Memaparkan catatan dengan label ekonomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ekonomi. Papar semua catatan

Khamis, 22 September 2011

Nikon perkenal kamera terbaru

berita berita terkini
NIKON memperkenalkan kamera sistemnya yang pertama, iaitu Nikon 1 dan yakin produk baru itu mampu membantu jenama itu muncul peneraju pasaran kamera di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketika ini, Nikon berada di kedudukan kedua di belakang Canon dengan penguasaan pasaran sebanyak 32 peratus.

Pengurus Besar, Jabatan Jualan Produk Pengguna Nikon Malaysia Sdn Bhd, Hon Soon Teng, berkata kamera sistem masih baru di negara ini dan ia memiliki potensi pasaran yang besar.

“Kami yakin kamera sistem Nikon ini akan menerima sambutan daripada pengguna, seterusnya membantu kami muncul sebagai peneraju pasaran kamera di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran kamera Nikon 1 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Perancangan Antarabangsa Nikon, Uemura Kimito serta Pengurus Besar Jabatan Pemasaran Produk Penggunanya, David Ng Choon Yiak.

Hon berkata, walaupun Nikon berada di kedudukan kedua dari segi pasaran kamera keseluruhannya, namun bagi kamera Digital Single Lens Reflex (DSLR), Nikon berada di kedudukan pertama dengan penguasaan pasaran sebanyak 49 peratus.

Sementara itu, Nikon 1 yang dilancarkan semalam ditawarkan dalam dua versi, iaitu Nikon J1 dan Nikon V1 yang masing-masing memiliki keupayaan sama seperti kamera DSLR.
Kedua-duanya didatangkan dengan teknologi auto fokus dan pemprosesan imej terpantas selain kebolehan merakam gambar dan video dalam definisi tinggi.

Kamera berkenaan dilengkapi dengan enjin Expeed 3 lebih canggih yang mampu memproses imej lebih pantas selain lensa yang boleh ditukar sama seperti kamera DSLR.

Bagi versi J1, ia boleh didapati dalam lima warna iaitu hitam, putih, coklat, pink dan merah manakala untuk V1 hanya ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan putih.

Harga kedua-duanya belum ditetapkan dan akan diumumkan apabila ia mula dijual bulan depan.

Pada majlis sama, Nikon turut memperkenalkan lapan model baru barisan Coolpixnya iaitu Coolpix AW 100, Coolpix S6200, Coolpix S 6150, Coolpix S4150, Coolpix S1200pj, Coolpix S 8200, Coolpix S100 and Coolpix P 7100.

[berita harian]

Khamis, 3 Mac 2011

Kerjasama strategik Proton, Nissan

KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd. (Proton) berkeyakinan terhadap kenderaan generasi akan datangnya akan menggabungkan teknologi terpilih dan kepakaran pembuatan daripada Nissan Motor Co. Ltd. (Nissan).

Proton dan Nissan telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk sama-sama mengendalikan kajian kemungkinan menilai peluang-peluang baru dan ia juga bertujuan untuk mengukuhkan lagi daya saing bersama dalam pasaran global.

"Kajian ini akan memberi tumpuan kepada perkongsian teknologi dan ia seiring dengan daya saing global pada masa sekarang.

"Strategi berkongsi teknologi dan platform telah menjadi proses penting dan bakal memberi kecekapan daripada aspek kos untuk semua pengeluar kereta global," kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, melalui kerjasama tersebut, Proton mampu mengurangkan masa yang diperlukan untuk membangunkan produk baru, memberi penjimatan kos yang ketara daripada aspek pembangunan dan menyediakan keanjalan serta mampu memulakan pelbagai kenderaan daripada set komponen yang sama.

Sementara itu, firma penyelidikan, OSK Research berkata, Tan Chong akan mendapat faedah daripada MoU berkenaan untuk kajian kebolehlaksanaan yang akan dijalankan dalam bidang-bidang kerjasama khusus, termasuk potensi menggunakan platform dan rangkaian kuasa Nissan.

sumber: Kosmo

Selasa, 15 Februari 2011

Konsortium Syed Mokhtar pilihan beli ekuiti Pos Malaysia

KONSORTIUM diterajui Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dikatakan sebagai calon yang mempunyai kelebihan dalam bidaan membeli kepentingan 32.21 peratus dalam Pos Malaysia Bhd daripada Khazanah Nasional Bhd.

Ini susulan langkahnya mengetengahkan bank Islam yang dikuasainya, iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd sebagai calon dalam mewujudkan sinergi strategik dengan Pos Malaysia, sekali gus ‘memenuhi’ kriteria pembida yang dikehendaki agensi pelaburan kerajaan itu.

Bank Muamalat, bank Islam ketiga terbesar Malaysia dari segi aset adalah anak syarikat milik penuh DRB-Hicom, konglomerat yang dikuasai Syed Mokhtar.

Ia dikatakan mampu menjadi rakan sinergi terbaik bagi Pos Malaysia terutama dalam usaha kedua-duanya mengembangkan rangkaian produk serta perkhidmatan serta jangkauan capaian pelanggan masing-masing.

Pos Malaysia ketika ini giat mengembangkan perniagaannya melangkaui perkhidmatan tradisionalnya. Ini termasuk menawarkan khidmat perbankan.

Bank Muamalat pula perlu mengembangkan lagi rangkaian cawangan bagi membolehkannya bersaing lebih berkesan dalam sektor perbankan Islam yang sedang berkembang pesat di negara ini.

Justeru, pakatan Bank Muamalat-Pos Malaysia itu bakal menyediakan platform terbaik untuk pengembangan perniagaan kedua-dua entiti itu.

Pos Malaysia kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. Bank Muamalat pula ketika ini hanya mempunyai 56 cawangan.

Syed Mokhtar, individu ke-655 terkaya di dunia dengan aset dianggarkan bernilai AS$1.5 bilion (RM4.58 bilion) memiliki pegangan 55.92 peratus ekuiti dalam DRB-Hicom Bhd yang dikuasainya menerusi Etika Strategy Sdn Bhd.

Mengikut laporan tahunan DRB-Hicom bagi 2010, pemegang saham utama lain konglomerat itu termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menguasai hampir 10 peratus dan Khazanah dengan 5.13 peratus.

Mengulas perkara itu, Ketua Penganalisis OSK Research, Chris Eng berkata, kerjasama sedia ada Pos Malaysia dengan Maybank Bhd dan RHB Bank Bhd dalam menawarkan beberapa perkhidmatan perbankan bukan menjadi penghalang kepada pembabitan aktif Bank Muamalat dalam syarikat pos itu.

“Kami tidak melihat kerjasama Pos Malaysia dengan Maybank dan RHB Bank sebagai penghalang kepada Bank Muamalat dalam membentuk pakatan bermakna dan lebih meluas dengan Pos Malaysia.

“Sebaliknya menerusinya penyedia perkhidmatan pos tunggal negara itu boleh meluaskan lagi perkhidmatan perbankan yang ditawarkannya, malah mampu menyediakan perkhidmatan perbankan lengkap,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, penyertaan Bank Muamalat itu adalah strategi terbaik Syed Mokhtar menonjolkan lagi jenama bank Islam itu.

Difahamkan, selain Syed Mokhtar, dua gergasi logistik antarabangsa, iaitu Deutsche Post dari Jerman dan TNT Post dari Belanda dan beberapa tokoh perniagaan tempatan lain seperti Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group); dan anak pengasas dan bekas Pengerusi Kumpulan Naza, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin adalah antara pembida yang sudah menghantar cadangan bagi pengambilalihan itu.

Berdasarkan harga penutup saham Pos Malaysia semalam, iaitu RM3.35 sesaham, saham Pos Malaysia milik Khazanah itu adalah bernilai kira-kira RM580 juta.

Sabtu, 12 Februari 2011

AirAsia perkenal sistem komunikasi terbuka

SYARIKAT penerbangan tambang murah terkemuka, AirAsia Bhd (AirAsia) menjangkakan pelanggannya akan menggunakan kemudahan pusat maklumat dan penyelesaian terbaru yang diperkenalkan bagi mengajukan pelbagai pertanyaan melalui airasia.com/ask.

Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Dr Tony Fernandes, dalam satu kenyataan, berkata pusat maklumat berkenaan disediakan secara percuma untuk pelanggan AirAsia dengan menyediakan ruang bagi mengutarakan soalan berkaitan penerbangan yang dilakukan melalui ruang sembang, webmail dan twitter.

“Sebaik saja soalan diterima, airasia.com/ask akan memberikan maklum balas yang tepat melalui teknologi maklum balas automatik,” katanya.

Menurutnya, teknologi berkenaan juga membolehkan pusat maklumat itu menjejak topik dan trend serta memberikan capaian kepada soalan yang sering dikemukakan.

“Mempunyai sistem komunikasi terbuka seumpama ini adalah penting untuk AirAsia kerana pelanggan adalah keutamaan kami.

“Dengan kemudahan airasia.com/ask, kami memberikan pelbagai nombor untuk dihubungi dengan mudah bagi membolehkan pelanggan mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan syarikat, produk dan perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini perkhidmatan berkenaan boleh dicapai melalui Internet namun, akan menyediakan versi sama bagi pengguna telefon bimbit pada masa akan datang.

sumber: hmetro
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger