Rabu, 23 Mac 2011

Syarat kewarganegaraan tidak dilonggarkan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kerajaan tidak sewenang-wenangnya boleh melonggarkan syarat untuk memberi hak kewarganegaraan kepada mana-mana individu semata-mata bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, segala proses kelulusan permohonan itu adalah tertakluk kepada Perlembagaan.


"Dalam dunia tanpa sempadan ini, sekiranya ada kes-kes tertentu yang menyalahgunakan sistem, ia akan membawa bersama jenayah serius seperti penyeludupan dadah, bayi dan senjata, ada kaitan dengan 'money laundering'.


"Dalam konteks keselamatan negara, perkara ini tidak boleh diambil mudah semata-mata bagi mempercepat dan memastikan proses ini efisien dan mencapai sasaran yang kita harapkan," katanya menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.


Po Kuan dalam soalannya ingin tahu sebab permohonan taraf kewarganegaraan yang ditolak dan sama ada terdapat kelonggaran syarat yang memberikan hak kewarganegaraan dalam permohonan taraf kewarganegaraan. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger