Memaparkan catatan dengan label Najib. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Najib. Papar semua catatan

Khamis, 28 April 2011

Najib tidak sabar-sabar bertemu Wen Jiabao esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao esok.


"Saya tidak sabar-sabar untuk bertemu Perdana Menteri China Wen Jiabao esok. Kami berharap untuk kedua-dua negara menjalin hubungan lebih erat," katanya dalam twitter beliau hari ini. Wen, dalam rangka lawatan rasmi dua hari bermula hari ini, akan bertemu Najib esok di Putrajaya dengan kedua-dua pemimpin dijadual akan mengadakan perbincangan rasmi.


Najib juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari untuk Wen di Seri Perdana esok. Ini adalah lawatan rasmi kedua Wen ke Malaysia. Lawatan pertama ialah pada Disember 2005 semasa beliau menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pertama, Sidang Kemuncak Asean-China kesembilan dan Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga yang berlangsung di Kuala Lumpur.


Lawatan kedua itu sebagai membalas lawatan Najib pada 2009 apabila Pelan Tindakan Bersama bagi Kerjasama Strategik Malaysia-China diwujudkan.


Dalam perkembangan lain, Najib turut berkata, beliau juga tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan rakan online beliau di Terengganu apabila beliau melawat negeri pantai timur itu Sabtu ini. - BERNAMA



kredit

Khamis, 21 April 2011

Najib tidak kata yakin tawan Pulau Pinang - Tsu Koon

KUALA LUMPUR, 3 April: Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan rampas kembali Pulau Pinang sebagaimana yang dilaporkan Bernama.


Menjelaskan laporan Bernama yang disiarkan sebuah laman web, Koh berkata, Najib tidak pernah seyakin itu ketika bercakap kepada media di Pulau Pinang semalam.


"PM sangat berhati-hati dengan kenyataannya. Dia kata, dia lawat lima kawasan. Rakyat telah memberikan sambutan yang hangat. Jika sambutan hangat boleh diterjemahkan sebagai undi dalam pilihan raya, jadi BN bolehlah ambil balik beberapa kerusi," jelas Koh.


Namun, kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu., "PM tidak pernah kata mengambil semula kerajaan negeri kerana ia memerlukan kajian lebih mendalam. Mungkin Bernama salah lapor (kenyataan PM)."


Koh yang bersama Najib di Pulau Pinang semalam berkata demikian kepada media selepas melancar sebuah buku awal hari ini.


Pada asalnya, Koh ketika ditanya kenyataan PM itu menyalahkan laman web berkenaan, namun selepas itu diberitahu ia laporan media rasmi kerajaan iaitu Bernama.


Laporan Bernama


Dalam laporanya sebelum ini, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.


Katanya dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang hari ini (2 April) banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa, dan mereka mahukan perubahan.


"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," katanya pada satu persidangan akhbar selepas menghadiri Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang Pasir di Balik Pulau, hari ini.


Najib berkata ketika beliau turun padang, ada rakyat yang membisik ke telinganya dan mengeluh bahawa golongan peniaga gerai di Pulau Pinang menghadapi tekanan dan sukar mencari rezeki sedangkan perkara seperti itu tidak pernah berlaku ketika negeri di bawah pentadbiran BN.


Katanya selain itu angin perubahan juga dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila BN bukan sahaja memenanginya, malah majoritinya melonjak.


kredit

Ahad, 3 April 2011

Najib tiba di Pulau Pinang untuk lawatan kerja sehari

GEORGETOWN 2 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 9 pagi ini untuk lawatan kerja sehari di Pulau Pinang.

Kira-kira 1,000 orang menyambut ketibaan Perdana Menteri dan rombongan di lapangan terbang, dalam keadaan hujan.

Antara pemimpin politik yang kelihatan ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Tan Seri Dr. Koh Tsu Koon, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Gerakan Negeri Datuk Seri Dr. Teng Hock Nan.

Sejurus tiba, tugas Perdana Menteri terus dimulakan dengan sesi taklimat ringkas berhubung masalah yang dihadapi oleh pemandu teksi Pulau Pinang, dan dalam tempoh yang singkat ekoran jadual kerja yang ketat itu, Pengerusi Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang Abdul Malik Darus sempat menyerahkan memorandum mengenai masalah mereka kepada Najib.

Perdana Menteri kemudiannya meluangkan masa bertemu serta beramah mesra dengan kira-kira 500 pemandu teksi, dan sempat menampal pelekat ?1Malaysia? di salah sebuah teksi di situ.

Beliau kemudiannya terus ke Pasar Awam Taman Tun Sardon di Gelugor, Pasar Awam Jelutong, Pasar Awam Kampung Melayu dan Pasar Padang Tembak, untuk tinjauan mesra.

Tengah hari ini Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis jamuan bersama rakyat di perkarangan Masjid Permatang Pasir, Balik Pulau, yang dijangka dihadiri lebih 15,000 rakyat daripada pelbagai kaum.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kemudiannya dijadual bertemu dengan pemimpin-pemimpin BN negeri di Kompleks Tabung Haji, sebelum bertemu rakan-rakan Facebook di Hotel Equatorial.

Beliau seterusnya akan menyaksikan persembahan Kebudayaan India di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) dan menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sebelum berlepas kembali ke ibu negara pada pukul 11 malam. - Bernama


kredit

Khamis, 31 Mac 2011

Rakyat mahu kerajaan yang cekap, bersih dan telus - Najib

KUALA LUMPUR 30 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat hari ini mengharapkan bukan hanya pembangunan semata-mata tetapi sebuah kerajaan yang mampu mentadbir dengan cekap, telus dan bersih yang boleh dianggap sebagai tadbir urus yang baik.


Perdana Menteri berkata, jangkaan rakyat dan juga sikap mereka terhadap pemimpin dan kerajaan sudah berbeza. Menurutnya, sebab itu ukuran untuk menjadi pemimpin hari ini adalah lebih tinggi dari dahulu kerana pada masa dahulu maklumat tidak mudah diperolehi tetapi pada hari ini rakyat lebih berpendidikan dan memperoleh maklumat yang lebih.


"Hari ini apapun kita nak sembunyipun akhirnya akan timbul juga, orang akan tahu juga. Jadi kita sebagai pemimpin mesti sedar (dan) kena buat perubahan pada diri kita penyesuaian. InsyaAllah kalau kita buat penyesuaian, saya yakin rakyat masih lagi mahu kepada Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negara kita, tapi mereka nak BN yang sudah berubah mengikut selera keadaan hari ini," katanya berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) ke-34 di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, di sini, hari ini. - Bernama


kredit

Ahad, 27 Mac 2011

Negara perlu kestabilan politik, kesinambungan pemerintahan: Najib

MUAR: Perdana Menteri berkata, negara memerlukan kestabilan politik dan kesinambungan pemerintahan untuk mencapai matlamat dan visi negara yang selama ini ditadbir urus dengan baik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Datuk Seri Najib Razak, berkata kejayaan negara adalah sesuatu yang disusun dengan rapi untuk mencapai matlamatnya.

"Dan ia bukan sekadar impian kosong atau janji yang diperdagangkan oleh mereka yang suka menjual janji kepada rakyat. "Kita (BN) hendak kuasa kerana kita jauh lebih baik dari pihak lain untuk membela nasib rakyat dan bukan semata-mata (untuk) kuasa sahaja," katanya.

Beliau berkata, pembangkang tidak mempunyai asas yang kukuh untuk memerintah negara ini dan dasar yang dicipta oleh mereka cuma sesuatu yang direka dan bersifar populis sahaja.


"Kita tak perlu warna hijau, warna biru muda, juga tak perlu warna jingga, tak perlu kerana itu janji yang diperdagangkan sahaja," katanya pada Majlis Perhimpunan Bersama Rakyat di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2 di Sungai Abong, di sini, hari ini.


Najib berkata, sebagai pemimpin, beliau berpegang kepada prinsip dan pendekatan bahawa sebagai pemimpin kita tidak boleh jauh dari hati rakyat. "Menerusi lawatan seperti ini, ia akan memaut paut rasa kasih antara pemimpin selain melihat sejauh mana dasar induk dapat diterjemahkan apabila pemimpin turun ke peringkat daerah dan peringkat akar umbi," katanya.


Beliau berkata, lawatan turun ke padangnya juga membuktikan tidak ada tembok pemisah dalam apa keadaanpun antara pemimpin dan rakyat. Najib juga mengumumkan bantuan kerajaan pusat untuk memajukan bandar ini termasuk untuk membina lebih banyak perparitan bagi mengurangkan masalah banjir berharga RM4.8 juta.


"Satu lagi projek ialah memajukan "uptown" Muar sebanyak RM3 juta yang akan dikongsi sebanyak RM1.5 juta antara kerajaan pusat dan kerajaan Johor," katanya sambil memuji bandar ini mempunyai "uptown" sebagaimana bandaraya Los Angeles di Amerika Syarikat. Sebelum itu, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan kerja ke bandar ini, mengadakan kunjungan mesra bertemu rakyat khususnya peniaga di pusat bandar Muar.


Turut serta Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Prof Dr Jamilah Ariffin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam dan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek. - BERNAMA


Program Pemulihan bukti kerjasama unik KDN-Jabatan Penjara - Najib

KLUANG 26 Mac - Program Pemulihan Pemasyarakatan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merupakan kerjasama di antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini.


Beliau yang menyifatkan program pemulihan pemasyarakatan itu sebagai suatu yang amat unik dan berkemungkinan 'satu-satunya yang wujud di dunia', sambil mengucapkan tahniah kepada kedua-dua kementerian itu.


Menerusi program ini, sebuah pusat pemulihan bernilai RM4.5 juta telah dibina di dalam Kem Mahkota di sini, bagi menempatkan kira-kira 200 banduan yang ditahan kerana melakukan kesalahan-kesalahan ringan.


Pentadbiran dan kawalan terhadap banduan yang berada di dalam pusat pemulihan itu adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara, sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.


Najib berkata, program pemulihan ini memberi peluang kepada banduan untuk melakukan kerja-kerja khidmat bakti dan khidmat berbayar di dalam persekitaran masyarakat. - Bernama

Khamis, 24 Mac 2011

Najib akan kongsi hasil GTP dengan rakyat Ahad ini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan berkongsi dengan rakyat Malaysia hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP), selepas setahun pelaksanaannya, Ahad ini.


Pengarah Komunikasi GTP, Alex Iskandar Liew, berkata majlis itu yang sesuai dinamakan "Malam Transformasi Bersama Rakyat:Untukmu Malaysia" akan berlangsung di Stadium Putra di Bukit Jalil jam 6 petang.

"Terlalu banyak keraguan apabila GTP pertama kali diperkenalkan pada Januari 2010, tetapi hasilnya daripada pelbagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam tempoh 12 bulan tahun lepas sangat menggalakkan dan menunjukkan perkembangan dalam sistem penyampaian awam, berada pada landasan yang betul. Itu menunjukkan, masih banyak yang perlu dilakukan dan bagi mencapai sasaran yang lebih tinggi bagi memenuhi hasrat semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Liew berkata, kerajaan terkejut bahawa banyak sasaran NKRA dicapai dan malah dalam sesetengah kes, ia melebihi sasaran.


"Penjawat awam terutamanya memainkan peranan penting dalam proses transformasi dan menyumbang dengan ketara kepada kejayaan GTP melalui komitmen yang padu kepada kualiti khidmat penyampaian," katanya.


Liew melalui GTP, Malaysia menyaksikan pencapaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti penurunan dalam keseluruhan kes jenayah yang dilaporkan buat pertama kali dalam masa tiga tahun, pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, bilangan besar jalan yang dibina dalam setahun dan menambah baik pengangkutan awam menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT).


Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan usaha berhubung dengan rakyat bagi mendapatkan maklum balas berhubung bidang tumpuan baru yang mungkin bagi 2011 dan selepas itu. "Ini amat penting kerana transformasi merupakan proses berterusan, sesuatu yang begitu dinamik dan memerlukan kerja berpasukan - kerajaan, penjawat awam dan rakyat - bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA


Selasa, 22 Mac 2011

Kerajaan guna segala kudrat tunai janji: Najib

PUTRAJAYA 22 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apabila kerajaan mengaku untuk melaksanakan sesuatu, ia akan menunaikannya dengan menggunakan segala ikhtiar dan kudrat yang ada.

Malah, kata Perdana Menteri, sebelum berjanji lagi, kerajaan akan memastikan apa yang dinyatakan itu bersifat realistik, dalam kemampuan kerajaan yang wajar, bertanggungjawab dan mengambil kira semua aspek kesejahteraan rakyat serta kepentingan jangka panjang.

"Segala-galanya berlandaskan falsafah induk Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,? katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Najib berkata, perbezaan antara parti yang bertanggungjawab dan yang tidak bertanggungjawab boleh dilihat melalui janji yang dibuat kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya. - Bernama

Dasar kerajaan kini menjurus kepada pengurusan nilai - Najib

PUTRAJAYA 22 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa dasar kerajaan kini menjurus kepada pengurusan yang mementingkan nilai dalam melaksanakan agenda negara.

Perdana Menteri berkata, kaedah pengurusan nilai itu perlu diterapkan dalam semua pengurusan projek kerajaan bermula daripada peringkat awal lagi dan ia perlu menjadi alat pengurusan bagi mencapai nilai untuk wang.

"Kita perlu menyoal andaian yang ada, adakah terdapat kaedah atau cara yang lebih baik untuk mendapat pulangan optimum kepada perbelanjaan kerajaan.

"Ada banyak contoh di mana perbelanjaan kerajaan berjaya dijimatkan dengan pengurusan nilai. Ia seharusnya merangkumi pra dan pasca projek termasuklah pemilihan lokasi, rekayasa dan reka bentuk sehingga pemilihan bahan pembinaan yang bersesuaian,? katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger