Memaparkan catatan dengan label Etoile. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Etoile. Papar semua catatan

Isnin, 28 Mac 2011

Skuad Raja sekadar seri dengan Etoile FC

Aksi dalam perlawanan persahabatan di Singapura

PERTUKARAN besar dilakukan K Rajagobal pada babak kedua menyaksikan skuad kebangsaan sekadar seri 1-1 bertemu Etoile FC, selepas mendahului babak pertama hasil jaringan minit ketujuh Ahmad Fakri Saarani dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Selepas menang ke atas Hong Kong 2-0 di Stadium Shah Alam, Februari lalu, barisan anak didik Rajagobal masih mampu menarik nafas lega dengan keputusan seri dengan kelab dari Perancis itu tatkala membuat persiapan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2014, Jun ini. Seawal minit keenam, skuad Rajagobal selesa berada di depan menerusi tandukan kemas Fakri yang menerima hantaran cantik Asraruddin Putra Omar untuk menewaskan penjaga gol Etoile FC, Antonin Trilles.

Ternyata beraksi di padang rumput tiruan tidak menimbulkan masalah buat Malaysia mendominasi perlawanan di awal 15 minit pertama menyebabkan penyandang juara Liga Singapura (Liga-S) 2010 itu bekerja keras mencari gol penyamaan. Kesilapan Ahmad Muslim pada minit ke-33 yang menanduk bola ke belakang hampir mencemaskan gawang apabila Kevin Lefranc yang tidak dikawal, hanya berdepan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat tetapi sempat dihadang Asraruddin.


Corak permainan Malaysia seolah-olah tenggelam di penghujung babak pertama, malah hampir memberi peluang buat Etoile FC menyamakan jaringan pada minit ke-39 tetapi tandukan Jonathan Toto dihampakan palang gol.


Bersambung babak kedua, penguasaan jelas milik Etoile FC yang rakus menggempur kubu terakhir negara, dan hampir menyamakan jaringan pada minit ke-49, namun penjaga gol gantian, Mohd Sharbinee Allawee sempat melayangkan badan untuk menafikan rembatan Selim Kaabi.


Namun kelekaan pertahanan pada minit ke-62 yang membiarkan Hicham Bouchemlal mengawal bola di luar kotak penalti, membuka ruang buat pemain itu merembat kencang untuk gol penyamaan. Barisan Rajagobal seharusnya mencipta gol kedua pada minit ke-72 tetapi Ashaari Samsudin gagal menewaskan Trilles manakala lawan juga terlepas peluang gol kemenangan apabila Toto yang berdepan Sharbinee pada minit ke-73, gagal melakukan penyudah berkesan.


Ahad, 27 Mac 2011

Etoile FC medan ujian Raja

Menjelang pemilihan skuad kempen kelayakan Piala Dunia

"SIAPA lawan tidak penting kerana apa lebih penting bagi saya dalam perlawanan persahabatan ini ialah menguji pemain yang berpotensi merealisasikan impian Malaysia layak ke Piala Asia 2015,” kata jurulatih negara, K Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Singapura (Liga-S), Etoile FC di Stadium Jalan Besar, hari ini.

Menurut Rajagobal, selepas menundukkan Hong Kong 2-0 Februari lalu, dia perlu memastikan skuad kendaliannya sentiasa cergas dan perlawanan persahabatan malam ini menjadi sesi ujian penting menjelang pemilihan skuad mantap untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2014 Jun ini. “Menerusi perlawanan begini, saya dapat menilai sejauh mana kesungguhan seseorang pemain untuk mewakili negara. Jika hanya pada perlawanan penting saja baru mahu bersungguh-sungguh, mereka tidak layak bergelar pemain kebangsaan,” katanya.

Etoile yang dibarisi sepenuhnya pemain berasal dari Perancis, adalah penyandang juara Liga-S tetapi kini menduduki tangga keempat carta liga selepas empat perlawanan.


Pemain tengah Etoile, Maxime Belouet adalah antara tonggak yang perlu diberi perhatian anak buah Rajagobal selepas meledak tiga gol manakala rakan penyerangnya, Jonathan Justin, dua gol.


Rajagobal menghimpunkan seramai 24 pemain untuk menjalani latihan pusat sejak Isnin lalu termasuk dua nama baru - Azidan Sarudin dari Selangor dan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid dari Kelantan - bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain menyarung jersi kebangsaan.


"Saya tidak mahu terikat dengan kelompok kecil pemain yang sama dalam membentuk pasukan kebangsaan,” kata Rajagobal yang membawa kesemua pemain Harimau Malaya ke Singapura bagi perlawanan persahabatan menentang kelab Liga-S itu kecuali penjaga gol simpanan, Mohd Farizal Marlias yang terpaksa diketepikan akibat jangkitan mata.


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger