Sabtu, 21 Mei 2011

Pemandu lori disyaki curi pasir ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori berusia 50-an yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi pasir di sebuah tapak pembinaan padang permainan di Jinjang Selatan di sini, ditahan dalam satu serbuan hari ini.

Sebuah jentolak turut disita, namun lima individu lain berjaya meloloskan diri dalam serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira 12 tengah hari.

Ketua Unit Penguatkuasaan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan Mohd Salleh Sadri berkata serbuan itu dilakukan berikutan aduan penduduk sekitar yang mendakwa terdapat kegiatan curi pasir di kawasan tanah rizab berkeluasan seekar itu sejak empat hari lepas.

"Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ada melakukan pemantauan ke atas tapak padang tersebut, dan telah memberi mereka amaran, namun mereka berdegil,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata penduduk mendakwa lori itu melakukan kira-kira 50 trip dalam sehari untuk membawa pasir keluar dari kawasan tersebut.

"Dianggarkan satu lori itu membawa pasir bernilai pasaran sehingga RM800,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai SPRM berkata kes disiasat mengikut Seksyen 426(1)(a) Akta Hartanah Negara kerana mengeluarkan bahan batuan tanpa permit, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

sumber: bernama
 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger