Khamis, 22 September 2011

Saya masih lagi waras - Marsha

KUALA LUMPUR - Selepas dua minggu mendiamkan diri, penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh akhirnya tampil semalam dengan pengakuan dia masih waras dan belum tergamak menelan sehingga 30 biji pil gara-gara dakwaan putus cinta pada 7 September lalu.

Peserta Akademi Fantasia 3 (AF3) yang berusia 26 tahun itu ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Alibi Music Sdn. Bhd. di sini semalam turut keliru dan terkejut bagaimana dia boleh dikaitkan dengan dakwaan cuba membunuh diri.

"Saya memang baru putus cinta. Tapi kalau benar saya telah menelan 30 biji pil, saya memang sudah mati sekarang," katanya lagi.

Penyanyi itu mengejutkan banyak pihak apabila dia dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7 September lalu atas dakwaan mengambil pil secara berlebihan sebelum dibenarkan pulang dua hari kemudian.

Berikut adalah petikan temu bual wartawan dengan Marsha:

Kosmo!: Mengapa Marsha mengambil masa yang lama untuk bertemu media dan menjelaskan isu ini?

Marsha: Pertama sekali saya minta maaf kerana mengambil masa yang lama untuk bertemu media. Selepas kejadian, saya memerlukan masa yang lebih untuk berehat dan memang mencari masa yang sesuai untuk menjelaskan apa yang telah berlaku. Jadi hari ini (semalam) sesuai kerana kebetulan pihak Alibi membuat rumah terbuka.

Jadi apa sebenarnya yang telah berlaku. Adakah benar anda menelan 30 biji pil sebagai cubaan membunuh diri kerana putus cinta?

Laporan itu tidak benar sama sekali. Pada hari kejadian iaitu 7 September, pada pukul 11 pagi saya telah ditemui pengsan di parkir kereta oleh pihak pengurusan kondominium saya.

Menurut doktor, saya pengsan kerana mengalami tekanan darah rendah, bukannya kerana menelan pil secara berlebihan. Tapi pada malam sebelum kejadian, saya memang ada mengambil pil iaitu pil tekanan darah rendah, namun bukan dalam kuantiti berlebihan.

Bagaimana boleh timbul isu anda cuba membunuh diri kerana putus cinta?

Saya sendiri tak tahu bagaimana boleh timbul cerita saya menelan 30 biji pil. Jika benar, pasti saya sudah mati sekarang. Saya memang baru putus cinta, tapi ia bukan punca saya pengsan pada hari kejadian. Saya masih waras untuk membuat tindakan bunuh diri seperti yang didakwa.

Jadi bagaimana perkembangan tahap kesihatan anda menurut doktor?

Doktor beritahu saya memang ada masalah tekanan darah rendah. Sekiranya selepas ini saya mengalami sebarang tekanan, ia memberi risiko kepada nyawa saya kerana masalah ini. Sekarang saya tidak mengalami tekanan, dan keadaan saya juga semakin baik.

Bagaimanapun saya masih perlu membuat rawatan susulan untuk memastikan tahap kesihatan saya benar-benar stabil.

[kosmo online]
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger