Sabtu, 12 Februari 2011

Tujuh rakyat Somalia didakwa tembak pasukan ATM

KUALA LUMPUR - Tujuh rakyat Somalia, yang ditahan tentera Malaysia di Teluk Aden pada 20 Januari lepas, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia di atas MT Bunga Laurel ketika merompak kapal dagang itu.

Mereka ialah Ahmed Othman Jamal, 25; Abdil Eid Hasan, 20; Koore Mohamed Abdile, 18; Abdi Hakim Mohd. Abdi, 18, dan tiga lagi yang berusia 15 tahun.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.

Pertuduhan itu dibacakan oleh seorang rakyat Somalia yang dilantik pihak pendakwaan sebagai penterjemah iaitu Yaser Mohamad Ahmad, penuntut Universiti Utara Malaysia.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk mendatangkan kematian atau kecederaan di koordinat latitud 20”14.73N longitud 083”39.96 E, 250 batu nautika dari perairan Oman, antara 8.10 pagi dan 10 malam, 20 Januari lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. - Bernama

sumber: kosmo
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger