Memaparkan catatan dengan label kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kedah. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Mac 2011

UMNO Kuala Kedah kecewa dengan sumbangan terhadap mangsa banjir

ALOR SETAR: UMNO Bahagian Kuala Kedah kecewa dengan komitmen dan sumbangan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS terhadap mangsa banjir di kawasan Anak Bukit dan Kubang Rotan di Kuala Kedah, November lalu. Ketuanya, Datuk Latt Shahriman Abdullah, berkata kerajaan negeri seharusnya lebih bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat yang menghadapi bencana.

Katanya UMNO Kuala Kedah mengeluarkan sebanyak RM200,000 dana parti dan UMNO negeri lebih RM300,000 untuk membeli keperluan bagi mangsa banjir di kawasan itu. "Saya menerima banyak rungutan tidak puas hati mangsa banjir terhadap kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 222 sukarelawan banjir 2010 zon Alor Janggus di Sekolah Kebangsaan Haji Abdullah Sadun, dekat sini, hari ini.

Latt Shahriman, yang juga Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Perdana Menteri, mendakwa ramai mangsa banjir di kedua-dua kawasan sedih kerana Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak mengunjungi untuk melihat masalah mereka. Kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dan Kubang Rotan dalam Parlimen Kuala Kedah itu dimenangi PAS pada pilihan raya umum 2008. - BERNAMA


Isnin, 21 Mac 2011

Lebih 30 rumah di Kuala Kedah dilanda ribut

ALOR SETAR - Lebih 30 rumah di Mukim Kubang Rotan, Kuala Kedah dekat sini mengalami kerosakan selepas dilanda ribut petang semalam.

Antara kawasan terbabit ialah Taman Seri Abadi, Taman Samudera, Kampung Tambak Bunga, Tepi Laut, Kubang Bongor dan Sematang Bongak.

Fatimah Dahman, 47, dari Taman Samudera, berkata ketika kejadian pukul 5 petang itu angin bertiup kencang sehingga mengakibatkan semua bahagian bumbung rumahnya diterbangkan.

"Saya pergi selamatkan bayi yang saya asuh berusia 11 bulan dalam buaian... kemudian saya ke depan rumah dan lihat bumbung semua dah hilang,? katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini.

Peniaga air dan rojak di taman yang sama, Nornatasya Abdullah, 39, pula berkata dia ternampak angin berpusing berwarna putih di padang bola berhampiran. - Bernama

Khamis, 3 Mac 2011

Mosthakeen letak jawatan

PERLIS menerima tamparan hebat apabila Mosthakeen Omar (gambar) tampil membuat kejutan besar meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih skuad Singa Utara berkuatkuasa, semalam.
Segala-galanya difahamkan terjurus kepada perbezaan pendapat dengan pengurusan pasukan di atas kegagalan pasukan negeri itu dalam aksi Liga Malaysia, musim ini.
Pengendali berasal dari Kedah itu mengaku dia bertindak demikian selepas kecewa dengan pengurusan pasukan yang jelas menuding jari ke arahnya berikutan prestasi buruk Perlis yang gagal merakamkan sebarang kemenangan dalam Liga Super dan gagal mara ke pusingan berikut Piala FA.

“Memang ada percanggahan pendapat saya dengan pengurusan pasukan khususnya mengenai sasaran pencapaian pasukan dibarisi tenaga muda hampir 100 peratus. Saya tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan,” kata Mosthakeen, semalam.

“Saya masuk (dilantik sebagai ketua jurulatih) dengan cara yang baik, maka saya mahu keluar (lepas jawatan) juga dengan cara baik. Tidak mahu cari masalah dengan mana-mana pihak. Saya mengesahkan sudah melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Perlis, berkuatkuasa hari ini (semalam).

“Saya sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), hari ini (semalam). Justeru, saya tidak lagi terbabit mengendalikan pasukan yang akan turun menentang Kuala Lumpur, malam ini (semalam).”
Bekas pengendali skuad Pala Razak Kedah pada awal 1980-an itu dilantik membimbing Perlis kira-kira tiga bulan lalu menggantikan Yunus Alif yang berpindah ke T-Team.

Selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super, Perlis sekadar mengutip satu mata saja hasil keputusan seri 1-1 menentang Harimau Muda A dan empat kekalahan.

sumber: Berita Harian

Selasa, 15 Februari 2011

Hijau Kuning tekad gegar Perak

PERTEMBUNGAN dua bekas juara - Kedah dan Perak di Stadium Darulaman, malam ini tidak dinafikan lebih menekan pasukan tuan rumah ketika pelawat hadir dengan niat mahu menyambung rentetan kemenangan buat mengintai peluang menerajui Liga Super buat julung kali.

Sambil ketua jurulatih skuad Hijau Kuning, Ahmad Yusoff tiada pilihan kecuali bagi memastikan tiga mata tidak dicicirkan di halaman sendiri selepas diaibkan Sabah tempoh hari, Perak agak yakin dengan kemampuan ketika ini selepas menewaskan Negeri Sembilan.

Apapun, jurulatih Perak, Norizan Bakar mengingatkan anak buahnya supaya terus berpijak di bumi nyata menjelang misi penting ini kerana Kedah mampu bangkit menghampakan mereka apa lagi ketika tuan rumah dalam situasi ibarat harimau yang luka.

“Masih terlalu awal untuk meraikan kejayaan. Baru tiga perlawanan, malah pasukan masih mempunyai kelemahan dan kepincangan di sana sini,” katanya yang terus meminta pemain menggandakan usaha andai mahu mengecap kejayaan dalam perlawanan seterusnya.

Ahmad pula tiada pilihan dalam keadaan tertekan ini dan akan menurunkan Amar Rohidan dan penyerang utama, Azlan Ismail dalam kesebelasan pasukan dalam memburu kemenangan kedua di tempat sendiri.

“Perlawanan esok (malam ini) menjadi ujian bagi anak buah saya untuk bangkit membuktikan kewibawaan mereka sebagai pencabar Liga Super musim ini kerana selepas bertemu Perak, kami berdepan cabaran lebih getir menentang Kelantan pula di Stadium Darulaman, Sabtu depan,” katanya.

Mengakui tidak bimbang dengan benteng pertahanan diketuai Fauzi Nan, Sabre Abu, Khairul Helmi Johari dan V Thirumurugan, dia meminta gandingan Baddrol Bakhtiar, Azlan dan Ahmad Shakir Md Ali lebih bijak menghidu peluang jaringan, malam ini.

sumber: berita harian
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger