Rabu, 23 Mac 2011

Kediaman Gaddafi diserang lagi

TRIPOLI: Kompleks kediaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dibom sekali lagi awal pagi tadi.


Kubu kuatnya di selatan negara itu dan sebuah pangkalan tentera laut juga menjadi sasaran serangan ketika kecaman antarabangsa mengenai serangan udara terhadap Libya meningkat.

Televisyen Libya melaporkan, serangan terhadap Tripoli dilakukan waktu malam.


Letupan kuat dan tembakan anti pesawat kedengaran berhampiran kediaman Gaddafi pada jam 3 pagi (waktu Malaysia).

Letupan sama menggegarkan Tripoli malam Ahad lalu dengan pegawai pasukan bersekutu berkata bangunan pentadbiran dalam kompleks kediaman pemimpin Libya itu musnah selepas terkena bedilan satu peluru berpandu.

Saksi berkata, pangkalan tentera laut Libya yang terletak kira-kira 10 kilometer ke timur Tripoli turut dibom awal semalam.

Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim turut mendakwa, Misrata, bandar ketiga terbesar Libya, 214 kilometer ke Tripoli, berjaya dibebaskan tiga hari lalu dan tentera Gaddafi kini melancarkan gerakan memburu ‘elemen pengganas.’ Bagaimanapun, seorang jurucakap pemberontak di Misrata yang dihubungi menerusi telefon berkata, bandar itu tetap dalam penguasaan kumpulan berkenaan meskipun berdepan dengan serangan tentera Gaddafi.

Seorang pegawai perubatan di Misrata mengesahkan, 40 orang terbunuh dan 300 cedera dalam pertempuran.

Dalam pada itu, tentera Libya berundur 100 kilometer dari Benghazi, bandar yang masih dikuasai pemberontak, selepas diserang secara besar-besaran oleh pesawat pengebom tentera bersekutu.

Bagaimanapun, pasukan yang setia kepada Gaddafi itu berjaya menyekat kemaraan di kedudukan baru mereka di Ajdabiya. - AFP

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger