Memaparkan catatan dengan label siasatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label siasatan. Papar semua catatan

Jumaat, 5 Ogos 2011

Exco: VC Unisel Rosti letak jawatan ekoran siasatan dalaman

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Keputusan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Datuk Dr Rosti Saruwono meletakkan jawatan berpunca dari siasatan dalaman yang dibuat kerajaan negeri Selangor ekoran laporan ketidakcekapan dan tidak profesional sesetengah pegawainya.

Namun begitu, Naib Canselor Unisel itu ‘tidak mampu bekerjasama’  dengan semua timbalan presiden Unisel bagi melaksanakan segala resolusi yang dicapai dari siasatan dalaman itu.

Ekoran itu, Exco Pendidikan Selangor Dr Halimah Ali berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Pengerusi Unisel telah memberikan tempoh dua minggu kepada Rosti untuk bekerjasama demi kebaikan Unisel.

“Kesemua timbalan presiden bersetuju dengan cadangan Menteri Besar. Akhirnya, naib canselor tidak sanggup,” kata Dr Halimah dipetik Harakahdaily hari ini.

Rosti mengumumkan keputusan letak jawatan berkuat kuasa semalam.

Menteri Besar Selangor menerima keputusan Rosti dan menubuhkan pasukan khas bagi meneliti permasalahan dalam pengurusan Unisel.

Semalam, Khalid berkata pasukan khas itu akan dikemudi oleh tiga individu berkelayakan bagi memastikan Unisel terus berkembang maju.

“Bagi memastikan peletakan jawatan ini tidak mengganggu pembangunan Unisel dan usaha menjadikan universiti tersebut sebagai salah satu universiti terbaik Malaysia, kerajaan negeri telah memberi tugasan kepada sebuah jawatankuasa,” katanya.


kredit

Khamis, 28 April 2011

SPRM tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam siasatan kes rasuah

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menyebelahi mana-mana parti politik dalam membanteras gejala rasuah di negara ini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.


Beliau berkata, sekiranya menemui bukti kukuh dalam siasatan terhadap mana-mana individu sama ada dari parti pemerintah atau pembangkang, suruhanjaya itu tidak akan teragak-agak membawa individu terbabit ke muka pengadilan. "Bagi kami, rasuah membabitkan kepentingan rakyat tidak kira apa fahaman politik sekalipun. Jadi dakwaan bahawa SPRM menyebelahi pihak kerajaan dalam siasatan dan dakwaan kes rasuah adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam wacana 'Rasuah Pemusnah Tamadun' di Auditorium Karangkraf di sini petang ini.


Turut menjadi panel dalam wacana anjuran Karangkraf itu ialah pengasas Gerakan Rakyat Anti Korupsi, Senator Ezam Mohd Nor, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta pengasas ESQ Leadership Centre Dr Ary Ginanjar.


Mengambil contoh Selangor, Abu Kassim berkata, sepanjang pemerintahan bekas-bekas Menteri Besar seperti Datuk Harun Idris, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Dr Mohamad Khir Toyo, negeri itu sentiasa dalam siasatan SPRM. Bagaimanapun, beliau berkata, apabila negeri itu kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat, siasatan yang dilakukan oleh SPRM membabitkan beberapa kes rasuah dipersoalkan.


"Kenapa sekarang tidak boleh (disiasat)? Ia hanya siasatan, bukan dituduh," katanya. Abu Kassim berkata, siasatan terhadap beberapa pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dalam operasi 3B baru-baru ini adalah bukti ketelusan SPRM dalam menjalankan tugas.


Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap beberapa pihak yang mendakwa SPRM gagal mengheret ramai golongan ternama terutama di kalangan parti pemerintah ke muka pengadilan berkaitan jenayah rasuah.


Katanya semua pihak harus faham bahawa setiap siasatan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan di mahkamah jika tidak mempunyai bukti dan keterangan mencukupi untuk mensabitkan individu atau kumpulan tertentu dengan rasuah.


"SPRM juga pernah dikecam hebat kerana tidak menjalankan siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud kerana memiliki kekayaan peribadi luar biasa sedangkan kami sudah menyiasat kes itu sebanyak sembilan kali dan berulang kali menjelaskannya di Parlimen," katanya.


Abu Kassim turut menafikan dakwaan Mohammad Nizar bahawa SPRM menutup siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia.


"Kita masih menyiasat, siapa kata sudah ditutup (kes)? SPRM without fear and favour akan tetap jalankan siasatan," katanya. Ketika ditanya perlu atau tidak SPRM mendedahkan siasatannya di media, Abu Kassim berkata, selagi kes masih dalam siasatan pihaknya tidak boleh mendedahkannya, tidak kira siasatan membabitkan individu dari pihak parti pemerintah atau pembangkang.


Ezam pula berkata usaha untuk membanteras rasuah memerlukan pengorbanan yang besar dan beliau turut mencadangkan supaya SPRM menjadi lebih kreatif dalam menghukum pesalah rasuah. "Nak kumpul bukti itu susah dan kita cadangkan dalam kaedah hukum kita perluaskan seperti menggunakan akta-akta lain seperti Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana kita boleh lihat lifestyle seseorang individu itu. Burden of proof is too high jadi tidak mustahil untuk SPRM turut menggunakan akta lain," katanya.


Mohammad Nizar pula mencadangkan supaya setiap ketua organisasi di negara ini seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Parlimen bagi mempastikan ketelusan dan keadilan
dalam tugas masing-masing.


Manakala Dr Ary mencadangkan agar semua parti politik di Malaysia termasuk pembangkang mengetepikan fahaman politik masing-masing dan bersatu dalam melaksanakan usaha membanteras jenayah rasuah. "Apapun yang paling penting ialah kembali kepada ajaran Islam itu sendiri dan sekiranya pegangan agama kukuh, gejala rasuah tidak akan berlaku kerana kita hidup dalam kejujuran dan keimanan," katanya. - BERNAMA



kredit

Khamis, 21 April 2011

SPRM adakan siasatan dalaman menyeluruh

KUALA LUMPUR, 7 April: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh ahli keluarga Allayarham Ahmad Sarbani Mohamed, pegawai kastam yang ditemui mati di perkarangan bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi semalam.

“Saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM turut merasa sedih dan bersimpati atas kejadian yang berlaku.

“SPRM akan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh mengenai perkara ini,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam tadi.

SPRM juga, katanya telah menyerahkan perkara itu kepada pihak Polis untuk menjalankan siasatan punca kematian dan SPRM akan memberi kerjasama yang sepenuhnya dalam siasatan tersebut.

“Kami juga berharap perkara ini tidak dieksploitasi atau dimanipulasikan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka,” ujarnya.


kredit

Jumaat, 25 Mac 2011

Polis Selangor jejaki 11 individu bantu siasatan kes bunuh

SHAH ALAM - Polis Selangor sedang mengesan 11 individu termasuk enam warganegara asing bagi membantu siasatan lapan kes bunuh yang masih belum selesai di sekitar Lembah Klang sepanjang tempoh tiga tahun ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, daripada lapan kes itu, dua kes pada 2009, empat kes pada 2010 dan dua kes pada tahun ini.


"Polis Selangor masih belum dapat menyelesaikan kes-kes bunuh ini berikutan kegagalan mengesan kesemua individu terbabit. Justeru kita berharap bantuan daripada orang ramai untuk mengesan mereka yang boleh membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.


Individu terbabit ialah K. Devandran, 20, dari Kampung Sungai Terentang Tambahan Rawang; V. Ganasan, 30, dari Kampung Baru Kundang; T.Viyay Anad, 28, dari Taman Intan, Kapar, Klang; Arwan Mohd Johari Syariff Dong, 33, dari Jalan Besar, Banting; dan S. Muniandy, 43, dari Taman Sri Layang, Mentakab, Pahang.


Warganegara asing terbabit ialah Zaw Zaw Aung, 24, warga Myanmar, dari Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34 di sini; Aung Than Lwin, 25, warga Myanmar, dari Taman Bukit Kinrara, Puchong; MD Shahin, warga Bangladesh, 40-an, dari Taman Perdana, Kuala Lumpur; Aung Thaik, 31, dan Chit Lin, 23, kedua-duanya warga Myanmar dari Taman Desawan, Klang serta seorang wanita warga Indonesia, Zulfa Ismail, 22.


Mohd Adnan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua individu terbabit supaya menghubungi Pegawai Turus Jenayah Berat IPK Selangor Supt Dennis Leong di talian 013-8010104. - Bernama

Khamis, 24 Mac 2011

Video seks: Polis mulakan siasatan, pengamal media dipanggil

KUALA LUMPUR 23 Mac ?-Polis telah memulakan siasatan terhadap sekumpulan individu yang mendakwa mempunyai rakaman video seks membabitkan seorang pemimpin pembangkang. Beberapa pengamal media telah dipanggil polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung pendedahan video klip itu, yang ditayangkan untuk tontonan umum pihak media di Hotel Seri Carcosa di sini Isnin lepas.


Difahamkan mereka dipanggil untuk memberitahu secara terperinci mengenai tayangan klip itu yang ditayangkan oleh satu kumpulan yang diketuai oleh Datuk T. Turut dipanggil ialah beberapa lagi wartawan kanan dan editor dari New Straits Times, The Star dan Malay Mail, yang juga merupakan kumpulan pertama melihat klip video berkenaan.


Keterangan mereka diambil di sebuah Ibu Pejabat Polis di Kuala Lumpur. Siasatan itu dibuat ekoran laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, yang menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video berkenaan. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger