Rabu, 23 Mac 2011

FAM bubar skuad wanita kebangsaan: Azzudin

PERSEPSI negatif terhadap sukan bola sepak wanita perlu dikikis jika mahu melihat sukan terbabit menjadi antara penyumbang kejayaan kepada sesebuah negara.

Itu nasihat bekas pemain dan jurulatih pasukan wanita kebangsaan Jerman, Monika Staab yang berada di ibu negara sepanjang minggu ini bagi menjayakan Kursus dan Festival Bola Sepak Wanita Peringkat Akar Umbi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)-FIFA.

“Masih ramai yang mempunyai tanggapan wanita perlu tinggal di rumah dan melahirkan anak,” kata Staab dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil - lokasi untuk acara anjuran badan induk bola sepak dunia itu sehingga Sabtu ini. “Bagi saya itu tanggapan lapuk yang perlu dikikis jika ingin melihat sukan ini maju dan berkembang di seluruh dunia. Memang bola sepak wanita kekurangan dana dan promosi berbanding bola sepak lelaki, tetapi ia sedang menuju ke arah yang sama.

“Saya harap dengan adanya program sebegini, minat rakyat Malaysia terhadap bola sepak wanita terus bercambah, terutama di peringkat akar umbi sekali gus usaha FAM membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap pada masa depan.”

Hadir sama pada sidang akhbar berkenaan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, yang turut bersimpati dengan nasib pasukan kebangsaan wanita ketika menyertai Sukan SEA dua tahun lalu. “Kita terpaksa mengambil langkah membubarkan pasukan kebangsaan dan kembali ke peringkat akar umbi,” kata Azzuddin.

“Program pembangunan ini mungkin akan mengambil masa beberapa tahun, saya tidak dapat nyatakan secara tepat, tetapi inilah jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan skuad wanita kebangsaan bukan lagi pasukan belasahan.”
Sementara itu, bekas kapten pasukan kebangsaan, Angela Kais, 31, kecewa kerana peluangk menyarung jersi kebangsaan sudah tertutup. “Mungkin dengan menjadi jurulatih kepada generasi muda, dapat mengubat kekecewaan kami bekas pemain-pemain,” katanya.


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger