Khamis, 24 Mac 2011

Najib akan kongsi hasil GTP dengan rakyat Ahad ini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berkongsi dengan rakyat Malaysia hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP), selepas setahun pelaksanaannya, Ahad ini.


Pengarah Komunikasi GTP, Alex Iskandar Liew, berkata majlis itu yang sesuai dinamakan "Malam Transformasi Bersama Rakyat:Untukmu Malaysia" akan berlangsung di Stadium Putra di Bukit Jalil jam 6 petang.

"Terlalu banyak keraguan apabila GTP pertama kali diperkenalkan pada Januari 2010, tetapi hasilnya daripada pelbagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam tempoh 12 bulan tahun lepas sangat menggalakkan dan menunjukkan perkembangan dalam sistem penyampaian awam, berada pada landasan yang betul. Itu menunjukkan, masih banyak yang perlu dilakukan dan bagi mencapai sasaran yang lebih tinggi bagi memenuhi hasrat semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Liew berkata, kerajaan terkejut bahawa banyak sasaran NKRA dicapai dan malah dalam sesetengah kes, ia melebihi sasaran.


"Penjawat awam terutamanya memainkan peranan penting dalam proses transformasi dan menyumbang dengan ketara kepada kejayaan GTP melalui komitmen yang padu kepada kualiti khidmat penyampaian," katanya.


Liew melalui GTP, Malaysia menyaksikan pencapaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti penurunan dalam keseluruhan kes jenayah yang dilaporkan buat pertama kali dalam masa tiga tahun, pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, bilangan besar jalan yang dibina dalam setahun dan menambah baik pengangkutan awam menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT).


Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan usaha berhubung dengan rakyat bagi mendapatkan maklum balas berhubung bidang tumpuan baru yang mungkin bagi 2011 dan selepas itu. "Ini amat penting kerana transformasi merupakan proses berterusan, sesuatu yang begitu dinamik dan memerlukan kerja berpasukan - kerajaan, penjawat awam dan rakyat - bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger