Memaparkan catatan dengan label Anwar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anwar. Papar semua catatan

Sabtu, 6 Ogos 2011

Isu Ku Li-Anwar: Dalam hidup saya tak pernah rahsia, kata Nik Aziz

KOTA BARU, 5 Ogos — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak pernah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan idea melantiknya sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Nik Aziz berkata, sejarah membuktikan beliau tidak pernah berahsia dalam urusan kehidupan sehariannya.


Malah tegas beliau, jika benar pertemuan itu diadakan, tiada sebab ia perlu dirahsiakn daripada pengetahuan umum.


“Saya tidak tahu cerita jumpa Ku Li (timbul) dari mana, tak ada (pertemuan). Kalau ada, buat apa saya rahsia, dalam sejarah hidup saya, tidak ada rahsia, tuan-tuan tahu sendiri, tiada yang rahsia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Konsep Negara Berkebajikan tulisan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.


Kenyataan terbabit sekali gus menjawab cabaran yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim yang mahukan Nik Aziz membuat kenyataan terbuka dan bukannya melalui Facebook mengenai dakwaan pertemuan rahsia tersebut.


Selasa lalu, dalam laman Facebook rasminya, Nik Aziz menyifatkan khabar angin yang mengaitkan beliau terlibat dalam pertemuan rahsia dengan Tengku Razaleigh sebagai satu “lawak jenaka.”


Ditanya adakah dakwaan itu dibuat kerana mahu menjatuhkan PAS, Nik Aziz berkata, jawapan tersebut hanya boleh diberikan oleh individu yang membuat tuduhan tersebut.


“Apa yang jelas ini perkara mengarut, saya nasihat mereka yang sebarkan berita ini, jaga akhlak. Ini bulan Ramadan, jangan sebarkan berita yang tidak benar,” katanya.


Menyentuh mengenai kesihatannya, Nik Aziz mengakui faktor usia kadangkala menyebabkan beliau beberapa kali menerima rawatan hospital, namun ia tidak menjejaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan parti.


“Saya umur sudah (sekitar) 80, kalau sakit pun munasabahlah, (tetapi) kalau sakit menyebabkan kerja terganggu minta maaf, (sekarang) alhamdulillah, berselera makan, tetapi apabila malam berjaga lebih, timbul letih sikit,” katanya.


kredit

Selasa, 29 Mac 2011

Video seks: Hishammuddin akan saman Anwar

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan memfailkan saman terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengaitkan beliau dalam kes video seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara, Isnin lalu.

Hishammuddin hari ini melantik peguam Tan Sri Cecil Abraham bagi mewakili beliau dalam memfailkan saman terhadap Ketua Pembangkang itu.

Menurut sumber Kementerian Dalam Negeri, dakwaan Anwar bahawa Hishammuddin adalah dalang di sebalik penayangan video yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang telah menjatuhkan maruah dan nama baiknya sebagai menteri. Kata sumber itu, tindakan undang-undang itu diambil bagi membersihkan nama Hishammuddin.

Anwar dalam laporan beberapa akhbar sebelum ini menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video kononnya aksi beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.

Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan pembabitan mereka dalam rakaman berkenaan. - BERNAMA



kredit

Ahad, 27 Mac 2011

Di mana Anwar: PKR kecam Utusan

PETALING JAYA, 26 Mac: PKR mengecam laporan muka depan Utusan Malaysia, hari ini bertajuk “Di Manakah Anwar Ibrahim” yang jelas satu fitnah dan tidak berpandukan etika kewartawanan yang baik.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata laporan itu berniat jahat dan hanya bertujuan untuk menyambung fitnah dan serangan ke atas Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Tegasnya, ia tidak berasas dan hanya memetik satu penulisan blog seorang pimpinan bawahan Pemuda Umno yang diketahui umum sering menimbulkan fitnah terhadap Pakatan Rakyat.

Tambahnya, tembelang Utusan Malaysia yang melambangkan rendahnya kawalan mutu kewartawanan terdedah apabila ia menyiarkan dakwaan blog tersebut bahawa Anwar tidak membuat sebarang pesanan twit ke akaun Twitternya kononnya pada masa rakaman itu berlaku.

Beliau menyertakan bukti-bukti dari petikan skrin akaun Facebook Anwar Ibrahim yang menunjukkan beliau menghantar pesanan ke akaun Twitter dan disambut oleh pengikutnya seperti berikut:

1.      21 Februari 2011, 1040 malam: “Inshaallah”

2.      21 Februari 2011, 1049 malam: “That’s dsNajib’s plan. Our task: pursue reform agenda”

3.      21 Februari 2011, 1050 malam: “Varsity students: Conscience of the majority”

4.      21 Februari 2011, 1052 malam: “Modus operandi of rogue leaders”

5.      21 Februari 2011, 1058 malam: “Bisa”

6.      21 Februari 2011, 1103 malam: “Waras”

7.      21 Februari 2011, 1103 malam: “Ada ruang bias ja”

8.      21 Februari 2011, 1105 malam: “Ngak. Tapi ada sampaikan kuliah diUGM”

9.      21 Februari 2011, 1108 malam: “RT @gst183 Revolution is the festival of d oppressed”

Menurutnya, masa yang dicatatkan di Facebook adalah dua minit lebih lambat dari masa pesanan sebenar di akaun Twitter kerana menggunakan khidmat Selective Tweets.

Oleh yang demikian, katanya Anwar menghantar 9 pesanan ke akaun Twitternya di antara jam 10.38 malam hingga 11.06 malam.

Jelasnya, pada masa ini jugalah iaitu diantara 10.20 malam hingga 10.41 malam kononnya seorang yang mirip dengan wajah beliau dirakam sedang melakukan hubungan seks di sebuah bilik.

“Semua laporan setakat ini oleh mereka yang telah menonton rakaman tersebut tidak menyebut mengenai si pelaku sedang melakukan seks sambil memegang telefon untuk menghantar pesanan ke akaun Twitter.

“Pesanan-pesanan yang dihantar dan dilampirkan di sini juga jelas adalah pesanan yang dibuat oleh Anwar kerana lenggok bahasa dan interaksinya dengan pengikut-pengikutnya yang diketahui umum,” katanya.

Oleh yang demikian, jelasnya mustahil si pelaku yang dirakam di dalam video adalah Anwar.

“Saya juga ingin mengemukakan bukti yang mematahkan fitnah yang disiarkan oleh blog-blog yang dibiayai Umno termasuk yang dipetik oleh Utusan Malaysia,” katanya.

Mereka mendakwa bahawa ada perbezaan masa di antara laman Facebook dan laman Twitter iaitu pesanan yang dirakam di laman Facebook adalah sejam lebih lambat dari masa di laman Twitter.

Ini, jelasnya adalah pembohongan besar yang direka-reka semata-mata kerana sudah jelas bahawa Anwar berada di rumah dan berinteraksi melalui Twitter pada masa yang didakwa.

Beliau turut menyertakan dua petikan skrin yang diambil dari laman Twitter dan Facebook Anwar yang menunjukkan bahawa pesanan yang dibuat melalui laman Twitter akan dihantar ke laman Facebook 2 minit kemudian.

Maka, jelasnya pesanan yang dibuat pada jam 12.22 tengahari 26 Mac 2011 [di laman Twitter (mengenai rakaman penuh pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Melawati) dicatat waktunya sebagai 12.24 tengahari 26 Mac 2011 di laman Facebook.

“Penjelasan-penjelasan ini sudah cukup untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa hinanya Utusan Malaysia yang tanpa segan silu menyiarkan fitnah tanpa usul periksa, asal dapat menyebarkan dakyah tuan punyanya iaitu Umno,” katanya.

Dengan pendedahan itu, katanya PKR mendesak Utusan Malaysia memohon maaf dan sekiranya enggan berbuat demikian, PKR akan mempertimbangkan tindakan lanjut untuk diambil terhadap Utusan Malaysia dan penulis blog Umno tersebut.


kredit

Khamis, 24 Mac 2011

Video seks: Hisham saman Anwar jika terus kaitkan beliau

KUALA LUMPUR 23 Mac - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim jika terus mengaitkan beliau dan polis dalam video seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara, dua hari lepas.


Beliau berkata, dakwaan Anwar bahawa polis dan beliau adalah dalang di sebalik penayangan video yang membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang tersebut telah menjatuhkan maruah dan nama baik polis.


"Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab rasa berhak untuk menjaga maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jika dia (Anwar) terus mengaitkan ini (penayangan video) adalah satu konspirasi, saya akan pertimbang untuk menyaman dia. Perkara ini (saman) sedang dikaji peguam saya... ia bukan untuk saya semata-mata tetapi untuk pastikan integriti polis dilindungi. Isu sama ada ia konspirasi atau tidak bukan perkara utama tapi sama ada ia berlaku atau tidak kita akan siasat mengikut peruntukan yang ada," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini. - Bernama

Selasa, 22 Mac 2011

Anwar lapor polis nafi dirinya dalam video seks

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung rakaman video aksi seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara semalam.

Beliau tiba di IPD Dang Wangi pada pukul 10.35 pagi dengan ditemani isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan keluar pada pukul 12.05 tengah hari.

Dalam laporan yang salinannya diedarkan kepada media itu, Anwar menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video itu.

"Ini adalah serangan mengaibkan, melampau dan bermotif politik ke atas karaktor serta reputasi saya dan keluarga saya,? kata Anawar dalam laporan polis itu. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger