Memaparkan catatan dengan label kuasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kuasa. Papar semua catatan

Selasa, 29 Mac 2011

Majlis Peralihan Kuasa bentuk Kabinet bayangan

BENGHAZI: Ketika pejuang pemberontak menawan semula satu demi satu bandar di barat, perwakilan pembangkang di Benghazi pula sibuk menubuhkan kerajaan bayangan bagi mengambil alih kuasa daripada Muammar Gaddafi. Tugas itu bukan mudah.


Dikendalikan tokoh elit, kebanyakan mereka baru pulang dari pembuangan dan terpaksa berdepan dengan sentimen majoriti rakyat Libya, termasuk di luar negara. Setakat ini, suara pembangkang Libya disatukan dalam Majlis Peralihan Sementara Kebangsaan (PTNC) yang dianggotai 31 ahli mewakili bandar utama di Libya.


Bagaimanapun, atas faktor keselamatan, hanya 13 nama dinyatakan kepada umum. PTNC diketuai bekas Menteri Keadilan Libya, Mustapha Abdul Jalil, yang dilaporkan memperjudikan dirinya untuk jawatan itu. Mustapha dibantu Abdul Hafiz Ghoqa yang turut bertindak sebagai jurucakap PTNC.

Penyelaras media PTNC, Mustapha Gheriani, berkata majlis itu dianggotai tokoh yang agak diyakini. “Mereka tidak dilantik berdasarkan kemahiran yang ada, tetapi pada ketika ini hanya itu amalan demokrasi yang dapat kami laksanakan,” katanya. Ahli jawatankuasa media PTNC, Iman Bugaighis, berkata mereka cuba sedaya-upaya mendapatkan keyakinan orang ramai melalui pentadbiran di bandar yang dikuasai pemberontak.

Kata doktor gigi itu, bulan lalu kakitangan awam mendapat gaji pada waktu sepatutnya. “Kami cuba mengekalkannya bulan ini,” katanya.
Kini, katanya, PTNC cuba membentuk Kabinet, lengkap dengan kuasa menteri bagi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari negara luar. “Kami perlukan sebuah badan yang lebih tersusun,” katanya. - AFP

kredit

Sabtu, 26 Mac 2011

Ali Abdullah sedia serah kuasa kepada orang dipercayai

SANAA 26 Mac - Presiden Ali Abdullah Saleh dalam ucapannya di hadapan penyokongnya berjanji akan menyerahkan kuasanya tetapi hanya kepada orang yang boleh dipercayai.


"Kami akan berdiri teguh dengan kamu. Terus setia berdepan dengan pelbagai cabaran. Kita tidak perlu kuasa. Kita perlu menyerahkannya kepada orang yang boleh dipercayai, dan bukan kepada tangan yang mengamalkan korup dan perlakuan terkutuk," ujarnya kepada orang ramai di ibu negara lalu disusuli dengan tepukan gemuruh. - AFP

Khamis, 24 Mac 2011

Pemimpin Libya akan cuba kekal kuasa: Obama

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam memberi amaran, Muammar Gaddafi mungkin berusaha mengekalkan kuasa meskpiun berdepan dengan serangan tentera bersekutu. Bagaimanapun, Obama berkata, pendekatan ketenteraan bukan satu-satunya cara untuk menyingkirkan pemimpin Libya itu.


“Kita sudah mengenakan sekatan antarabangsa. Kita sudah membekukan asetnya. Kita akan terus mengenakan pelbagai tekanan terhadapnya,” kata Obama kepada CNN di El Salvador. Pemimpin Amerika itu juga mengingatkan, langkah menguatkuasakan zon larangan terbang terpaksa dilakukan selepas ketetapan Majlis Keselamatan Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diluluskan minggu lalu bagi memastikan rakyat Libya tidak menjadi sasaran serangan tentera negara mereka sendiri.


Obama yang berada di El Salvador sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Amerika Latin berkata, beliau percaya serangan udara yang dilancarkan negaranya, Britain dan Perancis beraya menyelamatkan nyawa orang awam di Libya. - AP

Rabu, 23 Mac 2011

Minta pengenalan diri penguat kuasa DBKL

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihati orang awam yang didekati oleh anggota penguat kuasa DBKL supaya meminta kad pengenalan diri anggota berkenaan.

Pengurus Komunikasi Korporat DBKL, Anwar Mohd. Zain berkata, ini kerana terdapat kegiatan penyamaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai anggota penguat kuasa DBKL terutama di sekitar kawasan Chow Kit.

"Mereka didapati bertindak memeras ugut orang awam yang didapati melakukan kesalahan dengan meminta wang dan merampas telefon bimbit. DBKL telah bertindak dengan menangkap individu terbabit. Dia telah pun dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi denda RM1,500,? katanya dalam satu kenyataan. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger