Memaparkan catatan dengan label mesir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mesir. Papar semua catatan

Khamis, 3 Mac 2011

Sewa pesawat Boeing 747 MAS

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menghantar 514 pelajar dari negeri ini kembali menyambung pengajian mereka di Mesir dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 747 yang disewa khas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan menanggung kos penerbangan itu dengan jumlah pelajar yang terbabit dijangka diketahui hasil perbincangan dengan MAS pada 7 Mac ini.

"Kami jangka semua pelajar ini akan dapat kembali ke Mesir pada pertengahan bulan ini jika tiada sebarang masalah," katanya di sini semalam.

Jelasnya, bilangan pelajar yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri itu tidak termasuk 46 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 52 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

sumber: Kosmo

Ahad, 13 Februari 2011

Eksekutif Google diangkat sebagai wira kebangkitan

KAHERAH - Eksekutif pemasaran serantau syarikat enjin carian Internet terkemuka dunia Google, Wael Ghonim (gambar) menyatakan beliau sangat gembira apabila mendengar berita peletakan jawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak lewat malam semalam.

Aktivis siber itu diangkat sebagai ikon revolusi kerana menghasilkan satu akaun Facebook untuk seorang mangsa kekejaman polis yang akhirnya menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahan Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada 25 Januari lalu.

Beliau menulis di laman twitter miliknya: "Tahniah kepada Mesir. Selamat kembali Mesir. Penjenayah itu sudah meninggalkan istana. Hero sebenar ialah orang muda Mesir di Tahrir Square dan seluruh rakyat Mesir."

"Saya menjangkakan masa depan yang cerah. Saya percayakan rakyat Mesir yang berjumlah 80 juta orang ini," kata Ghonim. Sebaik sahaja protes bermula, beliau telah ditahan serta-merta selama 12 hari.

Lelaki berusia 30 tahun itu juga memberi kredit kepada syarikat internet lain dalam usaha menjatuhkan Hosni. "Revolusi ini bermula di Facebook. Satu hari nanti, saya ingin bertemu dengan Mark Zuckerberg (pengasas Facebook) dan berterima kasih kepadanya," katanya. - Agensi

sumber: kosmo

Hosni mungkin lari ke luar negara

KAHERAH - Selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden Mesir, timbul spekulasi bahawa beliau akan melarikan diri ke luar negara, lapor beberapa buah akhbar dan laman web semalam.

Hosni, 82, kini dikatakan sedang bersembunyi di sebuah villa miliknya di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir di Laut Merah selepas beliau meninggalkan Istana Presiden dengan menaiki helikopter kelmarin.

Menurut beberapa sumber diplomatik, antara lokasi yang mungkin menjadi pilihan Hosni dan keluarganya ialah Britain, Perancis, Arab Saudi atau Bahrain.

Isteri Hosni, Suzanne memegang pasport Britain manakala seorang anak lelakinya, Gamal memiliki sebuah rumah besar di Belgravia, London menjadikan Britain pilihan terbaik untuknya tinggal di luar Mesir.

Berbanding Arab Saudi, keluarga itu mungkin akan memilih negara Barat.

Perancis juga boleh menjadi lokasi pilihan buat Hosni. Bekas presiden itu mungkin memilih untuk tinggal di Paris kerana beliau pernah menghabiskan masa di sana sebelum pergi ke Heidelberg, Jerman untuk mendapatkan rawatan sakit belakangnya sebelum ini.

Sumber-sumber menyatakan Hosni juga mungkin memilih untuk tinggal di sebuah rumah di Bahrain.

Beliau dan pemerintah Bahrain, Sheikh Hamad Ibn Isal Al Khalifa merupakan rakan rapat.

Hosni dikatakan amat mempercayai Sheikh Hamad.

Arab Saudi merupakan antara destinasi yang mungkin menjadi tempat tinggal Hosni kerana bekas Presiden Tunisia yang meletakkan jawatan atas desakan rakyat, Zine El Abidine Ben Ali kini dikatakan tinggal di Jeddah, Arab Saudi pada 14 Januari lalu.

Sementara itu, punca Hosni meletakkan jawatan secara mengejut kelmarin disebabkan kata dua yang diberikan tentera kepadanya sama ada berundur atau berlaku satu rampasan kuasa, lapor akhbar Washington Post semalam.

Menurut akhbar itu, Hosni yang memerintah hampir 29 tahun enggan meletakkan jawatan pada Khamis lalu selepas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta memberitahu Jawatankuasa Perisikan Dewan AS bahawa terdapat petunjuk bahawa Hosni akan meletakkan jawatan.

Keengganan beliau meletakkan jawatan itu menimbulkan kemarahan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang pegawai kanan, AS yang namanya tidak didedahkan.

Para pegawai tentera memberi kata dua kepada Hosni supaya meletakkan jawatan beberapa jam sebelum pengumuman peletakan jawatan tersebut diumumkan pada pukul 10 malam waktu tempatan kelmarin. Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum Hosni meninggalkan Istana Presiden di sini untuk menuju ke pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah bersama beberapa anggota keluarganya.

Ribuan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini dikatakan tahu bahawa Hosni menerima arahan daripada AS supaya beliau meletakkan jawatan.

Sementara itu, warga Mesir semalam masih meraikan perletakan jawatan Hosni yang menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada tentera dengan menangis kegembiraan, melompat, menjerit, menari serta berpelukan antara satu sama lain.

Malah, ada juga yang berdiri tegak tidak percaya dengan apa yang berlaku. Kaherah juga meriah dengan letupan mercun, bunyi hon kereta dan tembakan yang dilepaskan ke udara.

"Rakyat telah menumbangkan rejim. Ini merupakan hari paling gembira dalam generasi saya," kata seorang penunjuk perasaan, Ali al-Tayab.

Di istana presiden, orang ramai menunjukkan tanda V yang membawa maksud kemenangan dan menjerit: "Bergembiralah rakyat Mesir. Hari ini ialah hari perayaan. Dia sudah meletakkan jawatan."

Sejumlah penunjuk perasaan juga dilihat membersihkan Dataran Tahrir di Kaherah daripada sampah sarap dan bangkai kereta yang terbakar setelah ia menjadi tempat perhimpunan penunjuk perasaan sejak 25 Januari lalu.

Para penunjuk perasaan menuntut Hosni meletakkan jawatan kerana pemerintahannya yang menindas kebebasan bersuara selain tidak membawa kemakmuran ekonomi kepada ramai penduduk yang masih miskin di Mesir. - Agensi

sumber: kosmo

Sabtu, 12 Februari 2011

Tanggung sendiri tiket ke Mesir

KUALA LUMPUR – Pelajar yang ingin kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian perlu bersedia menanggung sendiri kos tiket penerbangan tanpa diskaun.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, perkara itu adalah amalan biasa termasuk ketika melibatkan pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Padang dan Solo, Indonesia akibat letusan gunung berapi baru-baru ini.

“Kerajaan hanya menanggung kos perjalanan pada waktu kecemasan sahaja.

“Kita tidak pernah bincang untuk memberikan diskaun dan sebagainya. Tetapi jika ada syarikat penerbangan yang hendak bagi diskaun, itu terserah pada budi bicara mereka,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

sumber: kosmo

Mubarak undur, tentera ambil alih Mesir

Presiden Mesir Hosni Mubarak akhirnya meletakkan jawatan dan meminta pihak tentera mentadbir negara itu, umum naib presiden Omar Suleiman.

Kenyataan ringkas di stesen televisyen nasional itu dibuat sehari selepas Mubarak bertegas tidak akan melepaskan jawatannya.

Berita pengundurannya itu disambut meriah oleh lebih sejuta rakyat Mesir yang berkumpul di Dataran Tahrir di Kaherah.

Presiden dan keluarganya sebelum itu dilaporkan meninggalkan istana presiden di ibu negara ke Resort Laut Merah Sharm el-Sheihh.

Lelaki yang menerajui Mesir selama 30 tahun dan terlepas daripada enam cubaan membunuh akhirnya terpaksa akur kepada kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

Mubarak, 82, meletakkan jawatan hari ini selepas 18 hari protes antikerajaan tanpa gangguan - yang terbesar pernah dilangsungkan di negara itu.

Mubarak terhindar daripada banyak serangan sebelum ini tetapi suara rakyat akhirnya membuktikan sesuatu.

Enam kali pembunuh upahan cuba menamatkan riwayatnya. Perang sampai ke pintu rumah.

Jiran mengebom negaranya. Kerajaan pimpinannya hampir muflis. Aktivis berulang kali menyumpahnya di jalan raya. Tetapi Mubarak selama itu terus juga berkuasa.

Kebanyakan rakyat Mesir masih belum dilahirkan apabila presiden sebelumnya Anwar Sadat dibunuh pada 1981.

Mubarak, ketika itu naib presiden, hanya beberapa meter daripada Sadat, dan turut terkena tembakan di tangan.

Beliau mengangkat sumpah sebagai presiden lapan hari kemudian, pada 14 Oktober 1981.

sumber: malaysiakini
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger