Memaparkan catatan dengan label Pinang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pinang. Papar semua catatan

Khamis, 21 April 2011

Najib tidak kata yakin tawan Pulau Pinang - Tsu Koon

KUALA LUMPUR, 3 April: Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan rampas kembali Pulau Pinang sebagaimana yang dilaporkan Bernama.


Menjelaskan laporan Bernama yang disiarkan sebuah laman web, Koh berkata, Najib tidak pernah seyakin itu ketika bercakap kepada media di Pulau Pinang semalam.


"PM sangat berhati-hati dengan kenyataannya. Dia kata, dia lawat lima kawasan. Rakyat telah memberikan sambutan yang hangat. Jika sambutan hangat boleh diterjemahkan sebagai undi dalam pilihan raya, jadi BN bolehlah ambil balik beberapa kerusi," jelas Koh.


Namun, kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu., "PM tidak pernah kata mengambil semula kerajaan negeri kerana ia memerlukan kajian lebih mendalam. Mungkin Bernama salah lapor (kenyataan PM)."


Koh yang bersama Najib di Pulau Pinang semalam berkata demikian kepada media selepas melancar sebuah buku awal hari ini.


Pada asalnya, Koh ketika ditanya kenyataan PM itu menyalahkan laman web berkenaan, namun selepas itu diberitahu ia laporan media rasmi kerajaan iaitu Bernama.


Laporan Bernama


Dalam laporanya sebelum ini, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.


Katanya dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang hari ini (2 April) banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa, dan mereka mahukan perubahan.


"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," katanya pada satu persidangan akhbar selepas menghadiri Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang Pasir di Balik Pulau, hari ini.


Najib berkata ketika beliau turun padang, ada rakyat yang membisik ke telinganya dan mengeluh bahawa golongan peniaga gerai di Pulau Pinang menghadapi tekanan dan sukar mencari rezeki sedangkan perkara seperti itu tidak pernah berlaku ketika negeri di bawah pentadbiran BN.


Katanya selain itu angin perubahan juga dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila BN bukan sahaja memenanginya, malah majoritinya melonjak.


kredit

Ahad, 3 April 2011

Pemandu teksi Pulau Pinang serah memorandum kepada PM

GEORGETOWN: Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang hari ini menyerahkan memorandum mengenai masalah yang dihadapi oleh mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Memorandum itu disampaikan oleh Pengerusinya, Abdul Malik Darus, di majlis taklimat ringkas yang diadakan sejurus selepas Najib tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Pulau Pinang.

Antara kandungan memorandum itu merujuk kepada kadar tambang teksi bermeter yang rendah dan tidak sesuai dengan keadaan di Pulau Pinang, kewujudan teksi serta kereta sewa yang tidak berdaftar dan pertukaran status teksi kepada kereta sewa. "Ini bukan memorandum pertama kami serahkan, sebelum ini pun dah diserahkan tetapi mungkin tidak sampai terus kepada Perdana Menteri, hari ini kami sampaikan sendiri, harap dapat pertimbangan segera," kata Pengerusi Persatuan Teksi Queensbay, Mohd Shukri Yaakop.

Katanya, pemandu teksi Pulau Pinang juga berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha dan pemilik kereta sewa tidak berdaftar.


Najib yang tiba untuk lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang turut meluangkan masa beramah mesra dengan pemandu-pemandu teksi dan sempat menampal pelekat "1Malaysia" di sebuah teksi milik Asmadi Md Salleh. - BERNAMA


kredit

Najib tiba di Pulau Pinang untuk lawatan kerja sehari

GEORGETOWN 2 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 9 pagi ini untuk lawatan kerja sehari di Pulau Pinang.

Kira-kira 1,000 orang menyambut ketibaan Perdana Menteri dan rombongan di lapangan terbang, dalam keadaan hujan.

Antara pemimpin politik yang kelihatan ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Tan Seri Dr. Koh Tsu Koon, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Gerakan Negeri Datuk Seri Dr. Teng Hock Nan.

Sejurus tiba, tugas Perdana Menteri terus dimulakan dengan sesi taklimat ringkas berhubung masalah yang dihadapi oleh pemandu teksi Pulau Pinang, dan dalam tempoh yang singkat ekoran jadual kerja yang ketat itu, Pengerusi Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang Abdul Malik Darus sempat menyerahkan memorandum mengenai masalah mereka kepada Najib.

Perdana Menteri kemudiannya meluangkan masa bertemu serta beramah mesra dengan kira-kira 500 pemandu teksi, dan sempat menampal pelekat ?1Malaysia? di salah sebuah teksi di situ.

Beliau kemudiannya terus ke Pasar Awam Taman Tun Sardon di Gelugor, Pasar Awam Jelutong, Pasar Awam Kampung Melayu dan Pasar Padang Tembak, untuk tinjauan mesra.

Tengah hari ini Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis jamuan bersama rakyat di perkarangan Masjid Permatang Pasir, Balik Pulau, yang dijangka dihadiri lebih 15,000 rakyat daripada pelbagai kaum.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kemudiannya dijadual bertemu dengan pemimpin-pemimpin BN negeri di Kompleks Tabung Haji, sebelum bertemu rakan-rakan Facebook di Hotel Equatorial.

Beliau seterusnya akan menyaksikan persembahan Kebudayaan India di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) dan menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sebelum berlepas kembali ke ibu negara pada pukul 11 malam. - Bernama


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger