Jumaat, 25 Mac 2011

Industri ICT penting penuhi hasrat kerajaan menuju MBE

KUALA LUMPUR: Industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memainkan peranan yang amat penting dalam memenuhi hasrat kerajaan menuju ke arah Model Baru Ekonomi (MBE) yang berpaksikan pengetahuan dan inovasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Beliau berkata, pada hari ini kreativiti dan inovasi ICT memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang termasuk memudahkan urusan perdagangan, rawatan kesihatan, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan penggunaan ilmu pengetahuan dan pada masa yang sama, memantapkan lagi ekonomi dunia.


"Semenjak tidak kurang dari empat dekad lalu, industri ini berkembang pesat sehingga menjadi asas kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi dunia," kata beliau pada majlis penyampaian Anugerah ICT NEF-Awani di sini hari ini.


Najib juga meminta persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) bumiputera supaya perlu lebih sensitif kepada pergerakan dan permintaan pasaran dan mempunyai keupayaan untuk memperoleh projek serta peluang bagi anggota-anggota mereka dalam usaha merapatkan jurang ekonomi yang wujud di antara bumiputera dan golongan lain.


Katanya, sebagai persatuan bumiputera, adalah menjadi tanggungjawab setiap persatuan untuk mengetahui dan merasai nadi keperluan anggota-anggotanya.


"Persatuan harus menerajui inisiatif ke arah memenuhi keperluan-keperluan ini serta mencari jalan penyelesaian permasalahan yang dilalui anggota-anggota. Perkara ini amat penting untuk memastikan isu-isu industri yang dihadapi oleh peniaga Bumiputera dapat diatasi," katanya. Sebanyak 13 anugerah telah disampaikan pada majlis yang disiarkan secara langsung melalui Astro Awani itu.


Antara pemenang anugerah ialah Century Software Sdn Bhd bagi kategori Produk Perisian Bumiputera Terbaik, Reza Razali (Anugerah Usahawan Tekno Bumiputera Muda Terbaik), Lotdotmy Sdn Bhd (Anugerah Aplikasi Media Baru Bumiputera Terbaik) dan Les' Copaque Production Sdn Bhd (Anugerah Khas: NEF-Awani Tun Dr Mahathir). - BERNAMA


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger