Khamis, 24 Mac 2011

Kami tiada elemen tuah: Boon Heong

Gandingan regu utama negara tekad baiki prestasi hambar

BUKAN sekali, tetapi dua kali kejuaraan berprestij yang seharusnya berada dalam genggaman beregu emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terlucut begitu sahaja.


Jika diikutkan sudah tentu rasa kecewa dan penyesalan pasti menguasai diri dan minda berbulan lamanya, tetapi pasangan itu tetap akur dengan takdir yang tidak menyebelahi mereka.

“Siapa kata kami tidak kecewa dan sedih, tetapi kami tidak harus terbawa-bawa dengan perasaan itu,” kata Boon Heong. “Sebaliknya, kami harap kegagalan itu menjadi pengajaran dan peringatan penting.” Kali pertama kejuaraan yang sudah berada dalam genggaman terlepas daripada genggaman ketika final Sukan Asia Guangzhou 2010 apabila harapan mereka mempertahankan pingat emas lebur selepas tunduk kepada Markis Kido-Hendra Setiawan.

Episod sama berulang di Seluruh England yang menyaksikan mereka memenangi set pertama dan mendahului set kedua dan penentuan, tetapi mereka jelas menolak tuah apabila tewas kepada pilihan pertama dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen


Boon Heong berkata, antara pengajaran yang dipelajari daripada kekalahan itu ialah mereka sepatutnya lebih tenang ketika berdepan situasi genting dan bukannya terikut-ikut dengan rentak lawan.


“Kami mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan jurulatih (Rexy Mainaky) dan menyedari kesilapan itu. Jadi, kami harap dapat bangkit dengan sasaran utama Kejohanan Dunia di Wembley, Ogos nanti,” katanya.


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger