Khamis, 31 Mac 2011

Sidang Dewan Rakyat terganggu

KUALA LUMPUR: Perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini terganggu kira-kira satu jam apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempertikai kertas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 yang dibentangkan untuk kelulusan.


Gangguan itu memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bertindak menangguhkan sidang Dewan selama 30 minit bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak Kementerian Kewangan.

Beberapa Ahli Parlimen itu mempertikaikan peruntukan perbelanjaan tambahan yang tiada dalam kertas rang undang-undang itu. Apabila Dewan kembali bersidang pada 6 petang, Pandikar menjelaskan perkara itu tidak melanggar peraturan Dewan Rakyat kerana usul perbekalan tambahan memadai dibawa oleh menteri berkaitan selaras dengan Akta Dana Pembangunan 1966.

"Daripada penjelasan yang saya dengar, selepas tangguh mesyuarat, saya puas hati tiada pelanggaran peraturan berlaku," katanya.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, menyokong Pandikar dan menjelaskan bahawa peruntukan tambahan berjumlah RM133 juta adalah bagi memastikan sasaran Indeks Sistem Purata Tempoh Gangguan (Saidi) di Sabah tercapai, hanyalah sebagai rujukan dan rekod lebihan berbelanja.


Terdahulu, ketika sesi penggulungan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, seorang ahli pembangkang Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) mencelah dan membangkitkan perkara B29 yang dibincangkan berkenaan kementerian itu yang memerlukan Dewan meluluskan sebanyak RM133 juta. Azan mempertikaikan perkara itu yang tiada dalam rang undang-undang untuk dibahas dan diluluskan serta digunakan sebagai belanjawan untuk kelulusan.


Ketika menjelaskan mengenai perbelanjaan tambahan itu, Timbalan Menteri berkenaan, Noriah Kasnon berkata perkara itu telah termaktub di bahagian anggaran perbelanjaan pembangunan kertas perintah dua 2011. Selain Azan, turut bangkit meminta penjelasan mengenai perkara berkaitan ialah Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau) dan Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing (BN-Tuaran). - BERNAMA



kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger