Isnin, 28 Mac 2011

Kesahihan dakwaan rejim Gaddafi diragui

TRIPOLI: Lawatan dikendali kakitangan kerajaan untuk wakil media bagi melaporkan kesan serangan tentera Bersekutu didakwa mencetuskan lebih banyak tanda tanya berbanding penjelasan.

Percanggahan data mengenai kematian di kalangan orang awam terus ketara setiap hari sejak tentera Bersekutu melancarkan serangan udara pada awal pagi 20 Mac lalu. Apabila ditanya, kakitangan kerajaan kelihatan sulit untuk memberikan bukti konkrit pengeboman itu mengorbankan lebih ramai orang awam.


AS dan sekutunya pula bertegas mendakwa serangan itu dibuat berhati-hati dan mensasarkan hanya lokasi khusus dalam usaha mereka melumpuhkan sistem pertahanan udara. Ketika sekumpulan wakil media daripada agensi berita asing dibawa melihat pengebumian 33 mangsa serangan itu, penduduk setempat dilihat hanya menurunkan hanya 13 mayat ke liang lahad.

Tiada sebarang maklumat lanjut mengenai identiti atau bagaimana mereka terkorban diberikan kepada media. Lebih janggal, keadaan itu tidak seperti kelaziman masyarakat Arab yang menangisi korban perang. Biasanya, pengebumian mangsa perang dianggap syahid, selain diwarnai tangisan ahli keluarga atau pekikan kemarahan.

Pagi kelmarin, wartawan diberitahu akan dibawa ke hospital untuk melihat mangsa serangan udara tentera Bersekutu, tetapi akhirnya diiringi ke rumah mayat. Kakitangan di situ hanya memberitahu, mayat itu adalah mangsa pengeboman dua hari berturut-turut ke atas Tripoli dan Tajoura. Tiada butiran lanjut diberikan. - AP

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger