Memaparkan catatan dengan label ujian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ujian. Papar semua catatan

Ahad, 27 Mac 2011

Etoile FC medan ujian Raja

Menjelang pemilihan skuad kempen kelayakan Piala Dunia

"SIAPA lawan tidak penting kerana apa lebih penting bagi saya dalam perlawanan persahabatan ini ialah menguji pemain yang berpotensi merealisasikan impian Malaysia layak ke Piala Asia 2015,” kata jurulatih negara, K Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Singapura (Liga-S), Etoile FC di Stadium Jalan Besar, hari ini.

Menurut Rajagobal, selepas menundukkan Hong Kong 2-0 Februari lalu, dia perlu memastikan skuad kendaliannya sentiasa cergas dan perlawanan persahabatan malam ini menjadi sesi ujian penting menjelang pemilihan skuad mantap untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2014 Jun ini. “Menerusi perlawanan begini, saya dapat menilai sejauh mana kesungguhan seseorang pemain untuk mewakili negara. Jika hanya pada perlawanan penting saja baru mahu bersungguh-sungguh, mereka tidak layak bergelar pemain kebangsaan,” katanya.

Etoile yang dibarisi sepenuhnya pemain berasal dari Perancis, adalah penyandang juara Liga-S tetapi kini menduduki tangga keempat carta liga selepas empat perlawanan.


Pemain tengah Etoile, Maxime Belouet adalah antara tonggak yang perlu diberi perhatian anak buah Rajagobal selepas meledak tiga gol manakala rakan penyerangnya, Jonathan Justin, dua gol.


Rajagobal menghimpunkan seramai 24 pemain untuk menjalani latihan pusat sejak Isnin lalu termasuk dua nama baru - Azidan Sarudin dari Selangor dan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid dari Kelantan - bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain menyarung jersi kebangsaan.


"Saya tidak mahu terikat dengan kelompok kecil pemain yang sama dalam membentuk pasukan kebangsaan,” kata Rajagobal yang membawa kesemua pemain Harimau Malaya ke Singapura bagi perlawanan persahabatan menentang kelab Liga-S itu kecuali penjaga gol simpanan, Mohd Farizal Marlias yang terpaksa diketepikan akibat jangkitan mata.


Jumaat, 25 Mac 2011

FELDA perlu perlawanan ujian

Elavarasan mahu pemain kekal momentum ketika aksi Liga Super rehat

PENYINGKIRAN daripada kancah Piala FA dan saingan liga yang sedang berehat memberikan FELDA United masa mengatur perlawanan persahabatan untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain bagi meneruskan aksi kecemerlangan dan menghadapi jadual padat Liga Super, bulan depan.


Jurulatihnya, E Elavarasan berkata, skuad itu mungkin akan mengatur satu atau dua perlawanan persahabatan menjelang jadual Liga Super yang disambung semula awal bulan depan, namun setakat ini FELDA United masih belum mengenalpasti lawan sesuai untuk perlawanan persahabatan terbabit.

“Setakat ini latihan berjalan seperti biasa tetapi ekoran rehat liga yang agak panjang ini, saya merasakan kami perlu adakan beberapa perlawanan persahabatan untuk terus mengekalkan momentum prestasi serta memastikan pemain sentiasa pada tahap cergas untuk beraksi,” kata jurulatih yang lebih mesra dengan panggilan Ela itu. “Jika kami berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala FA ketika menentang Kelantan dulu, kami mungkin tidak perlukan perlawanan persahabatan, tetapi keadaannya kini berbeza.”

FELDA United kini menduduki tangga kedua carta Liga Super selepas mengumpul 14 mata daripada tujuh perlawanan, sama seperti pendahulu carta Kelantan dan pasukan di tangga ketiga Selangor, tetapi dibezakan oleh jumlah jaringan.


Mengulas prestasi agak membanggakan dalam kemunculan sulung di saingan Liga Super setakat ini, Ela berkata dia tidak mahu terbawa-bawa dengan pencapaian itu kerana bagi dirinya perjalanan skuadnya masih jauh, selain masih belum berdepan ujian sebenar bertemu pasukan handalan seperti Selangor.


“Apapun, saya gembira kerana pemain menunjukkan persefahaman dan peningkatan dalam setiap aksi walaupun skuad kami dibarisi 15 muka baru,” katanya. Untuk aksi Liga Super seterusnya, Felda United akan menentang Perak di gelanggang lawan pada 2 April.


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger