Memaparkan catatan dengan label beberapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label beberapa. Papar semua catatan

Jumaat, 5 Ogos 2011

Kes Sosilawati: Saksi nampak 4 lelaki buang barang di beberapa lokasi

SHAH ALAM: Seorang saksi perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia nampak empat orang lelaki membuang barang di beberapa lokasi di Banting pada September tahun lalu.


U Suresh, 27, berkata dia melihat perbuatan itu semasa lori yang dipandunya mengekori sebuah pacuan empat roda berwarna biru yang dinaiki empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia pada pagi 4 September tahun lalu.

Sebelum itu, saksi ke-29 pendakwaan itu berkata seorang lelaki menahan lori yang dipandunya di simpang masuk menghala ke tempat kerjanya, iaitu sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dan bertanyakan sama ada boleh menyewa lorinya. Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan tersebut, berkata lelaki terbabit memberitahu bahawa lori itu diperlukan untuk membuang barang sembahyang dan bersedia membayar upah sebanyak RM250.

"Selepas bersetuju untuk menyewakan lori, ada seorang lelaki Indonesia turun dari jip (pacuan empat roda) itu dan naik lori saya serta duduk di bahagian tempat duduk sebelah pemandu. Lelaki Indonesia itu suruh saya mengekori jip itu.


"Jip itu kemudian bergerak dan berhenti di sebuah sungai yang saya tidak tahu nama. Pemandu jip tidak turun dari jip, saya nampak dua lelaki lagi turun dari jip dan buang satu karung (sack) warna putih ke dalam alur.


"Lepas buang mereka naik semula ke dalam jip dan sambung perjalanan," katanya ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan pada perbicaraan hari ke-17.


Suresh memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31; yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Suresh berkata, pacuan empat roda itu seterusnya berhenti di sebuah jambatan kecil kira-kira empat hingga enam kilometer dari lokasi pertama kenderaan itu berhenti.


"Di sana dia nampak seorang lelaki dari pacuan empat roda itu membuang barang ke dalam sungai.


"Selepas itu saya masih ikut jip dan bila sampai di satu kawasan hutan berhampiran Jalan Kelanang dan jip itu berhenti, saya nampak sebuah kereta warna hitam berada dalam jarak kira-kira 20 meter dari lori saya. Saya tidak nampak siapa dan berapa orang dalam kereta hitam kerana cerminnya 'tinted'.


"Selepas itu saya turun dan buka bahagian belakang lori sebelum naik semula (ke dalam lori). Kemudian saya nampak lelaki Indonesia dan seorang lelaki isi barang dalam lori saya kira-kira 10 minit. Selepas loading barang kereta hitam bergerak di hadapan kemudian diikuti jip dan lori saya," katanya.


Saksi itu berkata, kira-kira lima hingga 10 minit kemudian ketiga-tiga kenderaan berhenti di tepi sebuah sungai di mana dia melihat lelaki Indonesia serta dua lelaki dari pacuan empat roda itu mengeluarkan barang dari lorinya dan membuangnya ke dalam sungai.


Suresh berkata, ketika itu dia yang masih berada di tempat duduk pemandu turut mendengar seperti bunyi zink dipijak.


"Saya kemudian nampak pemandu jip minta bayaran dari kereta hitam dan driver kereta hitam ada buka cermin kereta tetapi saya tidak nampak siapa. Pemandu jip beri saya wang RM300 dan bila saya beritahu bayarannya hanya RM250 lelaki itu cakap tidak apa, saya simpan baki duit," katanya.


Manjeet: "Selepas itu adakah awak terus ke Puchong?"


Suresh: "Tidak saya ada berhenti di satu tempat. Lelaki Indonesia itu cakap dia nak turun di Subang Jaya dan dia beritahu itu dalam perjalanan jadi bolehlah turunkan dia (di Subang Jaya)."


Suresh berkata, apabila tiba di sebuah kawasan kilang dan flat di Subang Jaya, lelaki Indonesia itu memberitahu dia ingin berjumpa seseorang.


Kira-kira 10 minit kemudian saksi itu nampak lelaki Indonesia terbabit membuang sebuah kotak rokok ke dalam sebatang alur semasa sedang berjalan ke arah lorinya.


"Sebelum lelaki Indonesia beredar dari situ, dia ada beri dua buah telefon bimbit kepada saya dan saya tolak tetapi lelaki Indonesia itu mendesak saya mengambilnya," katanya.


"Bila balik semula ke ladang, saya beritahu majikan saya Ravi," katanya.


Manjeet: "Ravi ambil ke telefon bimbit itu?"


Suresh: "Ravi marah saya sebab barang-barang yang dibuang ialah barang sembahyang...dia suruh saya buangnya."


Saksi itu berkata dia kemudian membuang kedua-dua telefon bimbit tersebut ke dalam sebuah alur kecil berhampiran sungai di Pasar Besar Banting.


Kepada soalan lain, Suresh berkata dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan atau melakukan pembunuhan pada malam 30 Ogos 2010 (tarikh kejadian) dan dia juga tidak mengenali Pathmanabhan sehinggalah dia ditangkap polis pada 9 September 2010.


Saksi itu juga mendakwa dia dipukul oleh pegawai polis bernama Govindan dan anggota polis lain serta diacukan pistol di kepala bagi mengaitkan (implicate) Pathmanabhan dengan kes pembunuhan tersebut.


Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk membenarkan rakaman percakapan Suresh digunakan dalam prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan (impeach) keterangannya di mahkamah.


Akhtar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa percakapan saksi itu yang dirakam oleh pihak polis memenuhi keperluan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).


Beliau bagaimanapun tidak menerima rakaman percakapan Suresh dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah.


Ini kerana, katanya, Suresh adalah saksi dalam kes pembunuhan itu dan bukan orang yang dituduh.


Akhtar kemudiannya meneruskan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu dengan meminta Suresh menjelaskan 22 percanggahan dalam keterangannya.


Setelah mendengar penjelasan Suresh, Akhtar berkata beliau akan memutuskan sama ada untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu di akhir kes pendakwaan kelak.


Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA


kredit

Jumaat, 1 April 2011

PM dijangka umum projek ETP baru beberapa bulan lagi

KUALA LUMPUR 1 April - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengumumkan projek utama dan menerujakan yang baharu yang bertali arus di dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sambil mengukuhkan pelaksanaan secara berkesan program transformasi ekonomi Malaysia.


Selepas mengumumkan sebanyak 60 program sehingga ini, Perdana Menteri berkata beliau mahu pelan itu dilaksanakan dengan memberi tumpuan terhadap projek-projek permulaan, yang termasuk projek besar dan projek yang memberi kesan yang besar dan tidak semata-mata projek-projek infrastruktur.


"Ia meliputi keseluruhan kerja raya, yang termasuk projek pelaburan yang besar yang akan mewujudkan nilai yang tinggi terhadap ekonomi dan pekerjaan, yang merupakan kunci bagi mengingati tempoh semasa kerajaan, katanya dalam satu temubual dengan rangkaian televisyen Bloomberg di pejabatnya di Putrajaya hari ini.


Semasa temubual panjang lebar mengenai pencapaiannya selepas dua tahun menjadi Perdana Menteri dengan wartawan Bloomberg Robyn Meredith dan Barry Porter mengenai ekonomi, katanya matlamat jelas Malaysia ialah untuk menjadi satu negara maju sepenuhnya menjelang 2020.


Antara lain, temubual itu menyentuh mengenai inflasi, subsidi, impian nuklear Malaysia, kedudukannya sebagai peneraju di dalam kewangan Islam, pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum akan datang, dasar afirmatif Bumiputera, penglibatan Kuala Lumpur di dalam Perkongsian Trans-Pasifik dan kesan China dan Yuan.


Ketika ditanya sama ada Malaysia berupaya memenuhi sasaran keluaran dalam negara kasar Bank Negara Malaysia antara 5.0-6.0 peratus pada tahun ini, katanya: "Saya percaya kita masih berada pada landasan mencapai 6.0 peratus melalui campur tangan positif kerajaan di dalam bentuk projek permulaan dan sistem pengangkutan bandar massa bawah tanah yang besar bagi Greater Kuala Lumpur.


"Ini akan mewujudkan kesan pergandaan dan itulah juga bentuk pelaburan yang akan membantu kami mencapai pertumbuhan 6.0 peratus pada tahun ini," katanya.Mengenai usaha membiayai projek transit pantas massa, katanya: ?Kami boleh membiayainya secara kreatif agar ia tidak membebankan di segi perbelanjaan pembangunan.


"Jadi, dari satu segi, ia merupakan satu projek yang berdaya maju kerana pulangannya adalah baik dan akan mewujudkan kesan pergandaan," katanya. - Bernama


kredit

Sabtu, 26 Mac 2011

Beberapa bangunan mercu tanda sertai kempen Earth Hour esok

KUALA LUMPUR: Beberapa bangunan yang menjadi mercu tanda termasuk bangunan pencakar langit, universiti dan pusat beli-belah di sini akan bergelap selama sejam esok sempena kempen Earth Hour 2011.


Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Menara Berkembar Petronas, Suria KLCC, stesen minyak, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Putra Malaysia (UPM),Planetarium Negara dan Sunway Pyramid berikrar menyokong kempen itu.

Bagi tujuan itu, mereka akan memadam lampu dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam sebagai simbol keprihatinan masing-masing terhadap isu pemanasan global dan perubahan iklim. Pengarah Komuniksi Pemasaran PWTC, Fadzilah Said, berkata semua lampu yang tidak penting di bangunan itu termasuk di Menara Dato Onn akan dipadam selama sejam sempena kempen itu.

"Kami akan mencuba sedaya upaya untuk mengurangkan penggunaan lampu walaupun ada acara yang ditetapkan tapi yang pasti lampu di bahagian pentadbiran tidak akan dipasang esok," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Beliau berkata, sokongan yang diberi itu penting untuk menunjukkan betapa pentingnya bumi diselamatkan daripada mengalami kesan akibat perubahan iklim.


Sementara itu, dalam kenyataannya, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, usaha menyelamatkan bumi daripada mengalami perubahan iklim perlu melangkau lebih jauh daripada sekadar memadam lampu selama 60 minit.


"Jadikan penggunaan tenaga elektrik secara bijak sebagai cara hidup kita. Ia sama mudahnya seperti memadamkan lampu dan peralatan elektrik lain apabila tidak diperlukan dan menetapkan thermostat sistem penyaman udara antara 22 dan 26 darjah Celsius," katanya.


Presiden Young Liberals & Democrats of Asia (YLDA) Hng Chee Wey pula berkata, sokongan sedemikian sepatutnya diberi sepanjang masa, bukan sempena kempen EarthHour sahaja.


Hng, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Pemuda Gerakan Kebangsaan, berkata, walaupun langkah memadamkan lampu selama sejam itu merupakan suatu usaha kecil tetapi ia memberi kesan besar kepada seluruh dunia apabila setiap orang memberi kerjasama.


Earth Hour adalah acara tahunan yang mengajak isi rumah serta pemilik syarikat memadamkan lampu serta peralatan elektrik selama sejam untuk memupuk kesedaran orang ramai mengenai isu perubahan iklim dan sebagai simbol betapa pentingnya mengekalkan kelestarian alam sekitar. - BERNAMA


Jumaat, 25 Mac 2011

Tentera Gaddafi akan hancur beberapa hari: Juppe

PARIS: Menteri Luar Perancis, Alain Juppe berkata, tentera bersekutu Barat akan mengambil masa beberapa hari atau minggu saja, bukan beberapa bulan, untuk memusnahkan tentera Muammar Gaddafi.


Jet penggempur Barat mengebom Libya buat malam kelima berturut-turut semalam tetapi sehingga ini gagal untuk menghentikan serangan meriam tentera Gaddafi terhadap bandar yang dikuasai pemberontak atau mengundurkan tentera Libya dari satu persimpangan strategik di timur negara itu.

Juppe juga mempertahankan rentak operasi itu dengan berkata: “Anda tidak boleh menjangka kami akan mencapai matlamat dalam masa lima hari saja.” Perancis mengetuai campur tangan tentera yang dibenarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha menghentikan serangan tentera kerajaan Libya terhadap pasukan pemberontak. Ia kini berusaha bersama-sama Britain untuk mewujudkan kumpulan penghubung, yang terdiri daripada beberapa negara utama yang terbabit dalam operasi itu dan negara Arab. Ia bertujuan membincangkan hal mengenai pentadbiran politik dan strategi untuk misi itu sementara Nato akan mengendalikan penyelerasan harian tentera. - AFP

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger