Jumaat, 25 Mac 2011

Rogol: tukang rumah kena 30 tahun penjara, 12 sebatan

ALOR SETAR: Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan merogol dan mencabul kehormatan seorang gadis bawah umur, tiga tahun lalu.


Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Saleh Abdullah, 41, gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kedua-dua pertuduhan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja berusia 14 tahun di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di Jalan Semiliang, Padang Terap pada jam 2.30 petang, 2 September 2008. Dia didakwa mengikut Sekyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Saleh didakwa mencabul kehormatan mangsa di kawasan kebun getah di Kampung Kuala Janing, Padang Terap, pada jam 2.30 petang 27 September 2008. Dia didakwa mengikut seksyen yang sama dengan pertuduhan pertama.


Terdahulu itu, tertuduh ketika membela diri bagi kedua-dua tuduhan mengaku membuat rumah ayah mangsa namun tidak pernah membawa mangsa menaiki kereta dan merogol mangsa di dalam kereta atau di kebun getah. Mohd Saleh berkata, dia juga tidak pernah berjumpa mangsa dan menjalinkan hubungan.


Kemudian, semasa mengemukakan rayuan, tertuduh memohon mahkamah memberi jawapan kenapa dia dihukum dan meminta hakim membuat keputusan yang seadil-adilnya. Ini kerana dalam proses penghujahan tertuduh mengatakan pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti kukuh dan keterangan dari saksi untuk dibuktikan di mahkamah.


Hakim dalam jawapannya berkata, tertuduh gagal membangkitkan keraguan munasabah ketika pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya. Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Rizal Fadzil meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada tertuduh. - BERNAMA


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger