Memaparkan catatan dengan label rakyat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rakyat. Papar semua catatan

Khamis, 21 April 2011

PAS buka jalan rakyat Sarawak buat perubahan

KOTA SAMARAHAN, 6 April: Rakyat Sarawak sudah menyedari salah laku Ketua Menteri mereka, Tan Sri Abdul Taib Mahmud namun takut untuk membuat perubahan, kata ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, PAS sudah bersedia untuk membantu rakyat Sarawak keluar daripada ketakutan itu dan membuat perubahan di negeri ini.


"Rakyat Sarawak  ngin meyakinkan parti-parti yang bertanding khususnya Pakatan Rakyat bahawa salah laku keluarga Taib Mahmud diketahui umum tapi mereka kurang berani menunjukkan kemarahan.


"Mereka gerun dan takut untuk buat perubahan dan mengharapkan kami untuk tanamkan keyakinan untuk jatuhkan Taib. Kita buat satu mukadimah masuk ke Muara Tuang supaya mereka berasa yakin," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Suarah, dekat sini hari ini.


Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, PAS sudah pasti ingin merampas kerusi itu dari BN, apatah lagi calonnya ialah adik Taib sendiri.


Namun katanya, jika hanya berjaya mengurangkan majoriti BN sekalipun, ianya merupakan kejayaan besar kerana PAS baru pertama kali bertanding di Dun itu.


"Peluang untuk PAS menang nampaknya 50-50 kerana ini kali pertama PAS bertanding di sini. Sebelum ini PKR bertanding dan mereka kalah dengan majoriti enam ribu lebih. Jadi kita rasa kalau pun kita dapat kurangkan majoriti pun satu kejayaan besar," katanya.


Mengulas mengenai calon wanita yang diletakkan PAS pula, beliau berkata ianya satu keputusan tepat kerana majoriti pengundi di Muara Tuang terdiri daripada wanita.


"Sebahagian besar pengundi di Dun ini adalah wanita jadi dengan PAS meletakkan Noraini yang dikenali di kalangan kebanyakan wanita di sini ini satu pilihan yang tepat," katanya.


Ini juga, katanya satu penghormatan kepada Dun Sarawak apabila memberi peluang kepada calon wanita.


"PAS memang mahu mengenengahkan lebih ramai calon wanita dan ini merupakan penghormatan kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana boleh memberi peluang kepada calon wanita untuk menganggotai dewan," katanya.


PAS meletakkan Noraini Hamzah, 49, bagi menentang calon BN-PBB, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud, 61.


kredit

Ahad, 3 April 2011

Terima kasih polis bantu rakyat benci Umno BN

KUALA LUMPUR, 2 April: “Terima kasih PDRM bantu rakyat benci Umno BN,” kata Datuk Mahfuz Omar. Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam yang mengesahkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didedahkan tiga manusia baru-baru ini adalah tulen.


Menurut Ismail, pengesahan itu dibuat oleh pakar profesional yang dilantik pihaknya minggu lalu untuk membuat kajian terperinci. Katanya, hasil siasatan rakaman video itu yang kini di peringkat akhir akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.


Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kemungkinan selepas ini pihak polis akan mengesahkan bahawa ‘pelakon’ lelaki di dalam video berkenaan adalah Anwar. Baginya, itulah ‘skrip’ sejak dari awal lagi di mana semua media yang pro Umno BN cuba mengaitkan video lucah itu dengan Ketua Umum PKR.


Secara sinis, beliau berkata, walaupun video lucah itu dimaklumkan pihak polis adalah tulin tetapi gagal mengesahkan pelakonnya kemungkinan disebabkan mata penyiasat rabun. “Mungkin penyiasat mata rabun atau yang siasat ni ‘polis malaikat’ yang tak tengok adegan atas katil, jadi dia siasat video saja,” ujarnya lagi.


kredit

Khamis, 31 Mac 2011

Sidang Dewan Rakyat terganggu

KUALA LUMPUR: Perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini terganggu kira-kira satu jam apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempertikai kertas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 yang dibentangkan untuk kelulusan.


Gangguan itu memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bertindak menangguhkan sidang Dewan selama 30 minit bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak Kementerian Kewangan.

Beberapa Ahli Parlimen itu mempertikaikan peruntukan perbelanjaan tambahan yang tiada dalam kertas rang undang-undang itu. Apabila Dewan kembali bersidang pada 6 petang, Pandikar menjelaskan perkara itu tidak melanggar peraturan Dewan Rakyat kerana usul perbekalan tambahan memadai dibawa oleh menteri berkaitan selaras dengan Akta Dana Pembangunan 1966.

"Daripada penjelasan yang saya dengar, selepas tangguh mesyuarat, saya puas hati tiada pelanggaran peraturan berlaku," katanya.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, menyokong Pandikar dan menjelaskan bahawa peruntukan tambahan berjumlah RM133 juta adalah bagi memastikan sasaran Indeks Sistem Purata Tempoh Gangguan (Saidi) di Sabah tercapai, hanyalah sebagai rujukan dan rekod lebihan berbelanja.


Terdahulu, ketika sesi penggulungan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, seorang ahli pembangkang Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) mencelah dan membangkitkan perkara B29 yang dibincangkan berkenaan kementerian itu yang memerlukan Dewan meluluskan sebanyak RM133 juta. Azan mempertikaikan perkara itu yang tiada dalam rang undang-undang untuk dibahas dan diluluskan serta digunakan sebagai belanjawan untuk kelulusan.


Ketika menjelaskan mengenai perbelanjaan tambahan itu, Timbalan Menteri berkenaan, Noriah Kasnon berkata perkara itu telah termaktub di bahagian anggaran perbelanjaan pembangunan kertas perintah dua 2011. Selain Azan, turut bangkit meminta penjelasan mengenai perkara berkaitan ialah Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau) dan Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing (BN-Tuaran). - BERNAMA



kredit

Rakyat mahu kerajaan yang cekap, bersih dan telus - Najib

KUALA LUMPUR 30 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat hari ini mengharapkan bukan hanya pembangunan semata-mata tetapi sebuah kerajaan yang mampu mentadbir dengan cekap, telus dan bersih yang boleh dianggap sebagai tadbir urus yang baik.


Perdana Menteri berkata, jangkaan rakyat dan juga sikap mereka terhadap pemimpin dan kerajaan sudah berbeza. Menurutnya, sebab itu ukuran untuk menjadi pemimpin hari ini adalah lebih tinggi dari dahulu kerana pada masa dahulu maklumat tidak mudah diperolehi tetapi pada hari ini rakyat lebih berpendidikan dan memperoleh maklumat yang lebih.


"Hari ini apapun kita nak sembunyipun akhirnya akan timbul juga, orang akan tahu juga. Jadi kita sebagai pemimpin mesti sedar (dan) kena buat perubahan pada diri kita penyesuaian. InsyaAllah kalau kita buat penyesuaian, saya yakin rakyat masih lagi mahu kepada Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negara kita, tapi mereka nak BN yang sudah berubah mengikut selera keadaan hari ini," katanya berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) ke-34 di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, di sini, hari ini. - Bernama


kredit

Isnin, 28 Mac 2011

Jangan sampai rakyat doa wakil rakyat mati

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihatkan kerajaan BN agar tidak hanya menjalankan projek pembangunan bila ada pilihan raya.


Katanya, keadaan itu telah menimbulkan satu kefahaman di kalangan rakyat bahawa untuk mendapat kemudahan asas perlu berlaku pilihan raya di tempat mereka.


"Kita merasakan dukacita bila ada rakyat menunggu-nunggu wakil rakyat mati untuk mudah mendapat kemudahan asas," katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 (Bacaan kali kedua) di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau sebelum itu membangkitkan isu kemudahan infrastruktur di beberapa kawasan khususnya pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang masih belum diselesaikan kerajaan biarpun sudah lebih 50 tahun memerintah. Apatah lagi katanya, Sarawak mempunyai hasil negeri yang banyak namun rakyatnya masih dibelengu kemiskinan dan kawasan-kawasannya masih tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap.


"Bila ada pilihan raya kecil barulah diwarwarkan akan diadakan kemudahan-kemudahan. Ini pendedahan yang memalukan setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan," tambahnya.


Sehubungan itu beliau tidak mahu rakyat terus diperbodoh kerajaan dan menggesa kerajaan menjalankan tanggungjawab setiap masa dan bukan menunggu pilihan raya. Sementara itu beliau turut membangkitkan masalah pemantauan pemberian subsidi minyak kepada nelayan.


Merujuk kes nelayan di Terengganu beliau berkata, nelayan kecil di negara ini terpaksa berdepan kapal armada yang memonopoli subsidi tersebut.


"Kementerian pertanian diberi peruntukan besar khususnya dalam memberi subsidi kepada nelayan.Tapi jumlah subsidi yang besar bocor,diberi kepada armada daripada kroni tertentu yang menggunakan pekerja asing daripada Vietnam,Thailand dan sebagainya.


"Mereka memunggah minyak subsidi dengan banyak sehingga sukar nelayan tempatan mengambil minyak di stesen-stesen minyak kerana diganggu oleh armada yang besar," katanya.


Tambahnya,meskipun ada tindakan daripada pihak terbabit berkaitan perkara ini,namun ianya seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja. Situasi yang sama katanya terus berlaku dengan golongan nelayan terus tertindas.


"Semua tahu armada ini menjual minyak subsidi ini di laut.Walaupun  sebelum ini ada tindakan diambil kepada individu tertentu tetapi seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja. Ini satu kebocoran subsidi yang tidak dinikmati rakyat yang berhak menerimanya," katanya.


kredit

Khamis, 24 Mac 2011

Najib akan kongsi hasil GTP dengan rakyat Ahad ini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berkongsi dengan rakyat Malaysia hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP), selepas setahun pelaksanaannya, Ahad ini.


Pengarah Komunikasi GTP, Alex Iskandar Liew, berkata majlis itu yang sesuai dinamakan "Malam Transformasi Bersama Rakyat:Untukmu Malaysia" akan berlangsung di Stadium Putra di Bukit Jalil jam 6 petang.

"Terlalu banyak keraguan apabila GTP pertama kali diperkenalkan pada Januari 2010, tetapi hasilnya daripada pelbagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam tempoh 12 bulan tahun lepas sangat menggalakkan dan menunjukkan perkembangan dalam sistem penyampaian awam, berada pada landasan yang betul. Itu menunjukkan, masih banyak yang perlu dilakukan dan bagi mencapai sasaran yang lebih tinggi bagi memenuhi hasrat semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Liew berkata, kerajaan terkejut bahawa banyak sasaran NKRA dicapai dan malah dalam sesetengah kes, ia melebihi sasaran.


"Penjawat awam terutamanya memainkan peranan penting dalam proses transformasi dan menyumbang dengan ketara kepada kejayaan GTP melalui komitmen yang padu kepada kualiti khidmat penyampaian," katanya.


Liew melalui GTP, Malaysia menyaksikan pencapaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti penurunan dalam keseluruhan kes jenayah yang dilaporkan buat pertama kali dalam masa tiga tahun, pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, bilangan besar jalan yang dibina dalam setahun dan menambah baik pengangkutan awam menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT).


Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan usaha berhubung dengan rakyat bagi mendapatkan maklum balas berhubung bidang tumpuan baru yang mungkin bagi 2011 dan selepas itu. "Ini amat penting kerana transformasi merupakan proses berterusan, sesuatu yang begitu dinamik dan memerlukan kerja berpasukan - kerajaan, penjawat awam dan rakyat - bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA


Rabu, 23 Mac 2011

27 wakil rakyat didakwa di mahkamah sejak 2001

KUALA LUMPUR 23 Mac - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa seramai 27 orang wakil rakyat dari pelbagai parti politik telah didakwa di Mahkamah Jenayah atas pelbagai pertuduhan dan kesalahan sejak tahun 2001.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara, 16 wakil rakyat pembangkang manakala 11 dari Barisan Nasional (BN) telah didakwa setakat ini.

Daripada 16 wakil rakyat pembangkang itu, sembilan adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga dari Pas dan empat dari DAP.

Antara mereka yang didakwa ialah Mat Shuhaimi Shafiei (PKR), Chua Tian Chang (PKR), N. Gobalakrishnan (PKR), Mohamed Azmin Ali (PKR), Lo?lo Mohamad Ghazali (PAS), Mohd Hatta Md Ramli (Pas), Voon Lee Shan (DAP) dan Tony Pua (DAP), katanya ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Bagi BN pula, Nazri berkata, tujuh wakil rakyat daripada 11 orang yang didakwa ialah dari UMNO, seorang dari Gerakan dan tiga dari MCA.

"Berdasarkan statistik tersebut, sebanyak 33 jumlah kes yang telah dituduh, satu kes adalah di peringkat sebutan, 13 kes adalah di peringkat perbicaraan, dua kes di peringkat hujahan dan dua kes telah dijatuhkan hukuman,? katanya.

Katanya, sembilan kes telah dilepaskan dan dibebaskan dan terdapat 10 rayuan dibuat terhadap kes yang telah dibicarakan. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger