Jumaat, 25 Mac 2011

UniKL hadapi saingan sengit

JUARA keseluruhan Liga Hoki Remaja, tahun lalu, UniKL menjangkakan mereka sekali lagi bakal berdepan saingan sengit daripada musuh tradisi untuk musim ini iaitu Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Diletakkan dalam senarai pasukan dalam divisyen satu bersama seterunya itu dengan saingan bermula petang ini, mereka memperkemaskan lagi pasukan musim ini dengan membawa khidmat jurulatih daripada New Zealand untuk membantu barisan kejurulatihan sedia ada iaitu S Velappan.

“Bermula tahun ini kita memperkenalkan infrastruktur hoki terkini ialah kesinambungan daripada liga perdana ke dalam liga remaja. Ia bukan saja untuk menang tetapi memperkenalkan kemudahan hoki yang baik,” kata pengurus pasukan UniKL, Amir Azhar Ibrahim. Katanya, selama beraksi dalam liga remaja sejak dua tahun lalu, UniKL sudah berjaya menggilap beberapa bakat baru untuk bersaing dalam liga yang lebih tinggi seterusnya diharapkan dapat menggalas tugas mewakili negara.

“Antara sembilan pemain UniKL yang bermain dalam liga perdana ialah Arief Iskandar Khamdan, Mohd Zulhairi Hashim, Mohd Nor Aqmal Abd Gaffer, Mohd Shamim Mohd Yusof, Muhammad Taufik Abd Hamid dan R Ramesh.

“Tiga daripada pemain kita juga dipanggil untuk berlatih dengan pasukan kebangsaan dan kita mahu ketengahkan lebih ramai lagi yang boleh mewakili pasukan kebangsaan, itu harapan kami,” katanya.

Dalam pembukaan tirai perlawanan pertama Liga Hoki Remaja hari ini, UniKL bakal bertemu anak buah Dalbir Singh iaitu pasukan Majlis Bandaraya Ipoh Junior (MBI JR) jam 4.30 petang di Stadium Azlan Shah, Ipoh.


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger