Jumaat, 24 Jun 2011

Astro nafi monopoli beli program

KUALA LUMPUR – MEASAT Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (MBNS), anak syarikat Astro All Asia Networks Plc. (Astro), menafikan dakwaan bahawa mereka memonopoli pembelian program pasaran televisyen berbayar di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi Strategi, Kandungan dan Pemasaran MBNS, Henry Tan (gambar) menegaskan, Astro bukan satu-satunya operator televisyen berbayar di negara ini kerana sektor itu turut dioperasikan oleh beberapa syarikat lain.

Antara pemegang lesen televisyen berbayar lain di negara ini ialah U Television Sdn. Bhd., Asiaspace Digital Sdn. Bhd., Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), Fine TV Network Sdn. Bhd., TM Net Sdn. Bhd., MOL Media Sdn. Bhd. dan De Multimedia Sdn. Bhd.

“Astro tidak bertindak memonopoli pemerolehan kandungan dan hak penyiaran sesuatu program televisyen.

“Malah, setiap kali ada bidaan program televisyen popular, Astro sentiasa bersaing dengan enam pembida lain dalam pasaran terbuka yang boleh disertai oleh pihak-pihak lain bagi mendapatkan kandungan daripada pembekal,” katanya dalam satu pertemuan di sini semalam.

Menurut Henry, bidaan program televisyen itu umpama acara lelongan dengan pembekal akan mengenakan syarat-syarat untuk diikuti pembida dan ia termasuk tarikh, kumpulan yang akan membida, tempoh bidaan serta sama ada pembida akan memasuki pusingan seterusnya atau tidak.

sumber: kosmo
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger