Memaparkan catatan dengan label pihak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pihak. Papar semua catatan

Khamis, 28 April 2011

SPRM tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam siasatan kes rasuah

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menyebelahi mana-mana parti politik dalam membanteras gejala rasuah di negara ini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.


Beliau berkata, sekiranya menemui bukti kukuh dalam siasatan terhadap mana-mana individu sama ada dari parti pemerintah atau pembangkang, suruhanjaya itu tidak akan teragak-agak membawa individu terbabit ke muka pengadilan. "Bagi kami, rasuah membabitkan kepentingan rakyat tidak kira apa fahaman politik sekalipun. Jadi dakwaan bahawa SPRM menyebelahi pihak kerajaan dalam siasatan dan dakwaan kes rasuah adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam wacana 'Rasuah Pemusnah Tamadun' di Auditorium Karangkraf di sini petang ini.


Turut menjadi panel dalam wacana anjuran Karangkraf itu ialah pengasas Gerakan Rakyat Anti Korupsi, Senator Ezam Mohd Nor, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta pengasas ESQ Leadership Centre Dr Ary Ginanjar.


Mengambil contoh Selangor, Abu Kassim berkata, sepanjang pemerintahan bekas-bekas Menteri Besar seperti Datuk Harun Idris, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Dr Mohamad Khir Toyo, negeri itu sentiasa dalam siasatan SPRM. Bagaimanapun, beliau berkata, apabila negeri itu kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat, siasatan yang dilakukan oleh SPRM membabitkan beberapa kes rasuah dipersoalkan.


"Kenapa sekarang tidak boleh (disiasat)? Ia hanya siasatan, bukan dituduh," katanya. Abu Kassim berkata, siasatan terhadap beberapa pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dalam operasi 3B baru-baru ini adalah bukti ketelusan SPRM dalam menjalankan tugas.


Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap beberapa pihak yang mendakwa SPRM gagal mengheret ramai golongan ternama terutama di kalangan parti pemerintah ke muka pengadilan berkaitan jenayah rasuah.


Katanya semua pihak harus faham bahawa setiap siasatan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan di mahkamah jika tidak mempunyai bukti dan keterangan mencukupi untuk mensabitkan individu atau kumpulan tertentu dengan rasuah.


"SPRM juga pernah dikecam hebat kerana tidak menjalankan siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud kerana memiliki kekayaan peribadi luar biasa sedangkan kami sudah menyiasat kes itu sebanyak sembilan kali dan berulang kali menjelaskannya di Parlimen," katanya.


Abu Kassim turut menafikan dakwaan Mohammad Nizar bahawa SPRM menutup siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia.


"Kita masih menyiasat, siapa kata sudah ditutup (kes)? SPRM without fear and favour akan tetap jalankan siasatan," katanya. Ketika ditanya perlu atau tidak SPRM mendedahkan siasatannya di media, Abu Kassim berkata, selagi kes masih dalam siasatan pihaknya tidak boleh mendedahkannya, tidak kira siasatan membabitkan individu dari pihak parti pemerintah atau pembangkang.


Ezam pula berkata usaha untuk membanteras rasuah memerlukan pengorbanan yang besar dan beliau turut mencadangkan supaya SPRM menjadi lebih kreatif dalam menghukum pesalah rasuah. "Nak kumpul bukti itu susah dan kita cadangkan dalam kaedah hukum kita perluaskan seperti menggunakan akta-akta lain seperti Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana kita boleh lihat lifestyle seseorang individu itu. Burden of proof is too high jadi tidak mustahil untuk SPRM turut menggunakan akta lain," katanya.


Mohammad Nizar pula mencadangkan supaya setiap ketua organisasi di negara ini seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Parlimen bagi mempastikan ketelusan dan keadilan
dalam tugas masing-masing.


Manakala Dr Ary mencadangkan agar semua parti politik di Malaysia termasuk pembangkang mengetepikan fahaman politik masing-masing dan bersatu dalam melaksanakan usaha membanteras jenayah rasuah. "Apapun yang paling penting ialah kembali kepada ajaran Islam itu sendiri dan sekiranya pegangan agama kukuh, gejala rasuah tidak akan berlaku kerana kita hidup dalam kejujuran dan keimanan," katanya. - BERNAMA



kredit

Selasa, 29 Mac 2011

Pihak berkuasa Syria lepaskan tembakan surai penunjuk perasaan

DAMSYIK 29 Mac - Pihak berkuasa Syria melepaskan tembakan bagi menyuraikan beratus-ratus penunjuk perasaan di Deraa yang menuntut untuk menamatkan darurat hari ini namun mereka berkumpul semula walaupun kerahan tentera digunakan, kata saksi.

Sekurang-kurangnya 61 terkorban sejak 10 hari berlakunya protes menentang kerajaan di bahagian selatan bandar Deraa dan menjadikan ia cabaran terhebat dalam pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Bagaimanapun, Assad belum membuat sebarang tindakan mengenai protes tersebut yang telah merebak ke Latakia dan Hama namun Timbalan Presidennya, Farouq al-Shara mengatakan Assad akan memberi ucapan penting dalam masa terdekat. - Reuters


kredit

Sabtu, 26 Mac 2011

Jamil Khir enggan ulas isu qazaf kerana libatkan pihak berkuasa

ALOR SETAR, 26 Mac (Bernama) - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau memilih untuk mendiamkan diri dalam isu-isu yang didakwa pihak tertentu sebagai qazaf (tuduhan zina) kerana ia melibatkan pihak berkuasa seperti polis.


Katanya, dalam hal itu pihak-pihak yang berkaitan perlu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.


"Mereka kata saya mendiamkan diri. Kalau rasa itu tuduhan bawa kepada polis dan mahkamah yang berkaitan. Hal ini perlu dilaporkan kepada polis," katanya kepada pemberita selepas meraikan konvoi motosikal Pemuda UMNO Padang Besar, Perlis di sini hari ini.


Sebuah akhbar yang dikaitkan dengan pembangkang, Fitrah dalam laporannya mengatakan Jamil Khir dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim tidak bersuara dalam isu qazaf seperti tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu video lucah palsu yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang.


Sementara itu, Jamil Khir berkata fatwa berbeza antara negeri-negeri dalam sesuatu perkara bukanlah sesuatu yang mengelirukan tetapi bagi memperlihatkan pandangan yang luas dalam isu berkaitan. Katanya, fatwa bukanlah undang-undang, jadi ia tidak akan sampai ke tahap menimbulkan konflik.


Ketika berucap pada majlis itu, Jamil Khir yang juga Ketua Penerangan UMNO, Negeri Kedah berkata trend kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil sejak kebelakangan ini menunjukkan pengundi muda sudah kembali kepada BN.


"Walaupun beberapa pilihan raya kecil yang awal selepas Pilihan Raya Umum 2008 berpihak kepada pembangkang tetapi kini sejak akhir-akhir ini BN pula yang menang. Keputusannya sekarang dah jadi 8-8...seri," katanya. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger