Jumaat, 22 April 2011

AS1M: Skim pinjaman mudah

NAJIB Tun Razak meletakkan labu sayong sebagai gimik perasmian sambil diperhatikan Zambry Abd. Kadir (kanan), Ahmad Sarji Abdul Hamid (dua dari kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman ketika majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 di Ipoh, semalam.

IPOH 20 April ? Kerajaan akan memperkenalkan skim pinjaman mudah bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah melabur di dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim pinjaman itu dilaksanakan bertujuan untuk meluaskan penyertaan golongan pendapatan rendah dalam unit amanah saham keluaran Permodalan Nasional Bhd. (PNB).


Katanya, penyertaan golongan itu dalam pelaburan unit amanah mampu menjamin masa depan mereka.


Beliau tidak menolak kemungkinan memperkenalkan satu bentuk pinjaman kepada golongan itu dan pembayaran balik dibuat melalui pengagihan pendapatan yang diterima pada setiap tahun.


??Perincian skim ini sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti. Pengumuman lengkap bakal diumumkan dalam jangka terdekat,? katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh di sini hari ini.


Turut hadir pada perasmian MSAM 2011 ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. AS1M dilancarkan oleh Najib pada 2009 dengan saiz dana sebanyak 10 bilion unit dengan lima bilion bagi pelabur bumiputera, tiga bilion untuk pelabur Cina, India 1.5 bilion unit dan lain-lain kaum 500 juta unit. Setakat ini, peruntukan bagi kaum Cina telah habis dijual.


Terdahulu, Najib dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada PNB kerana berjaya melakukan transformasi terhadap minda rakyat Malaysia tentang dunia pelaburan sehingga ramai menerima unit amanah sebagai satu instrumen tabungan dan pelaburan utama mereka.


Ini dibuktikan apabila sejumlah 127 bilion unit amanahnya dilanggan oleh 10.4 juta pemegang saham, katanya.


??Dengan dana yang terkumpul itu, PNB berjaya menguasai syarikat-syarikat milik penjajah. Meskipun nama-nama syarikat itu dikekalkan seperti Sime Darby dan I&P Bhd., yang lebih penting ia milik rakyat Malaysia,? tambah beliau.


Jelas Najib, kejayaan itu menunjukkan PNB mampu menguruskan syarikat-syarikat dengan lebih baik sehingga mencatat keuntungan besar dan kemudian diagihkan kepada pelaburnya dalam bentuk dividen.


Beliau yakin Program Transformasi Ekonomi mampu memberi prospek positif kepada syarikat-syarikat pelaburan PNB untuk berkembang dengan lebih baik.


??Prospek positif itu akan meningkatkan keyakinan rakyat untuk terus melabur dan tidak mustahil Malaysia mampu muncul sebagai pelabur terbesar di dunia,? ujarnya.


kredit

 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger