Jumaat, 25 Mac 2011

Road show terakhir di One Utama

Beri peluang peserta menang kereta Sonata, tiket percuma saksi Terbuka Malaysia

SIRI terakhir road show Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2011 akan diadakan di kompleks beli belah One Utama, dari 30 Mac hingga 4 April ini, selepas siri roadshow di The Curve Petaling Jaya (18-20 Februari) dan Sunway Pyramid (18-20 Mac) lalu.

Siri roadshow bertemakan “It’s All About The Drive” itu memberi peluang kepada peserta memenangi kereta Hyundai Sonata dan tiket musim percuma menyaksikan kejohanan yang berlangsung 14 hingga 17 April. Penganjur kejohanan dengan penaja bersama Hyundai Sime Darby Motors mengadakan pelbagai aktiviti menarik pada siri jelajah roadshow itu sesuai dengan sambutan 50 tahun kejohanan berkenaan.

“Hyundai berbangga menjadi penaja kejohanan Terbuka Malaysia Maybank, yang bertaraf dunia. Untuk menambah kemeriahan, kami menawarkan sebuah Hyundai Sonata sebagai hadiah utama yang bercirikan penampilan anggun dan pemanduan unggul, sama seperti golf,” kata Pengarah Urusan HSDM, Dennis Ho. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global One, John Eu berkata siri roadshow yang diadakan itu amat mengujakan terutama dengan pembabitan Hyundai sebagai penaja, dan berharap peminat golf tempatan meraikan edisi ke-50 itu dengan mengambil bahagian dalam pelbagai acara dan aktiviti yang dijalankan.

Mereka yang berminat menyertai cabaran “It’s All About The Drive” hanya perlu melawat road show di One Utama dan melakukan pukulan putt untuk memenangi tiket musim percuma dan pemegang tiket mesti hadir sepanjang kejohanan empat hari untuk mengumpul empat setem. Pada hari terakhir kejohanan, pemegang tiket musim yang layak perlu memasukkan tiga pukulan putt untuk memenangi kereta Hyundai Sonata.

Edisi ke-50 Terbuka Malaysia Maybank tahun ini bakal menampilkan ramai bintang golf dunia untuk merebut gelaran juara kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$$2.5 juta (RM7.6 juta).

Selain menonton aksi golf menarik, peminat juga boleh menyertai Cabaran “It’s All About The Drive”, Cabaran Amal Pukulan Selubang, Cabaran Putting Amal Maybank dan Simulasi Golf Maybank. Antara acara untuk seisi keluarga pula adalah Photo Station, Klinik Golf dan pameran menyusuri sejarah 50 tahun Terbuka Malaysia.


 

Berita Berita Terkini Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger