Rabu, 23 Mac 2011

Menang bukan kerana nasib

Chong Wei berjaya kerana sudah matang, ‘Super Dan’ tak demam

WALAUPUN kedengaran suara sumbang yang mempertikaikan kejayaan Lee Chong Wei mempertahankan mahkota Seluruh England dengan mendakwa Lin Dan yang ditumbangkan tidak cergas, Tey Seu Bock tampil mempertahankan kemenangan anak didiknya itu.

Jurulatih yang mengambil alih tugas Misbun Sidek membimbing pemain nombor satu dunia itu menegaskan kemenangan jaguh negara itu bukan nasib, sebaliknya kerana perubahan corak permainan dan strategi yang mematikan langkah seteru utamanya.

“Saya tidak dapat menerima jika ada orang kata Lin Dan tidak cergas dan kurang bermaya pada final itu kerana selaku seorang pemain profesional mengapa dia perlu mengambil risiko bermain jika merasakan dirinya bukan berada di tahap terbaik. “Lagipun, sebelum aksi final itu saya lihat dia memanaskan badan hampir satu jam setengah dan terus berlatih selepas tamat permainan dalam perlawanan pusingan awal,” katanya ditemui selepas sesi latihan di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Seu Bock juga menegaskan kemenangan Chong Wei itu kerana kematangan dan kekuatan mentalnya walaupun menggalas tugas berat selaku penyandang juara dan beberapa kali tumbang kepada pemain yang dikenali dengan gelaran ‘Super Dan’ itu.

“Setiap kali pertemuan dengan Lin Dan, kita membuat ‘post mortem’ dan daripada situ kita melakukan perubahan strategi kerana permainan Chong Wei sebenarnya sudah dapat dibaca jaguh China itu.

“Ternyata perubahan strategi dan mempelbagaikan corak permainan itu memerangkap serta mematikan langkah Lin Dan,” katanya mengakui Misbun turut menyumbang kepada kejayaan Chong Wei apabila berbincang dengannya dan ketua jurulatih, Rashid Sidek menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger