Jumaat, 23 September 2011

Budak 2 Tahun Diperkosa Di Rumah Pengasuh

berita berita terkini
PETALING JAYA – Seorang budak perempuan berusia dua tahun yang baru dibawa pulang ibunya dari rumah pengasuh dipercayai dirogol selepas mengadu sakit pada kemaluannya di Kota Damansara, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ibu mangsa yang baru pulang dari tempat kerja menjemput anaknya seperti biasa di rumah pengasuh terbabit.

Bagaimanapun, setibanya di rumah, kanak-kanak itu menangis dan mengadu sakit di kemaluan dan selepas diperiksa, terdapat luka dan bengkak di bahagian berkenaan.

“Ibu mangsa membawa anaknya itu ke pusat kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

“Wanita itu terperanjat apabila doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada kemaluan anaknya akibat tusukan objek keras,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal mendapati semua penghuni di rumah pengasuh terbabit adalah wanita, namun tidak menolak kemungkinan suspek adalah orang dikenali mangsa.

[mymetro]

MCA akan berpisah dengan Umno jika laksana hudud

berita berita terkini
MCA hari ini mengulangi pendiriannya yang anti-hudud sehingga akan sanggup berpisah dengan sekutu lamanya, Umno, jika parti Melayu itu melaksanakan perundangan Islam itu.

Presidennya, Datuk Seri Chua Soi Lek berkata, jika Umno mahu melaksanakan hudud, MCA tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya.

Beliau menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan persidangan menjadikan negara berpendapatan tinggi satu realiti, di Subang Jaya hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau memahami bahawa sebagai orang Islam, orang Melayu dalam Umno mesti menerima hudud tetapi beliau menghargai hakikat bahawa tiada pemimpin Umno yang mendesak pelaksanaannya, tidak seperti PAS yang mahu berbuat demikian.

"Apa yang jelas ialah MCA menentang hudud," katanya dengan tegas.

Chua mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa Umno sebagai parti orang Islam, mesti menerima undang-undang hudud, sambil berkata bukan lagi masanya bagi perundangan Islam itu dilaksanakan di Malaysia yang penduduknya berbilang agama.

[malaysiakini]

Polis sahkan suspek cuba perkosa mangsa sebelum bunuh, bakar

berita berita terkini
SHAH ALAM: Polis mengesahkan suspek dalam kes bunuh dan bakar seorang remaja wanita di Jalan Bukit Belacan, Ampang, pada 5 September lalu cuba memperkosa mangsa selepas hajatnya untuk menyambung kembali hubungan percintaan mereka ditolak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata siasatan mendapati suspek berang selepas mangsa Nurul Awatif Syakir, 19, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah di Selayang enggan meneruskan hubungan mereka.

Beliau berkata, suspek dipercayai mengambil tindakan nekad membunuh mangsa sebaik permintaanya itu ditolak.

"Laporan bedah siasat sudah diperoleh. Polis juga sudah mendapatkan perintah sambung reman sehingga 27 September ini sebelum mengambil tindakan seterusnya," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Pada 5 September lalu, mangsa dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya selepas keluar rumah pada 8.30 malam sehari sebelum itu.

Pengecaman mayat mangsa dilakukan anggota keluarga melalui cebisan baju kurung berwarna hijau serta sepasang anting-anting yang dipakai mangsa.

Pada 12 September, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang juga pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan di pusat pengajiannya yang terletak di Seri Iskandar, Perak bagi membantu siasatan kes itu. - BERNAMA

[berita harian]

Penipu surat sokongan MB diberkas

berita berita terkini
IPOH - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang guru kanan berhubung kes penipuan berjumlah RM40,000 yang membabitkan pengeluaran surat sokongan palsu menggunakan cop Menteri Besar Perak, kata Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan.

Beliau berkata, selain guru berusia 45 tahun, seorang lagi yang diberkas ialah seorang kontraktor berumur 47 tahun.

Polis turut merampas tiga “cop” yang berkaitan dengan urusan rasmi pejabat Menteri Besar Perak serta beberapa dokumen yang berkaitan dengan permohonan projek di Perak, katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Shukri berkata, polis menerima dua aduan kes penipuan berkenaan pada Ogos lepas dan dengan penangkapan dua lelaki itu awal bulan ini, polis yakin dapat menyelesaikan kes berkenaan.

Beliau berkata, guru kanan berkenaan bertugas di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. - Bernama

[kosmo online]

Khamis, 22 September 2011

Kondom Dalam Beg Sekolah Anak

berita berita terkini
HULU SELANGOR – Luluh hati seorang ibu apabila menemui kondom dalam beg sekolah anak gadisnya yang berusia 15 tahun sebelum gadis itu membuat pengakuan ada melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.

Difahamkan, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini terkedu dan menangis sebaik mendedahkan perkara itu kepada ibu bapanya.

Gadis terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjalin cinta dengan lelaki berusia 20 tahun dan dipujuk melakukan hubungan seks selepas beberapa bulan perkenalan.

Berikutan itu, ibu bapa mangsa membawa remaja terbabit membuat laporan di balai polis berhampiran selain dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.

Menurut sumber, bertindak atas laporan dan keputusan pemeriksaan, polis menahan teman lelaki remaja itu di rumahnya di Ampang Pecah, di sini, semalam.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa keluar bersama teman lelakinya kelmarin sebelum dibawa pulang ke rumah lelaki terbabit.

“Kira-kira jam 6 pagi, mangsa diajak melakukan hubungan seks ketika keluarga teman lelakinya tiada di rumah.

“Selepas itu, teman lelaki mangsa menghantarnya pulang ke rumah kira-kira jam 2 petang tanpa diketahui keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga teman lelaki remaja itu ditahan di rumahnya dan direman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dilakukan.

[mymetro]
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger