Jumaat, 22 April 2011

Saya bukan 'kacang lupa kulit'

Chong Wei nafi dakwaan tak hormat Misbun

KETIKA sesetengah pihak menyifatkan dirinya umpama 'kacang lupakan kulit' apabila dikatakan menjadi faktor utama mentornya, Datuk Misbun Sidek 'digugurkan' daripada tugas membimbingnya, Lee Chong Wei semalam tampil menafikannya.

“Itu keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Saya tidak memilih jurulatih, malah saya sedia berlatih dengan sesiapa saja,” kata pemain nombor satu dunia itu selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam. Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM Sabtu lalu mendedahkan ‘rahsia’ kontrak baru yang ditawarkan kepada Misbun - jurulatih yang sudah sedekad membimbing Chong Wei itu akan diberi peranan baru membimbing skuad pelapis selepas bersetuju menarik balik peletakan jawatannya.

Keputusan BAM itu menyebabkan sesetengah pihak berpendapat ia sebenarnya keputusan pemain nombor satu dunia itu sendiri yang enggan meneruskan latihan di bawah tunjuk ajar mentornya itu selepas dikatakan kian selesa dengan ketua jurulatih, Rashid Sidek dan Tey Seu Bock.


Chong Wei berkata, dia tidak mahu terus terganggu dengan isu itu kerana apa yang penting ketika ini meneruskan latihan seperti biasa dan memfokuskan segenap tumpuan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2012.


“Jika betul Datuk Misbun diberi peranan baru membimbing skuad pelapis, saya rasa keputusan itu baik dan demi masa depan badminton negara kerana dapat membantu melahirkan pelapis berpotensi menggantikan tempat saya,” katanya
Chong Wei yang sudah memenangi tiga kejuaraan musim ini berkata dia akan menyertai Terbuka India minggu depan sebelum pulang menghadapi Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia yang diadakan di Kedah awal bulan depan.


“Bagi saya Grand Prix Emas Terbuka Malaysia adalah medan penting kerana ia menjadi kejohanan pertama buat pemain untuk mengutip mata bagi melayakkan diri beraksi di London 2012,” katanya.


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger