Khamis, 24 Mac 2011

'Sayang Chong Wei'

Walaupun saya sayang Misbun tapi pemain nombor satu dunia lebih utama: Zolkples

DIKRITIK hebat berikutan pendirian yang tidak menyebelahi Datuk Misbun Sidek berhubung kemelut peletakan jawatan jurulatih perseorangan itu, Datuk Zolkples Embong, semalam tampil melontarkan persoalan untuk difikir dan dijawab pengkritiknya.


“Siapa yang mereka lebih sayang, Misbun atau (Lee) Chong Wei?” soal Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu. “Walaupun saya sayang Misbun, tetapi saya lebih sayangkan Chong Wei kerana dia harapan utama kita pada Sukan Olimpik London 2012.

“Jadi, siapa yang kita perlu lebih utamakan dan jaga ketika ini,” soalnya lagi sambil tidak menafikan sumbangan Misbun dalam melatih pemain itu hingga menjadi pemain nombor satu dunia. Zolkples berkata, sebenarnya banyak peluang sudah diberi kepada Misbun untuk kembali semula tetapi sikap membisu jurulatih itu menyaksikan kemelut berlarutan hampir tiga bulan itu belum menemui titik penyelesaian.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri sanggup berkompromi dan memberi beberapa alternatif, tetapi saya sudah tegaskan beberapa kali sebelum ini bahawa sikap mendiamkan diri jurulatih itu tidak membawa sebarang keuntungan.


“Lagipun, jika difikirkan secara logik, BAM tidak memecatnya, sebaliknya Misbun sendiri meletak jawatan,” katanya.


Ditanya sama ada dia sudah bertemu Chong Wei, Zolkples berkata: “Saya sudah bertemunya dan Chong Wei memberitahu dia tidak kisah berlatih di bawah sesiapa sama ada Misbun atau Tey Seu Bock.  “Seu Bock juga memberitahu Chong Wei tidak pernah membantah arahannya ketika latihan dan kita dapat lihat keserasian antara kedua-duanya ketika Seluruh England baru-baru ini,” katanya.


Isu Misbun - sama ada mahu pulang melatih semula Chong Wei masih panas tetapi selepas pemain nombor satu dunia itu menjuarai Seluruh England menewaskan musuh tradisi dan juara dunia, Lin Dan dalam final ada yang beranggapan strategi sama harus disambung sehingga ke Kejohanan Dunia di London, Ogos ini.

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger