mac 2011
Pemimpin Libya akan cuba kekal kuasa: Obama
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam memberi amaran, Muammar Gaddafi mungkin berusaha mengekalkan kuasa meskpiun berdepan dengan serangan tentera bersekutu. Bagaimanapun, Obama berkata, pendekatan ketenteraan bukan satu-satunya cara untuk menyingkirkan pemimpin Libya itu.
“Kita sudah mengenakan sekatan antarabangsa. Kita sudah membekukan asetnya. Kita akan terus mengenakan pelbagai tekanan terhadapnya,” kata Obama kepada CNN di El Salvador. Pemimpin Amerika itu juga mengingatkan, langkah menguatkuasakan zon larangan terbang terpaksa dilakukan selepas ketetapan Majlis Keselamatan Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diluluskan minggu lalu bagi memastikan rakyat Libya tidak menjadi sasaran serangan tentera negara mereka sendiri.
Obama yang berada di El Salvador sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Amerika Latin berkata, beliau percaya serangan udara yang dilancarkan negaranya, Britain dan Perancis beraya menyelamatkan nyawa orang awam di Libya. - AP
Isnin, 21 Mac 2011
64 maut di Libya
TRIPOLI 21 Mac - Jumlah korban akibat serangan udara yang tercetus lewat malam semalam meningkat kepada 64 orang daripada 48 orang yang dicatatkan dalam laporan sebelumnya, kata seorang pegawai kesihatan Libya hari ini.
?Kebanyakan kematian berpunca daripada kecederaan yang mereka alami, akibat itu jumlah kematian semakin meningkat,? kata pegawai itu yang tidak mahu namanya disiarkan. - Reuters
Khamis, 3 Mac 2011
Gaddafi beri amaran keras
TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam memberi amaran keras kepada Barat agar tidak campur tangan dengan menyokong penentangan terhadapnya.Pemimpin berkenaan menyatakan ribuan orang akan mati jika Barat mencampuri urusan negara tersebut dengan membantu gerakan penentang terhadap pemerintahannya.
Ucapannya itu dibuat pada satu majlis bagi memperingati gerakan rakyat di sini semalam.
Beliau membuat ucapan selepas askar-askar yang setia kepada Gaddafi bertempur dengan para penentang pemerintahannya di bandar Brega, timur Libya.
Menurut laporan stesen televisyen Al-Jazeera, bandar Brega itu dikuasai oleh para penentang pemerintah Gaddafi.
Stesen televisyen Al-Arabiya menyatakan sebuah lapangan terbang di Brega sudah jatuh ke tangan para penyokong Gaddafi.
Bagaimanapun, Al-Jazeera melaporkan beberapa buah pesawat mengebom bandar Ajdabiyah selepas para penentang Gaddafi menguasai sebuah pangkalan tentera.
Dalam ucapan itu, Gaddafi menegaskan, campur tangan Barat hanya akan mencetuskan 'peperangan dahsyat' yang akan mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Libya.
Gaddafi sekali lagi menyalahkan pergerakan Al-Qaeda kerana mencabar pemerintahan kuku besinya hampir 42 tahun.
Beliau berkata, Al-Qaeda menguasai tanah air Libya dan hasil minyak negara itu. Gaddafi berikrar akan berjuang bermati-matian untuk menghalang niat jahat tersebut.
MUAMMAR GADDAFI menghadiri majlis memperingati kuasa rakyat di Tripoli semalam.
Dalam ucapannya, Gaddafi menafikan berlakunya demonstrasi aman di Libya sejak rakyat mula bangkit menentang pemerintahannya pada 15 Februari lalu.

Menyentuh mengenai industri minyak negara yang kini jatuh ke tangan pihak penentang, beliau menjelaskan, "kumpulan-kumpulan Al-Qaeda ini menyebabkan syarikat-syarikat minyak berada dalam ketakutan, melarikan diri dan menghentikan pengeluaran minyak. Pengeluaran minyak kini berada pada tahap paling minimum".
"Semua yang berlaku jelas menunjukkan konspirasi jahat Al-Qaeda.
"Semua ini tidak boleh dibiarkan. Kami akan berperang sehingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.
Gaddafi mendakwa penduduk bandar Benghazi yang sebelum ini memainkan peranan utama dalam penentangan terhadap pemerintahannya, telah meminta pertolongan beliau untuk mengusir kumpulan-kumpulan bersenjata di sana.
"Tiada kekacauan yang berlaku di Libya seperti dilaporkan media asing," katanya.
sumber: Kosmo

