Memaparkan catatan dengan label kematian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kematian. Papar semua catatan

Khamis, 22 September 2011

PM Somalia ucap takziah kepada keluarga Noramfaizul

NEW YORK: Perdana Menteri kerajaan sementara Somalia, Dr Abdiweli Mohamed Ali menyampaikan ucapan takziah beliau dan negaranya kepada Malaysia terutama kepada keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan di Mogadishu pada awal bulan ini.

Ucapan takziah itu disampaikan Abdiweli kepada Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dalam pertemuan dua hala antara kedua-dua negara yang menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di New York.
“Abdiweli sangat terharu tentang keprihatinan Malaysia terhadap Somalia, dan usahanya menerusi badan bukan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kemanusian seperti makanan dan perubatan kepada rakyat negara itu,” kata Anifah di sini.
Anifah berada di New York mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Perhimpunan Agung PBB ke-66 dengan tema “Peranan Mediasi dalam Penyelesaian Pertikaian dengan Cara Aman”.

Noramfaizul, 39, terkorban setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putra 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, 3 September lalu.

Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Anifah menegaskan bahawa Malaysia akan tetap meneruskan usaha menyalurkan bantuan kepada negara berkenaan walaupun selepas kejadian itu berlaku.
“Kini Mercy Malaysia sedang berada di Somalia, dan beberapa badan bukan kerajaan lain turut memohon kementerian membantu mereka dalam meneruskan usaha mereka untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat negara Afrika itu,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mengumumkan bahawa misi bantuan kemanusiaan akan kembali ke Somalia pada bulan depan untuk memberikan bantuan di negara itu, selain menamakan sebuah khemah pelarian di sana sempena nama Noramfaizul. - BERNAMA

[berita harian]

Sabtu, 21 Mei 2011

Tragedi tanah runtuh: Lima maut sehingga jam 8 malam

KAJANG: Polis mengesahkan sehingga jam 8 malam ini lima orang maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Takwa FELCRA Semungkis, di Hulu Langat, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata 12 berjaya diselamatkan daripada tempat kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pasukan penyelamat dan polis akan meneruskan operasi menyelamat sehingga menemui semua mangsa kejadian.

"Kita tidak akan berhenti dalam operasi ini, kita akan teruskan sehingga jumpa semua mangsa," katanya.

sumber: berita harian

Selasa, 15 Februari 2011

2 beradik maut, ibu beri minum racun

Sepasang adik beradik perempuan ditemui mati di rumah mereka di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat Kajang, malam tadi, selepas dipercayai dipaksa minum racun oleh ibu kandung mereka yang mengalami sakit mental.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob, berkata ibu mereka, yang turut meminum racun itu, kini dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Serdang.

"Dua adik beradik malang itu, S Rashmeka, 4, dan adiknya, S Neeharika Laxami, setahun, serta ibu mereka berusia 30 tahun ditemui di dalam bilik rumah mereka kira-kira pukul 8.30 malam oleh nenek dua beradik itu.

"Nenek mangsa yang curiga selepas mendapati pintu bilik tersebut berkunci dari dalam, terus menghubungi bapa mangsa yang sedang bekerja di sebuah kedai gunting rambut," katanya kepada pemberita di Kajang hari ini.

Azman berkata apabila bapa kanak-kanak itu, yang berusia 33 tahun, memecah pintu bilik tersebut, dia mendapati kedua-dua anak dan isterinya terbaring bergelimpangan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau terus membawa mereka ke klinik berhampiran, dan doktor mengesahkan kedua-dua adik beradik tersebut meninggal dunia, kata Azman.

"Hasil siasatan, kita mendapati ibu kedua kanak-kanak itu pernah menerima rawatan psikatri dan pernah cuba membunuh diri pada 2006," katanya, sambil menjelaskan polis menolak kejadian itu ada unsur jenayah dari pihak luar.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan ditemui mati dipercayai membunuh diri di dalam sebuah bilik hotel New City di Kajang, awal pagi tadi.

Azman berkata Chong Yew Heung, 35, ditemui mati oleh seorang pekerja hotel tersebut kira-kira pukul 1.45 pagi selepas terbau asap dari dalam bilik itu dan setelah mengetuk tanpa jawapan, ia terus memecah pintu tersebut.

Pekerja hotel itu mendapati lelaki yang berasal dari Johor itu berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri, katanya.

Azman berkata polis percaya Chong membunuh diri dengan membakar arang di dalam bilik hotel itu, serta menutup semua lubang di dalam bilik tersebut dengan pita pelekat yang menyebabkan ia lemas.

Beliau berkata mayat lelaki kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

sumber: malaysiakini

Isnin, 14 Februari 2011

Pembangunan DUN Kerdau diteruskan

TEMERLOH – Agenda pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini akan diteruskan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Seman, wakil rakyat kawasan berkenaan yang meninggal dunia akibat serangan jantung kelmarin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya akan mencari calon yang sesuai untuk menggantikan Zaharuddin bagi meneruskan perjuangan membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

“Masa hadapan tempat ini akan terus dimajukan, kami akan cari pengganti bagi meneruskan perjuangan Allahyarham,” kata beliau selepas menziarahi jenazah Allahyarham Zaharuddin di sini semalam.

sumber: kosmo
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger