Ahad, 27 Mac 2011

Pantau kelewatan bina Kampus UMK Jeli - Mustapa

JELI - Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi mengenai kelewatan menyiapkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli.


Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, jika pemaju terbabit gagal menyiapkan pembinaan kampus itu seperti yang dijadualkan, ia boleh menyebabkan kelewatan kemasukan staf pada Jun ini dan 800 pelajar pertamanya pada Sept akan datang.


Mengikut jadual kampus bernilai RM60 juta itu sepatutnya siap dalam masa dua bulan lagi.


"Justeru itu saya akan bertemu Kementerian Pengajian Tinggi untuk meminta agar proses pembinaan kampus itu dipantau," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak kampus itu di Gemang di sini, hari ini.


Ketika ini UMK beroperasi sementara di Taman Bendahara, Kota Baharu dan selain kampus Jeli, kampus induknya pula terletak di Bachok yang juga dalam proses pembinaan. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger