Khamis, 24 Mac 2011

19 perkara sensitif dalam Interlok

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan "tali" dipinda kepada "taali?" "Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya.


"Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai," katanya.


Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) bersama empat lagi pertanyaan anggota Parlimen lain pada persidangan Dewan Rakyat berhubung kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara yang menjadi teks Komponen Sastera (Komsas) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger