Memaparkan catatan dengan label lelaki. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lelaki. Papar semua catatan

Jumaat, 5 Ogos 2011

Kes Sosilawati: Saksi nampak 4 lelaki buang barang di beberapa lokasi

SHAH ALAM: Seorang saksi perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia nampak empat orang lelaki membuang barang di beberapa lokasi di Banting pada September tahun lalu.


U Suresh, 27, berkata dia melihat perbuatan itu semasa lori yang dipandunya mengekori sebuah pacuan empat roda berwarna biru yang dinaiki empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia pada pagi 4 September tahun lalu.

Sebelum itu, saksi ke-29 pendakwaan itu berkata seorang lelaki menahan lori yang dipandunya di simpang masuk menghala ke tempat kerjanya, iaitu sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dan bertanyakan sama ada boleh menyewa lorinya. Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan tersebut, berkata lelaki terbabit memberitahu bahawa lori itu diperlukan untuk membuang barang sembahyang dan bersedia membayar upah sebanyak RM250.

"Selepas bersetuju untuk menyewakan lori, ada seorang lelaki Indonesia turun dari jip (pacuan empat roda) itu dan naik lori saya serta duduk di bahagian tempat duduk sebelah pemandu. Lelaki Indonesia itu suruh saya mengekori jip itu.


"Jip itu kemudian bergerak dan berhenti di sebuah sungai yang saya tidak tahu nama. Pemandu jip tidak turun dari jip, saya nampak dua lelaki lagi turun dari jip dan buang satu karung (sack) warna putih ke dalam alur.


"Lepas buang mereka naik semula ke dalam jip dan sambung perjalanan," katanya ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan pada perbicaraan hari ke-17.


Suresh memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31; yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Suresh berkata, pacuan empat roda itu seterusnya berhenti di sebuah jambatan kecil kira-kira empat hingga enam kilometer dari lokasi pertama kenderaan itu berhenti.


"Di sana dia nampak seorang lelaki dari pacuan empat roda itu membuang barang ke dalam sungai.


"Selepas itu saya masih ikut jip dan bila sampai di satu kawasan hutan berhampiran Jalan Kelanang dan jip itu berhenti, saya nampak sebuah kereta warna hitam berada dalam jarak kira-kira 20 meter dari lori saya. Saya tidak nampak siapa dan berapa orang dalam kereta hitam kerana cerminnya 'tinted'.


"Selepas itu saya turun dan buka bahagian belakang lori sebelum naik semula (ke dalam lori). Kemudian saya nampak lelaki Indonesia dan seorang lelaki isi barang dalam lori saya kira-kira 10 minit. Selepas loading barang kereta hitam bergerak di hadapan kemudian diikuti jip dan lori saya," katanya.


Saksi itu berkata, kira-kira lima hingga 10 minit kemudian ketiga-tiga kenderaan berhenti di tepi sebuah sungai di mana dia melihat lelaki Indonesia serta dua lelaki dari pacuan empat roda itu mengeluarkan barang dari lorinya dan membuangnya ke dalam sungai.


Suresh berkata, ketika itu dia yang masih berada di tempat duduk pemandu turut mendengar seperti bunyi zink dipijak.


"Saya kemudian nampak pemandu jip minta bayaran dari kereta hitam dan driver kereta hitam ada buka cermin kereta tetapi saya tidak nampak siapa. Pemandu jip beri saya wang RM300 dan bila saya beritahu bayarannya hanya RM250 lelaki itu cakap tidak apa, saya simpan baki duit," katanya.


Manjeet: "Selepas itu adakah awak terus ke Puchong?"


Suresh: "Tidak saya ada berhenti di satu tempat. Lelaki Indonesia itu cakap dia nak turun di Subang Jaya dan dia beritahu itu dalam perjalanan jadi bolehlah turunkan dia (di Subang Jaya)."


Suresh berkata, apabila tiba di sebuah kawasan kilang dan flat di Subang Jaya, lelaki Indonesia itu memberitahu dia ingin berjumpa seseorang.


Kira-kira 10 minit kemudian saksi itu nampak lelaki Indonesia terbabit membuang sebuah kotak rokok ke dalam sebatang alur semasa sedang berjalan ke arah lorinya.


"Sebelum lelaki Indonesia beredar dari situ, dia ada beri dua buah telefon bimbit kepada saya dan saya tolak tetapi lelaki Indonesia itu mendesak saya mengambilnya," katanya.


"Bila balik semula ke ladang, saya beritahu majikan saya Ravi," katanya.


Manjeet: "Ravi ambil ke telefon bimbit itu?"


Suresh: "Ravi marah saya sebab barang-barang yang dibuang ialah barang sembahyang...dia suruh saya buangnya."


Saksi itu berkata dia kemudian membuang kedua-dua telefon bimbit tersebut ke dalam sebuah alur kecil berhampiran sungai di Pasar Besar Banting.


Kepada soalan lain, Suresh berkata dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan atau melakukan pembunuhan pada malam 30 Ogos 2010 (tarikh kejadian) dan dia juga tidak mengenali Pathmanabhan sehinggalah dia ditangkap polis pada 9 September 2010.


Saksi itu juga mendakwa dia dipukul oleh pegawai polis bernama Govindan dan anggota polis lain serta diacukan pistol di kepala bagi mengaitkan (implicate) Pathmanabhan dengan kes pembunuhan tersebut.


Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk membenarkan rakaman percakapan Suresh digunakan dalam prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan (impeach) keterangannya di mahkamah.


Akhtar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa percakapan saksi itu yang dirakam oleh pihak polis memenuhi keperluan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).


Beliau bagaimanapun tidak menerima rakaman percakapan Suresh dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah.


Ini kerana, katanya, Suresh adalah saksi dalam kes pembunuhan itu dan bukan orang yang dituduh.


Akhtar kemudiannya meneruskan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu dengan meminta Suresh menjelaskan 22 percanggahan dalam keterangannya.


Setelah mendengar penjelasan Suresh, Akhtar berkata beliau akan memutuskan sama ada untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu di akhir kes pendakwaan kelak.


Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA


kredit

Mayat ditemui di Taman Kosas milik wanita, kanak-kanak lelaki

KUALA LUMPUR: Mayat yang ditemui di tingkat lima, Blok Chryssa, Apartment Astaria di Taman Kosas, Ampang semalam disahkan seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata mayat pertama yang dijumpai dalam keadaan dikerat-kerat masih belum diketahui identiti dan bangsanya.

"Hasil bedah siasat mengesahkan badan yang dikerat milik seorang wanita dan cap jari mangsa telah diambil untuk semakan lanjut. "Manakala mayat kanak-kanak lelaki ditemui dalam plastik dan lengkap tubuh badan, dipercayai berusia lima hingga enam tahun," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Beliau berkata, polis masih menyiasat, merakam keterangan saksi dan sedang memeriksa rekod orang hilang.


Semalam, badan manusia yang dikerat kepada beberapa bahagian selain organ dijumpai dalam dua beg plastik selain usus dan perut manusia dalam mangkuk tandas di unit itu. - BERNAMA


kredit

Jumaat, 22 April 2011

Polis buru dua lelaki lari dari mahkamah

TEMERLOH - Polis percaya dua lelaki yang meloloskan diri dari Mahkamah Temerloh semalam masih berada di dalam daerah itu.


Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Noor Mansur berkata, pihaknya kini giat mengesan dua lelaki berusia antara 35 dan 40 tahun terbabit termasuk melakukan sekatan di pintu masuk dan keluar daerah itu.


"Kesemua jalan keluar masuk bersempadan dengan daerah Temerloh dipantau dengan rapi bagi memberkas suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi semalam, dua lelaki terbabit yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian baja dua minggu lepas meloloskan diri melalui pintu belakang mahkamah ketika dibawa bagi mendapatkan perintah reman. - Bernama


kredit

Jumaat, 25 Mac 2011

Lelaki maut rempuh lembu

IPOH - Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh sekumpulan lembu yang sedang melintas jalan di Batu 7, Jalan Batu Bertam-Selama, 125 km dari sini, semalam.


Dalam kejadian pada 10 pagi semalam, Abdullah Ahmad, 44, dari Kampung Lubuk Buaya, Selama, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di Hospital Selama, kata Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak.


Katanya kejadian berlaku ketika Abdullah dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pekan Selama.


"Dia tercampak di atas jalan raya dan orang awam membantu menghantarnya ke hospital," kata Wan Abdullah.


Dalam kejadian lain, seorang warga emas, Sing Leong Seah, 69, terbunuh selepas motosikal yang dinaikinya merempuh belakang sebuah treler di Km 46 Jalan Teluk Intan-Sitiawan pada 7.30 pagi semalam. - Bernama

Isnin, 21 Mac 2011

Mayat lelaki di puncak Gunung Jerai

YAN - Mayat seorang lelaki yang dipercayai mati dibunuh, ditemui berhampiran puncak Gunung Jerai di sini, pagi ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Supt. Low Thiang Huat berkata, mayat dengan beberapa liang kesan tusukan senjata tajam itu ditemui oleh seorang lelaki yang sedang berjogging sekitar gunung berkenaan pada kira-kira pukul 8 pagi.

"Pemeriksaan mendapati bahagian leher mayat itu terdapat kesan ia ditikam sehingga tembus, dan satu lagi kesan tikaman dikesan di bahagian belakang badan,? katanya ketika ditemui di lokasi mayat dijumpai di sini hari ini.

Beliau berkata mayat, lelaki yang berumur dalam lingkungan 40-an itu ditemui dalam keadaan hanya berseluar dalam berwarna merah, dan polis percaya lelaki itu dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampakkan di kawasan itu, kira-kira lima kilometer dari puncak Gunung Jerai. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger