
Jumaat, 23 September 2011
Aset RM72.7b milik Gaddafi ditemui

Ahad, 3 April 2011
Gaddafi tak berganjak
TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata semalam, bukan beliau yang sepatutnya meletak jawatan. Sebaliknya, pemimpin Barat yang memusnahkan pasukan tenteranya dengan serangan udara yang sepatutnya berbuat demikian serta-merta.
Gaddafi menyifatkan pemimpin negara berkenaan yang menyerang negaranya sebagai mereka ‘yang gila kuasa.’ “Penyelesaian terhadap masalah ini ialah perletakan jawatan mereka serta-merta,” kata Gaddafi, dipetik oleh agensi berita Libya, Jana.
Tenteranya kembali mencapai kejayaan dalam menyekat kemaraan kumpulan pemberontak dengan menguasai semula bandar Brega selepas memaksa pengunduran kumpulan penentang itu beberapa kilometer ke wilayah yang mereka kuasai di timur Libya.
Sementara itu, kumpulan pemberontak menyifatkan Gaddafi sebagai haiwan yang cedera.
“Serigala yang cedera adalam lebih berbahaya daripada yang sihat. Kami berharap semakin ramai pegawainya berpaling tadah dan saya percaya beliau akhirnya akan mendapati tidak ada di sekelilingnya lagi,” kata jurucakapnya, Mustafa Gheriani. Dalam pada itu, bekas Menteri Luar dan Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ali Abdelssalam mengumumkan perletakan jawatannya menerusi beberapa laman web pembangkang. semalam. - AP
Isnin, 28 Mac 2011
Kesahihan dakwaan rejim Gaddafi diragui
TRIPOLI: Lawatan dikendali kakitangan kerajaan untuk wakil media bagi melaporkan kesan serangan tentera Bersekutu didakwa mencetuskan lebih banyak tanda tanya berbanding penjelasan.
Percanggahan data mengenai kematian di kalangan orang awam terus ketara setiap hari sejak tentera Bersekutu melancarkan serangan udara pada awal pagi 20 Mac lalu. Apabila ditanya, kakitangan kerajaan kelihatan sulit untuk memberikan bukti konkrit pengeboman itu mengorbankan lebih ramai orang awam.
AS dan sekutunya pula bertegas mendakwa serangan itu dibuat berhati-hati dan mensasarkan hanya lokasi khusus dalam usaha mereka melumpuhkan sistem pertahanan udara. Ketika sekumpulan wakil media daripada agensi berita asing dibawa melihat pengebumian 33 mangsa serangan itu, penduduk setempat dilihat hanya menurunkan hanya 13 mayat ke liang lahad.
Tiada sebarang maklumat lanjut mengenai identiti atau bagaimana mereka terkorban diberikan kepada media. Lebih janggal, keadaan itu tidak seperti kelaziman masyarakat Arab yang menangisi korban perang. Biasanya, pengebumian mangsa perang dianggap syahid, selain diwarnai tangisan ahli keluarga atau pekikan kemarahan.
Pagi kelmarin, wartawan diberitahu akan dibawa ke hospital untuk melihat mangsa serangan udara tentera Bersekutu, tetapi akhirnya diiringi ke rumah mayat. Kakitangan di situ hanya memberitahu, mayat itu adalah mangsa pengeboman dua hari berturut-turut ke atas Tripoli dan Tajoura. Tiada butiran lanjut diberikan. - AP
Jumaat, 25 Mac 2011
Tentera Gaddafi akan hancur beberapa hari: Juppe
PARIS: Menteri Luar Perancis, Alain Juppe berkata, tentera bersekutu Barat akan mengambil masa beberapa hari atau minggu saja, bukan beberapa bulan, untuk memusnahkan tentera Muammar Gaddafi.
Jet penggempur Barat mengebom Libya buat malam kelima berturut-turut semalam tetapi sehingga ini gagal untuk menghentikan serangan meriam tentera Gaddafi terhadap bandar yang dikuasai pemberontak atau mengundurkan tentera Libya dari satu persimpangan strategik di timur negara itu.
Juppe juga mempertahankan rentak operasi itu dengan berkata: “Anda tidak boleh menjangka kami akan mencapai matlamat dalam masa lima hari saja.” Perancis mengetuai campur tangan tentera yang dibenarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha menghentikan serangan tentera kerajaan Libya terhadap pasukan pemberontak. Ia kini berusaha bersama-sama Britain untuk mewujudkan kumpulan penghubung, yang terdiri daripada beberapa negara utama yang terbabit dalam operasi itu dan negara Arab. Ia bertujuan membincangkan hal mengenai pentadbiran politik dan strategi untuk misi itu sementara Nato akan mengendalikan penyelerasan harian tentera. - AFP
Rabu, 23 Mac 2011
Tiada siapa tahu di mana Gaddafi
Pegawai pemerintah tentera AS di Afrika, Jeneral Carter Ham, berkata tentera juga tidak melancarkan sebarang usaha bagi mengesan di mana Gaddafi berada.
“Saya tak tahu banyak mengenai lokasi pemimpin Libya itu,” katanya.
Dalam serangan diketuai AS itu, satu daripada peluru berpandu dilancarkan memusnahkan bangunan yang menjadi kubu Gaddafi di Tripoli.
Kemusnahan itu menimbulkan tanda tanya sama ada Barat memang mahu membunuh Gaddafi.
Menurut Carter, serangan udara ke atas Libya disasarkan untuk memusnahkan pusat kawalan tentera Gaddafi.
“Setakat ini serangan itu berkesan,” katanya. - AFP
Kediaman Gaddafi diserang lagi
TRIPOLI: Kompleks kediaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dibom sekali lagi awal pagi tadi.
Kubu kuatnya di selatan negara itu dan sebuah pangkalan tentera laut juga menjadi sasaran serangan ketika kecaman antarabangsa mengenai serangan udara terhadap Libya meningkat.
Televisyen Libya melaporkan, serangan terhadap Tripoli dilakukan waktu malam.
Letupan kuat dan tembakan anti pesawat kedengaran berhampiran kediaman Gaddafi pada jam 3 pagi (waktu Malaysia).
Letupan sama menggegarkan Tripoli malam Ahad lalu dengan pegawai pasukan bersekutu berkata bangunan pentadbiran dalam kompleks kediaman pemimpin Libya itu musnah selepas terkena bedilan satu peluru berpandu.
Saksi berkata, pangkalan tentera laut Libya yang terletak kira-kira 10 kilometer ke timur Tripoli turut dibom awal semalam.
Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim turut mendakwa, Misrata, bandar ketiga terbesar Libya, 214 kilometer ke Tripoli, berjaya dibebaskan tiga hari lalu dan tentera Gaddafi kini melancarkan gerakan memburu ‘elemen pengganas.’ Bagaimanapun, seorang jurucakap pemberontak di Misrata yang dihubungi menerusi telefon berkata, bandar itu tetap dalam penguasaan kumpulan berkenaan meskipun berdepan dengan serangan tentera Gaddafi.
Seorang pegawai perubatan di Misrata mengesahkan, 40 orang terbunuh dan 300 cedera dalam pertempuran.
Dalam pada itu, tentera Libya berundur 100 kilometer dari Benghazi, bandar yang masih dikuasai pemberontak, selepas diserang secara besar-besaran oleh pesawat pengebom tentera bersekutu.
Bagaimanapun, pasukan yang setia kepada Gaddafi itu berjaya menyekat kemaraan di kedudukan baru mereka di Ajdabiya. - AFP
Selasa, 22 Mac 2011
40 maut dalam serangan yang dilakukan rejim Gaddafi
BENGHAZI 22 Mac - Seramai 40 maut manakala 300 lagi cedera selepas pasukan rejim Gaddafi melepas tembakan di bandar Misrata sebelah utara Tripoli, semalam.
Kejadian tersebut berlaku apabila orang ramai keluar ke bandar tersebut bagi menghalang pasukan rejim Gaddafi memasuki kawasan mereka.
?Pasukan tentera terus melepaskan tembakan hingga membunuh beberapa orang,? kata seorang penduduk, Saadoun kepada Rueters. - Reuters
Khamis, 3 Mac 2011
Gaddafi beri amaran keras
TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam memberi amaran keras kepada Barat agar tidak campur tangan dengan menyokong penentangan terhadapnya.Pemimpin berkenaan menyatakan ribuan orang akan mati jika Barat mencampuri urusan negara tersebut dengan membantu gerakan penentang terhadap pemerintahannya.
Ucapannya itu dibuat pada satu majlis bagi memperingati gerakan rakyat di sini semalam.
Beliau membuat ucapan selepas askar-askar yang setia kepada Gaddafi bertempur dengan para penentang pemerintahannya di bandar Brega, timur Libya.
Menurut laporan stesen televisyen Al-Jazeera, bandar Brega itu dikuasai oleh para penentang pemerintah Gaddafi.
Stesen televisyen Al-Arabiya menyatakan sebuah lapangan terbang di Brega sudah jatuh ke tangan para penyokong Gaddafi.
Bagaimanapun, Al-Jazeera melaporkan beberapa buah pesawat mengebom bandar Ajdabiyah selepas para penentang Gaddafi menguasai sebuah pangkalan tentera.
Dalam ucapan itu, Gaddafi menegaskan, campur tangan Barat hanya akan mencetuskan 'peperangan dahsyat' yang akan mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Libya.
Gaddafi sekali lagi menyalahkan pergerakan Al-Qaeda kerana mencabar pemerintahan kuku besinya hampir 42 tahun.
Beliau berkata, Al-Qaeda menguasai tanah air Libya dan hasil minyak negara itu. Gaddafi berikrar akan berjuang bermati-matian untuk menghalang niat jahat tersebut.
MUAMMAR GADDAFI menghadiri majlis memperingati kuasa rakyat di Tripoli semalam.
Dalam ucapannya, Gaddafi menafikan berlakunya demonstrasi aman di Libya sejak rakyat mula bangkit menentang pemerintahannya pada 15 Februari lalu.

Menyentuh mengenai industri minyak negara yang kini jatuh ke tangan pihak penentang, beliau menjelaskan, "kumpulan-kumpulan Al-Qaeda ini menyebabkan syarikat-syarikat minyak berada dalam ketakutan, melarikan diri dan menghentikan pengeluaran minyak. Pengeluaran minyak kini berada pada tahap paling minimum".
"Semua yang berlaku jelas menunjukkan konspirasi jahat Al-Qaeda.
"Semua ini tidak boleh dibiarkan. Kami akan berperang sehingga ke titisan darah terakhir," tegasnya.
Gaddafi mendakwa penduduk bandar Benghazi yang sebelum ini memainkan peranan utama dalam penentangan terhadap pemerintahannya, telah meminta pertolongan beliau untuk mengusir kumpulan-kumpulan bersenjata di sana.
"Tiada kekacauan yang berlaku di Libya seperti dilaporkan media asing," katanya.
sumber: Kosmo

