Khamis, 22 September 2011

Chong Wei melangkah mudah ke pusingan kedua

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan awal apabila mudah untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun 2011.

Tampil selaku pemain pilihan pertama kejohanan, Chong Wei tidak berdepan halangan sukar untuk menundukkan pemain perseorangan England, Rajiv Ouseph 21-13, 21-13 pada aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Tokyo semalam.

Kemenangan tersebut dianggap sangat penting buat pemain No. 1 dunia itu dalam usaha memburu kejuaraan keempat pada kejohanan yang telah berusia 30 tahun itu pada edisi kali ini.

Ia juga sebagai langkah permulaan serta suntikan semangat buat Chong Wei yang dijangka berdepan musuh tradisinya, Lin Dan dari China andai berjaya melayakkan diri sehingga ke pentas final.

Pada aksi pusingan kedua hari ini, Chong Wei, 29, bakal berdepan perseorangan China, Wang Zhengming yang layak selepas mengenepikan cabaran Wong Wing Ki dari Hong Kong 23-21, 21-13 dalam satu lagi aksi pusingan pertama semalam.

Sementara itu, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mengikut jejak langkah Chong Wei mara ke pusingan kedua selepas mengenepikan cabaran Saeki Hiroyuki-Taohata Ryota dari Jepun 21-10, 21-8.

Terbuka Jepun kali ini sangat penting buat Kien Keat-Boon Heong dalam usaha memulihkan semula reputasi mereka selepas kecundang di tangan pasangan Korea Selatan, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae pada aksi suku akhir China Master minggu lalu.

Menanti beregu No. 4 dunia itu pada pusingan kedua hari ini ialah pasangan Yoshiteru Hirobe-Kenta Kazuno dari Jepun yang menewaskan pasangan Belanda, Ruud Bosch-Koen Ridder 21-19, 21-8.

Turut beraksi cemerlang pada aksi pusingan pertama semalam ialah beregu kedua negara, Goh Wei Shem-Lim Khim Wah yang mara selepas membenam cabaran Kim Ki Jung-Shin Baek Choel dari Korea selatan 22-20, 21-19.

Wei Shem-Khim Wah bakal berdepan tugas getir pada aksi pusingan kedua apabila dijadual menentang beregu China, Chai Biao-Guo Zhendong.

[kosmo online]
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger