Memaparkan catatan dengan label tentera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tentera. Papar semua catatan

Ahad, 3 April 2011

Tentera Darat atur program untuk dekati orang awam

KLUANG - Tentera Darat akan mengatur pelbagai program yang melibatkan orang awam supaya masyarakat dapat menjiwai peranan, sumbangan dan pengorbanan anggota tentera.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, antara program yang melibatkan orang ramai ialah seperti penganjuran hari terbuka umpamanya Hari Terbuka Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang diadakan di Kem Mahkota di sini, katanya.

Dalam ucapan perasmiannya sempena Hari Terbuka PUTD itu yang dibacakan Panglima Tiga Division Mejar Jeneral Datuk Rozali Ahmad beliau berkata, program itu merupakan kesinambungan dalam mempromosikan tentera darat sempena ulang tahun ke-78 pasukan itu yang disambut pada 1 Mac lalu.

Hampir 30 ribu orang berkunjung ke program hari terbuka itu yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok. - Bernama


kredit

Selasa, 29 Mac 2011

Russia anggap serangan tentera Bersekutu langgar resolusi PBB

MOSCOW: Russia semalam berkata, serangan ke atas tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi sejak minggu lalu bercanggah daripada resolusi PBB.


Dalam kritikan terbaru Russia terhadap campur tangan tentera asing di Libya itu, Menteri Luar, Sergei Lavrov, berkata Resolusi 1973 diluluskan 17 Mac lalu bertujuan melindungi nyawa orang awam.

“Tapi ketika ini serangan itu nampaknya campur tangan asing dalam perang saudara di Libya dan tiada sesiapa menafikannya,” katanya.


Justeru, katanya, Russia melihat berlaku percanggahan di antara resolusi dengan pelaksanaan misi berkenaan.

Menurut Lavrov, Russia menganggap serangan tentera Bersekutu itu lari daripada matlamat asal resolusi Majlis Keselamatan PBB. Russia memiliki kuasa veto sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, tetapi mengambil sikap berkecuali ketika usul mengenai zon larangan terbang di Libya diundi baru-baru ini.

Melalui Resolusi 1973 itu, PBB membenarkan ‘segala cara digunakan’ bagi menguatkuasakan zon larangan terbang, sekali gus melindungi nyawa orang awam. - Reuters


kredit

Isnin, 28 Mac 2011

Tentera Bersekutu lakukan 160 misi

WASHINGTON: Serangan tentera Bersekutu ke atas Libya terus berlangsung dengan pantas semalam, dengan 160 misi dilaksanakan berbanding 153 sehari sebelumnya.

Menurut Pentagon, dua pertiga - atau 96 penerbangan - dibuat untuk melakukan serangan udara, manakala selebihnya sekadar pelaksanaan zon larangan penerbangan.


Selepas mengetuai serangan udara di Libya, AS dijangka menyerahkan mandat menguatkuasakan zon larangan terbang di negara itu kepada Nato.

Sejak operasi bermula awal pagi 20 Mac lalu, tentera Bersekutu melakukan 1,257 penerbangan dengan 540 daripadanya membabitkan serangan.


AS menyempurnakan 787 penerbangan serangan berbanding 470 lagi dilakukan sekutunya, iaitu Perancis, Britain, Kanada, Itali, Sepanyol, Belgium, Denmark dan Qatar. Sementara itu, saksi berkata, tentera Gaddafi terus mengebom bandar Misrata yang masih dikuasai pemberontak.


“Serangan itu menyebabkan menyebabkan beberapa kematian di pihak pemberontak,” katanya. - AFP


kredit

Tentera Ghaddafi serang benteng pemberontak di Misrata

ALGIERS 27 Mac - Pasukan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan terhadap bandar Misrata yang dikuasai pemberontak dari sebelah barat dan timur pada semalam.


Misrata adalah satu-satunya benteng besar pemberontak berhaluan kiri di barat Libya dan kawasan yang terletak jauh dari pusat utama pasukan pemberontak di timur negara itu.


"Pasukan tentera Ghaddafi telah melancarkan serangan dari sebelah barat dan timur Misrata," kata seorang pemberontak yang dikenali sebagai Saadun kepada Reuters. - Reuters

Jumaat, 25 Mac 2011

Tentera Gaddafi akan hancur beberapa hari: Juppe

PARIS: Menteri Luar Perancis, Alain Juppe berkata, tentera bersekutu Barat akan mengambil masa beberapa hari atau minggu saja, bukan beberapa bulan, untuk memusnahkan tentera Muammar Gaddafi.


Jet penggempur Barat mengebom Libya buat malam kelima berturut-turut semalam tetapi sehingga ini gagal untuk menghentikan serangan meriam tentera Gaddafi terhadap bandar yang dikuasai pemberontak atau mengundurkan tentera Libya dari satu persimpangan strategik di timur negara itu.

Juppe juga mempertahankan rentak operasi itu dengan berkata: “Anda tidak boleh menjangka kami akan mencapai matlamat dalam masa lima hari saja.” Perancis mengetuai campur tangan tentera yang dibenarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha menghentikan serangan tentera kerajaan Libya terhadap pasukan pemberontak. Ia kini berusaha bersama-sama Britain untuk mewujudkan kumpulan penghubung, yang terdiri daripada beberapa negara utama yang terbabit dalam operasi itu dan negara Arab. Ia bertujuan membincangkan hal mengenai pentadbiran politik dan strategi untuk misi itu sementara Nato akan mengendalikan penyelerasan harian tentera. - AFP

Khamis, 24 Mac 2011

Al Azhar kecam tentera Sekutu

KAHERAH: Pihak berkuasa tertinggi Islam di Mesir semalam mengecam serangan tentera Barat di Libya tetapi berkata, ia menyokong apa yang disifatkannya sebagai tuntutan sah revolusi rakyat negara itu.

Pesawat pengebom Barat melakukan lebih 300 penerbangan di ruang angkasa Libya dan lebih 162 peluru berpandu tomahawk dibedil dalam misi yang dimandatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi penduduk awam negara itu daripada tentera kerajaan.


Universiti Al-Azhar, antara pusat pengajian tertua di dunia memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Britain supaya tidak memecah-belahkan Libya dan memusnahkan kekayaan sumber dan kemanusiaannya seperti yang berlaku di Iraq, lapor akhbar Al-Ahram.

Institusi yang berpusat di Kaherah itu juga mengutuk kerajaan Arab yang menindas rakyatnya sejak puluhan tahun lalu.


Menurutnya, pemimpin negara terbabit tidak sepatutnya kekal berkuasa jika ia membawa kepada lebih banyak pertumpahan darah.


“Mereka perlu meninggalkan jawatan mereka. Itu yang patut mereka lakukan sebagai menyahut gesaan rakyat yang sudah sekian lama bersabar,” menurut kenyataan universiti itu.

Sokongan dunia Arab untuk melaksanakan zon larangan terbang amat penting bagi membolehkan ketetapan Pertubuhan Bangsa Bersatu, membenarkan campur tangan tentera asing di Libya.


Bagaimanapun, tidak ada negara Arab, kecuali Qatar berkata ia akan menyumbang kepada operasi berkenaan.

Universiti Al-Azhar mengecam kegagalan institusi Arab dan Islam menangani masalah politik dan ekonomi yang akhirnya mencetuskan kebangkitan rakyat hingga menggoncangkan dunia Arab. - AP

Sabtu, 12 Februari 2011

Tujuh rakyat Somalia didakwa tembak pasukan ATM

KUALA LUMPUR - Tujuh rakyat Somalia, yang ditahan tentera Malaysia di Teluk Aden pada 20 Januari lepas, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia di atas MT Bunga Laurel ketika merompak kapal dagang itu.

Mereka ialah Ahmed Othman Jamal, 25; Abdil Eid Hasan, 20; Koore Mohamed Abdile, 18; Abdi Hakim Mohd. Abdi, 18, dan tiga lagi yang berusia 15 tahun.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.

Pertuduhan itu dibacakan oleh seorang rakyat Somalia yang dilantik pihak pendakwaan sebagai penterjemah iaitu Yaser Mohamad Ahmad, penuntut Universiti Utara Malaysia.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk mendatangkan kematian atau kecederaan di koordinat latitud 20”14.73N longitud 083”39.96 E, 250 batu nautika dari perairan Oman, antara 8.10 pagi dan 10 malam, 20 Januari lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. - Bernama

sumber: kosmo
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger