Rabu, 23 Mac 2011

Keputusan SPM bukti program Tawaran Baru beri kesan positif

PUTRAJAYA: Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini, jelas menunjukkan program Tawaran Baru yang dilaksanakan antara sekolah dan Kementerian Pelajaran memberikan kesan positif dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata ini berdasarkan kepada penurunan bilangan sekolah dengan pencapaian sekolah berpotensi pada tahun lalu melebihi 50 peratus berbanding 2009 iaitu daripada 143 sekolah kepada 66 sekolah.

Justeru itu, beliau berkata satu majlis khas untuk mengumumkan nama sekolah terbaik serta pelajar cemerlang akan diadakan di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jalan Duta Kuala Lumpur, pada 1 April, yang dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Rumusan kementerian juga mendapati sebahagian besar sekolah berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan," katanya pada sidang media untuk mengumumkan analisis keputusan SPM di sini hari ini.

Beliau berkata, pada tahun lalu, 67 sekolah dikategorikan cemerlang berbanding 66 pada 2009, 340 baik berbanding 278 dan 1,683 lagi sekolah di bawah kategori memuaskan berbanding 1,654.

"Semua pihak yang terbabit khususnya pentadbir dan guru-guru sekolah berjaya memainkan peranan masing-masing dengan efektif dan efisyen hingga dapat melahirkan pelajar yang berupaya mencapai kecemerlangan akademik," katanya.

Tawaran baru atau bai'ah itu adalah empat bidang kecil di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan, menawarkan guru besar ganjaran RM7,500, diikuti lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah terbabit menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900, petugas sokongan seperti kerani juga diberi imbuhan setimpal. - BERNAMA
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger