Memaparkan catatan dengan label artis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label artis. Papar semua catatan

Khamis, 22 September 2011

Saya masih lagi waras - Marsha

KUALA LUMPUR - Selepas dua minggu mendiamkan diri, penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh akhirnya tampil semalam dengan pengakuan dia masih waras dan belum tergamak menelan sehingga 30 biji pil gara-gara dakwaan putus cinta pada 7 September lalu.

Peserta Akademi Fantasia 3 (AF3) yang berusia 26 tahun itu ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Alibi Music Sdn. Bhd. di sini semalam turut keliru dan terkejut bagaimana dia boleh dikaitkan dengan dakwaan cuba membunuh diri.

"Saya memang baru putus cinta. Tapi kalau benar saya telah menelan 30 biji pil, saya memang sudah mati sekarang," katanya lagi.

Penyanyi itu mengejutkan banyak pihak apabila dia dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7 September lalu atas dakwaan mengambil pil secara berlebihan sebelum dibenarkan pulang dua hari kemudian.

Berikut adalah petikan temu bual wartawan dengan Marsha:

Kosmo!: Mengapa Marsha mengambil masa yang lama untuk bertemu media dan menjelaskan isu ini?

Marsha: Pertama sekali saya minta maaf kerana mengambil masa yang lama untuk bertemu media. Selepas kejadian, saya memerlukan masa yang lebih untuk berehat dan memang mencari masa yang sesuai untuk menjelaskan apa yang telah berlaku. Jadi hari ini (semalam) sesuai kerana kebetulan pihak Alibi membuat rumah terbuka.

Jadi apa sebenarnya yang telah berlaku. Adakah benar anda menelan 30 biji pil sebagai cubaan membunuh diri kerana putus cinta?

Laporan itu tidak benar sama sekali. Pada hari kejadian iaitu 7 September, pada pukul 11 pagi saya telah ditemui pengsan di parkir kereta oleh pihak pengurusan kondominium saya.

Menurut doktor, saya pengsan kerana mengalami tekanan darah rendah, bukannya kerana menelan pil secara berlebihan. Tapi pada malam sebelum kejadian, saya memang ada mengambil pil iaitu pil tekanan darah rendah, namun bukan dalam kuantiti berlebihan.

Bagaimana boleh timbul isu anda cuba membunuh diri kerana putus cinta?

Saya sendiri tak tahu bagaimana boleh timbul cerita saya menelan 30 biji pil. Jika benar, pasti saya sudah mati sekarang. Saya memang baru putus cinta, tapi ia bukan punca saya pengsan pada hari kejadian. Saya masih waras untuk membuat tindakan bunuh diri seperti yang didakwa.

Jadi bagaimana perkembangan tahap kesihatan anda menurut doktor?

Doktor beritahu saya memang ada masalah tekanan darah rendah. Sekiranya selepas ini saya mengalami sebarang tekanan, ia memberi risiko kepada nyawa saya kerana masalah ini. Sekarang saya tidak mengalami tekanan, dan keadaan saya juga semakin baik.

Bagaimanapun saya masih perlu membuat rawatan susulan untuk memastikan tahap kesihatan saya benar-benar stabil.

[kosmo online]

Khamis, 3 Mac 2011

Winslet tak mahu bedah plastik

LOS ANGELES - Aktres pemenang anugerah Oscar, Kate Winslet tidak bercadang untuk menjalani pembedahan plastik, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun usianya kini meningkat 35 tahun, pelakon itu berkata, dia tetap berpuas hati dengan bentuk badannya.

"Tidak (pembedahan plastik), saya tidak pernah mencuba perkara seperti itu. Tiada bahagian tubuh saya yang saya benci atau mahu mengubahnya dengan menjalani pembedahan semata-mata untuk memuaskan fantasi supaya ia kelihatan lebih baik," kata Winslet.

Aktres tersebut yang memenangi anugerah Aktres Terbaik 2008 menerusi filem The Reader membuat pengakuan tersebut dalam satu wawancara dengan majalah hiburan Amerika Syarikat (AS), Glamour untuk edisi April depan.

Dalam temu bual itu, Winslet turut mengakui ada kalanya dia tidak yakin dengan penampilannya.

"Apabila saya gemuk, orang akan berkata kepada saya anda memiliki wajah yang cantik.

"Ia seperti menyatakan, wajah anda cantik tetapi tubuh anda pula sebaliknya," kata aktres tersebut.

sumber: Kosmo

Sabtu, 12 Februari 2011

Luna Maya mahu taubat

JAKARTA: Pelakon dan pengacara terkenal Indonesia, Luna Maya berkata, dia mahu bertaubat, memperbaiki kesilapannya dan meminta peminat memberinya kesempatan berbuat demikian.

Peguam Luna, Raffi Ahmad berkata kekasih vokalis kumpulan Peterpan Nazril Ariel Irham itu, terkilan dengan tunjuk perasaan yang dilakukan orang ramai terhadap mereka ketika Ariel dijatuhkan hukuman penjara 42 bulan atas kesalahan menyebarkan video lucah baru-baru ini.

“Luna pernah memberitahu saya, tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Setiap orang pasti pernah melakukan kesalahan. Dia juga ingin memperbaiki kesalahannya. Berikutan itu kalangan peminat perlu memberi sokongan kepadanya.

“Tindakan berdemonstrasi dan melemparkan kata-kata kesat tidak mendatangkan faedah sebaliknya memburukkan lagi keadaan. Jika kita bersedia memaafkan orang lain, ia lebih mulia,” kata Raffi ketika ditemui wartawan di Jakarta Barat.

Raffi berkata beliau bersimpati dengan Luna dan penghinaan yang diterimanya membabitkan kes itu.

“Sesiapa yang menghadapi masalah seperti dialami Luna, pasti akan menghadapi tekanan jiwa yang berat. Tiada siapa ingin berdepan masalah seperti ini,” katanya.

Raffi berkata anak guamnya tidak pernah bercerita secara terperinci mengenai tekanan yang dihadapinya kerana ia terlalu sensitif untuk dibincangkan. Kelmarin, Luna tidak hadir pada sambutan hari lahir rakan baiknya, Olga Syahputra dan tidak memberi alasan ketidakhadirannya.

Luna sebelum ini menemui Suruhanjaya Hak Asasi Indonesia bagi mendapatkan bantuan membabitkan kesnya selepas mendakwa ‘dianiaya’ sistem perundangan negara itu. – Agensi
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger