Khamis, 24 Mac 2011

Tindakan curah sampah di MDBB dapat perhatian

BANDAR BAHARU - Tindakan seorang pekerja kilang mencurahkan seguni plastik sampah di pintu masuk Pejabat Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) Ahad lalu mendapat perhatian syarikat E-Idaman Sdn. Bhd., syarikat yang diberi kontrak mengutip dan melupuskan sampah di Kedah dan Perlis, hari ini.


Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Mhd. Saiful Anuar Zainal datang sendiri ke tapak longgokan sampah di Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar yang terletak terlalu hampir dengan rumah Ismail Ahmad, 50, yang bertindak membuang sampah di premis MDBB itu.


Hadir sama ialah pengarah syarikat berkenaan Mohd. Rijaluddin Salleh dan beberapa pegawai syarikat dari ibu pejabat di Alor Setar.


Mhd. Saiful Anuar berkata, beliau telah berbincang dengan Yang Dipertua MDBB dan bersetuju untuk menyelesaikan masalah penduduk berhubung kawasan membuang sampah.


"Kami telah bersetuju untuk menutup tapak tempat pembuangan sampah di lokasi yang dipertikaikan Ismail itu dengan mendapatkan kerjasama MDBB untuk menanam bunga di lokasi tersebut dengan memasang papan tanda amaran supaya penduduk tidak lagi membuang sampah di situ," katanya kepada pemberita di lokasi tapak longgokan sampah itu hari ini. - Bernama

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger